Sunday, October 2, 2011

Perihal Makhluk / Yang Dicipta


Bila difikirkan makhluk adalah sesuatu yang dicipta, ia tak punya kuasa untuk memberi manfaat ataupun mudarat, oleh yang demikian itu semua yang ada dalam dunia ini bagi saya adalah makhluk dan yang mencipta hanya satu iaitu Allah Taala. Dalam ertikata lain selain dari Allah itu adalah makhluk.

Makhluk ini mungkin terdiri dari beberapa kategori antaranya yang hidup dan kelihatan seperti manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya namun ada juga makhluk yang hidup tetapi tidak kelihatan pada kaca mata manusia umpamanya jin, syaitan dan iblis. Ada juga makhluk yang tidak hidup seperti batu, kayu, logam dan sebagainya.

Menurut sejarah Islam semua makhluk ini pernah ditanya Allah Taala samaada mereka ingin menjadi khalifah dan semua mereka mengatakan yang mereka tak sanggup untuk berbuat demikian kecuali manusia. Oleh yang demikian itu akhirnya manusia dipertanggungjawabkan Allah untuk menjadi khalifah atau ketua di muka bumi ini bagi tujuan membawa kemakmuran kepadanya. Malangnya manusia dengan sifat yang ada dalam dirinya lebih banyak membawa keburukan kalau dibandingkan dengan kebaikan.   

Apapun kalau kita kaji dalam Al Quran makhluk-makhluk ini semua sebenarnya beristigfar kepada Allah dan menurut perintah yang Maha Esa. Contohnya batu dengan sifatnya yang keras digunakan untuk membuat bangunan. Apa akan terjadi kalau tiba-tiba ia melanggar perintah Allah lantas menjadi lembut? Maka saya percaya rumah anda akan runtuh.

Makhluk dengan sifatnya yang tersendiri. Air dengan sifat berdalirnya dan membersihkan, Api dengan sifatnya yang panas, Matahari dengan sifatnya yang membawa cahaya dan haba, malaikat Mikail dengan tugasnya menyampaikan rezeki, Syaitan dengan tugasnya menggoda manusia. Apapun kalau kita lihat dari sudut yang lain pula kita akan dapat lihat yang pertamanya semua makhluk ini menurut perintah Allah dan keduanya mereka semua berkhidmat untuk manusia.

Makhluk Api diketahui dengan sifatnya yang panas namun tak selalu begitu kerana andai diizinkan Allah ia boleh menjadi sejuk sepertimana yang berlaku dalam kisah Nabi Ibrahim AS dahulu yang mana bila kaumnya membakar beliau baginda keluar dari api yang begitu marak dalam keadaan menggigil kesejukan. Allah berkuasa atas tiap sesuatu dan dengan yang demikian itu boleh menukar sifat makhluk menurut kemahuanNya. Keadaan yang sama pernah berlaku pada batu yang terbang terapung kerana ingin mengikut Rasullullah semasa Israq Mikraj mahupun kisah nabi Daud yang boleh melentur besi.

Inilah antara kekuasaan Allah Taala yang perlu kita kaji dan ambil iktibar mengenai perihal makhluk ini.

Mengetahui yang semua makhluk bertindak berdasarkan perintah Allah dan bertugas berkhidmat buat manusia maka semua makhluk ini sebenarnya boleh diperhatikan, dibuat kajian dan dijadikan iktibar untuk kebaikan kita semua. Katalah kajian yang dijalankan dengan hanya melihat pokok membolehkan kita mengkajinya dari pelbagai sudut antaranya dari sudut matematik, sains dan teknologi, pelaburan, seni dan sebagainya. DNA pokok membolehkan kita meneraju ke arah bidang bioteknologi dan sebagainya. Sistem organ manusia dan binatang pula membolehkan kita mencipta enjin dengan menggunakan sistem yang sama.

Tak cukup dengan itu manusia mencipta beribu-ribu jenis produk dari sumber yang disediakan Allah di alam ini, logam, tanah, binatang, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Contohnya, makhluk Allah bernama Besi telah ditempa manusia bertukar menjadi pisau pemotong daging contohnya. Dalam ertikata lain mutasi makhluk dari keadaannya yang asal. Maka makhluk pisau ini juga pada hakikatnya beristigfar pada Allah Taala, menurut perintah Allah supaya utuh dan menjadi tajam kalau diasah dan seterusnya menjalankan tugas berbakti pada manusia selagi diperlukan tanpa meminta manusia berterima kasih padanya.

 

Dalam pada itu ada juga makhluk asal yang dicampurkan dengan makhluk-makhluk yang lainnya hinggalah terbentuklah sebuah makhluk kereta mewah yang diberi nama Mercedes Benz yang diidamkan ramai hingga ada manusia yang sanggup bekerja berhempas pulas, melakukan apa sahaja hingga bergolok bergadai kerananya walhal ia hanyalah terdiri dari campuran makhluk-makhluk. Makhluk logam dijadikan badan kereta makhluk getah dijadikan tayar, makhluk minyak dijadikan plastik yang digunakan dalam kereta tersebut dan sebagainya. Kita sebagai makhluk menjadi taksub dengan makhluk yang lain. Alangkah lemah dan ceteknya fikiran manusia sedangkan ini semua datangnya dari kekayaan Allah Taala.

No comments:

Post a Comment