Sunday, October 2, 2011

Menangani Bosan, Stress, Tension Dan Lain-lain



Mari kita berkenalan dengan makhluk bernama Bosan.

Baru-baru ini pula saya bertemu dengan seorang insan yang mengatakan yang dia sentiasa berada dalam keadaan kebosanan. Kebosanan ini diatasinya dengan melekakan diri dengan pelbagai aktiviti harian. Dia melakukan tugasan yang diberi pensyarah, membaca, tidur, membasuh, mengemas, bersenam, bermain permainan video, menonton TV dan pelbagai aktiviti lain yang perlu bagi mengisi masa demi untuk mengelakkan diri dari merasa bosan.

Namun lama kelamaan segala aktiviti masih juga tak dapat menghilangkan rasa bosan tersebut. Maka apakah yang akan kita lakukan seterusnya? Tamadun Barat mencipta pelbagai cara untuk mengisi kekosongan ini dalam pelbagai bentuk. Kaedah dan pendekatan yang mereka lakukan itu ada yang bersifat normal namun ada juga hingga ke tahap yang ekstrem sebagai contoh melakukan bungee jumping, memanjat gunung, melompat dari bangunan tinggi dan gaung berpayung terjun dan pelbagai lagi aksi yang yang terfikir oleh akal fikiran mereka. Tak cukup dengan itu ada yang memilih untuk melakukan maksiat, minum arak, menagih dadah bagi tujuan yang sama demi untuk menghilangkan kebosanan di hati. Bagaimanapun ia hanya dapat menghilangkan bosan itu untuk seketika dua. Penciptaan demi penciptaan akan dicipta demi untuk kononnya mengelakkan kebosanan namun ia tetap bertapak di dalam hati mereka.

Salah satu fitrah manusia ialah sifatnya yang tak pernah merasa puas. Kalau memanjat bukit tak puas maka kita akan memanjat gunung, Kalau memanjat gunung tak puas kita akan memanjat gunung yang tertinggi di dunia, kalau sudah melepasinya kita akan cari jalan lain pula dengan memanjat gunung yang lebih curam dan bahaya bagi menambah cabaran dan sebagainya. Kalau dari sudut menagih dadah pula kita akan mencari jalan untuk mencari kepuasan yang lebih tinggi sehinggalah kita ambil dadah yang belum diproses, tak cukup dengan itu kita ambil sehingga “overdose”. Ada juga yang melakukannya ke tahap ekstrem dan menyebabkan kematian. Kematian akhirnya menghilangkan bosan.

Jadi apakah jawapan bagi menghilangkan kebosanan ini dari dalam hati?

Sekali lagi biar saya jelaskan dari satu sudut memperkenalkan anda kepada makhluk. Makhluk adalah sesuatu yang dicipta, makhluk bukan hanya berbentuk benda yang kelihatan seperti manusia, binatang, pokok, matahari dan bulan namun ia juga terdiri dari elemen yang tidak kelihatan seperti jin, malaikat, ilmu, mati, kasih sayang, bosan dan sebagainya.

Apa yang penting ialah semua makhluk ini mempunyai dua fungsi utama iaitu berkhidmat kepada Allah dan keduanya berkhidmat kepada manusia.

Sekali lagi saya ulangi makhluk Mati contohnya juga merupakan salah satu makhluk yang dicipta Allah taala dan makhluk bernama mati ini akan mati di akhirat kelak. Kematian makhluk bernama mati ini seterusnya menyebabkan semua manusia akan hidup selama-lamanya sepertimana yang dijanjikan Allah Taala. Dalam huraian di atas tadi maka makhluk Mati mengambil alih makhluk Bosan maka dengan itu hilanglah bosan tersebut dari hati sebab macamana boleh bosan kalau dah mati ye tak?.

Oleh yang demikian bosan juga merupakan salah satu makhluk yang dicipta Allah Taala. Apa akan jadi seandainya Allah Taala tidak mencipta makhluk yang bernama Bosan ini. Maka saya pasti tak ada siapa yang akan merasa bosan di dalam dunia ini. Bosan ini adalah satu makhluk yang gelap dan jahat sifatnya dan kemungkinan dia amat suka bertakhta di hati mereka-mereka yang tidak berpenghuni.

Oleh itu apa yang perlu kita lakukan ialah untuk menggantikannya dengan makhluk lain yang baik sifatnya. Ini kerana fitrah manusia sukakan kepada kebaikan. Letakkanlah makhluk bernama ketenangan, kerajinan, kasih sayang, ilmu pengetahuan dan sebagainya di dalam hati bagi menggantikan makhluk bernama bosan ini. Apapun menggantikan makhluk dengan makhluk yang lain bukanlah satu jalan yang terbaik kerana kita meletakkan sesuatu yang sepadan dengan diri kita sendiri. Makhluk yang memuja makhluk yang lain.

Pendekatan yang terbaik bagi saya ialah dengan menggantikan makhluk bosan ini dengan Pencipta iaitu Allah Taala di dalam hati. Meletakkan Allah yang mencipta kita sebagai manusia dan juga mencipta makhluk bernama bosan ini. Dengan demikian itu Allah akan secara automatik mengambil tempat di hati dan tiada tempat lagi untuk bosan itu bertapak.

No comments:

Post a Comment