Saturday, October 1, 2011

Sifat Hipokrit, Riak, Takbur, Menunjuk-Nunjuk, Facade



Facade” ini adalah perkataan bahasa Perancis yang bermaksud Luaran ataupun Permukaan dalam Bahasa Melayu. Saya menggunakan perkataan ini kerana saya tidak bertemu dengan makna yang sesuai untuknya dalam Bahasa Melayu di dalam kamus. Apapun saya yakin penerangan yang bakal saya titipkan akan menjelaskan maksud saya berkenaan dengan isu ini.

Ia diibaratkan seperti sebuah rumah yang kelihatan begitu cantik dari luarnya. Struktur binaannya begitu halus siap dengan pagar batu, rumput karpet dan sebagainya. Sebuah kereta berjenama diletakkan di anjung hadapan rumah tersebut. Dari mata kasarnya kita mengatakan yang segala yang baik tentang pemilik rumah tersebut.

Masalahnya bila kita masuk ke dalam rumah tersebut keadaannya bersepah, penuh dengan sampah sarap langsung tidak berkemas. Keluarga mereka sebenarnya hidup dalam porak peranda dan dibelenggu hutang.

Inilah contoh yang terbaik yang dapat saya huraikan bagi menerangkan topik ini. Dalam hal kemanusiaan orang yang “facade” ini hanya mahu menunjukkan apa yang gah di luar tetapi menyorokkan segala kelemahan mahupun kekotoran yang ada di dalamnya. Seumpama buah mangga yang cantik dan wangi di luar tetapi busuk dan berulat di dalam.

Ada yang sanggup berhabis-habisan untuk menunjukkan status mereka kepada yang ramai. Dari pakaian dan perhiasan diri, telefon bimbit, kereta dan rumah semuanya yang canggih dan berjenama walhal belum sampai cukup bulan kantung mereka dah kosong. “Biar papa asal bergaya”. Kata mereka. Mereka juga sanggup meminjam hak orang lain semata-mata untuk menayang dan menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Contohnya di zaman bujang ada yang sanggup membeli minyak wangi dan pakaian yang mahal, malah sanggup untuk meminjam duit dan pakaian rakan hanya untuk keluar ber”dating” dengan kekasih hati dan makan di restoran yang mahal.

Bagi yang senang pula mereka berbuat demikian untuk menayangkan kemewahan yang mereka. Semua penerapan ini sebenarnya bermula dari Barat yang di war-warkan melalui media massa mereka. Dalam lain perkataan mereka menunjukkan dalam filem-filem mereka betapa kekayaan itu sesuatu yang dipandang tinggi. Mereka menunjukkan kereta, rumah dan barang-barang mewah yang lainnya dan kemudiannya diikuti oleh semua bangsa di seluruh dunia. Orang Vietnam, Cina, Malaysia malah Iraq sekalipun yang hidup dalam serba kekurangan dan kesederhanaan pada awalnya bila keadaan ekonominya meningkat akan mengikut cara kebaratan ini. Mereka sanggup berhutang dan bergolok gadai untuk menujukkan status mereka walhal sebenarnya mereka dalam hutang yang menimbun.

Lebih ekstrim lagi kita dapat lihat orang tua kaya yang berkahwin dengan seorang perempuan muda yang cantik. Perempuan cantik dan muda ini dinamakan “isteri piala” seperti yang dilakukan oleh Donald Trump hartawan hartanah Amerika Syarikat.  

Mereka ini sebenarnya terdiri dari orang-orang yang mementingkan aspek keduniaan. Penerapan diri mereka ialah untuk sentiasa kelihatan anggun dan canggih, kelihatan kaya dan mewah, mereka merasakan yang semua orang memandang mereka, mereka merasakan mereka lebih baik dari orang lain dan mereka berbangga berbuat demikian dengan mengharapkan penghargaan dan pujian. Semua kelemahan akan ditutup, mereka akan menipu sekiranya perlu. Menipu dan terus menipu. Ini adalah salah satu penerapan nilai yang dianjurkan Barat melalui rancangan televisyen yang lama-kelamaan menjadi prinsip diri orang kita. Memang mereka gah dari segi luarannya tetapi hakikat sebenarnya jiwa mereka kosong. Lambat laun ia akan memakan diri mereka sendiri.

Sikap ini bukan hanya berlaku pada peringkat individu malah menular dalam pengurusan syarikat dan digelar “window dressing” juga dalam pemerintahan sesebuah negara dan dinamakan propaganda. Ini semua adalah dakyah yang bertujuan mengabui mata orang luar yang tidak memahami lantas diperdaya / dimanipulasi.

Sebagai manusia yang merupakan kejadian yang tidak sempurna, maka adalah lebih baik kita menjadi insan yang benar, berterus terang dan ikhlas. Ini kerana kita tak perlu bersusah payah untuk menunjukkan barang yang bukan milik kita, kita tak perlu menipu untuk menunjuk-nunjuk, kita tak perlu berpura-pura untuk mendapatkan pujian mahupun penghargaan. Apa yang ada di luar itulah yang ada di dalam. Lagipun, kelemahan memang fitrah kita sebagai manusia.

Jom kita sambung penceritaan dan bab yang akan datang. Kongsikan blog ini  andai ia bermanfaat. Sesungguhnya yang baik dari Allah SWT dan yang kurang baik adalah atas kelemahan diri saya sendiri.

Sekian dulu, Terima kasih.

Ikhlas

Haji Faizal Yusup

www.mindaakhirat.com

Haji Faizal Yusup sudah menulis 12 buah buku dalam genre umum, fiksyen, motivasi, novel dan pelaburan saham Bursa Malaysia. Pernah memenangi Dana Anugerah Penulis melalui novel Bukan Maksum dan Trilogi Man Rempit pada tahun 2012 dari Kementerian Telekomunikasi dan Multimedia. Pernah dijemput untuk menjalankan seminar, bengkel dan woksyop motivasi di sekolah dan universiti. Dewasa ini menubuhkan Yayasan Minda Akhirat dan menjalankan program motivasi Minda Akhirat. Revolusi Baru Sahsiah Diri.

www.bicarapelaburan.com

Beliau juga merupakan seorang Top Performing Remisier di Kenanga Investment Bank Berhad. Pemenang pelbagai Anugerah Bursa Malaysia. Mantan Naib Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia dan pernah menjadi speaker dalam RoadShow InvestSmart anjuran Suruhanjaya Sekuriti. Dewasa ini beliau sering dijemput sebagai speaker dalam seminar saham From Zero to Hero yang diiktiraf Bursa Malaysia. 

Beliau boleh dihubungi di talian 0166667430.

#mindaakhirat

#faizalyusup

No comments:

Post a Comment