Saturday, October 1, 2011

Keredhaan


Dalam isu ini saya percaya setiap ibubapa telah mencuba selagi daya untuk memastikan yang anak-anaknya menjadi anak-anak yang solehah dan berguna.

Apapun apa yang terjadi kemudiannya bila si anak itu meningkat dewasa bukanlah kehendak mereka lagi atau bukan menurut acuan mereka. Ia mengikut acuan yang bakal terbentuk oleh individu itu sendiri. Ini kerana tiada ibubapa yang waras atau rasional dalam dunia ini yang mahukan yang buruk dari anak-anaknya. Oleh yang demikian, tidak haruslah mereka dipersalahkan dalam apa juga kegagalan yang dihadapi oleh seseorang anak itu. Mereka telah mendidik membela, memelihara, membiaya dan mendoakan anak dengan cara yang mereka tahu dan sebahagian dari semua pengisian ini bakal membentuk anak tersebut. Lagipun kalau difikirkan kembali, kita tak akan dapat cari ibubapa yang sempurna di dunia ini kerana mereka juga seperti kita manusia biasa yang tak lari dari melakukan kesilapan. Ketidaksempurnaan adalah fitrah atau memang sifat manusia.

Dalam lain perkataan, kita sepatunya redha akan apapun juga yang berlaku sepanjang hidup ini. Baik dari segi bagaimana kita dibesarkan oleh kedua ibubapa ataupun dalam hal-hal yang lain. Kita sebagai individu boleh memperbaiki jalan kehidupan diri kita sendiri dengan berusaha dan langsung menyerahkan ketentuan apa juga yang kita usahakan itu di tangan Allah Taala. Mereka yang gagal selalunya bergantung pada nasib atau menyalahkan orang lain atas kegagalan diri sendiri. Mereka menyalahkan ibubapa, menyalahkan cikgu, orang lain, keadaan, kerajaan dan seterusnya menyalahkan Tuhan. Mereka menyalahkan ibubapa dengan berkata mereka akan berjaya kalau ibubapa mereka kaya. Mereka menyalahkan guru dengan berkata guru sekolah lain lebih baik. Mereka menyalahkan kerajaan dengan berkata kerajaan tak membantu mereka, mereka menyalahkan Tuhan dengan berkata Tuhanlah penyebab kegagalan mereka.

Sebenarnya ini semua tidak terjadi kepada mereka yang berjaya. Mereka yang berjaya pula selalunya berusaha gigih dan berdoa bagi mencapai kejayaan. Mereka ini sentiasa ada kesedaran dalam diri mereka untuk melakukan perubahan dan berusaha untuk mencapai kejayaan. Kata mereka kalau orang lain boleh buat kenapa aku tak boleh buat? Kalau orang lagi miskin pun boleh berjaya kenapa tidak aku? Kalau orang Cina tanpa bantuan kerajaan boleh berjaya kenapa tidak orang Melayu dan sebagainya.

Katalah kita baru mendapat keputusan peperiksaan kertas matematik dan kita gagal. Kita salahkan cikgu kerana tak pandai mengajar kita. Persoalannya kenapa ramai kawan sekelas kita yang lain mendapat gred A dalam matapelajaran yang sama? Sedangkan yang mengajar guru yang sama. Pastinya kalau guru itu tak pandai mengajar seluruh kelas akan gagal. Mungkin bukan guru itu yang tak pandai mengajar tetapi kita yang tak pandai belajar agaknya.

Dalam hal ini perubahan perspektif harus dilakukan dari dalam diri dan seterusnya ia akan keluar dalam bentuk perbuatan.

Katalah kita redha dengan ibu kita. Redha ini bermakna kita tak akan rasa marah, bengang, menyimpan dendam dan sebagainya walau diperlakukan apa cara sekalipun. Kita akan dapat menerima ibu kita itu seadanya. Mungkin semasa kecil kita merasakan yang ibu kita itu serba sempurna tetapi bila kita membesar pastinya perspektif kita berubah dan mula nampak kekurangannya sebagai manusia. Redha adalah jalan yang terbaik kerana ia akan membawa kelapangan dalam diri kita sendiri. Allah Taala menentukan Qada’ dan KadarNya terhadap kita dan bila ia sampai pada kita, maka kita terimanya dengan redha.

Kalau kita gembira menyambut kelahiran kenapa kita tak redha menghadapi kematian? Kalau kita redha dengan pertemuan, kenapa kita kecewa kepada perpisahan? Kalau kita suka pada kesenangan kenapa kita tak redha dengan kesusahan? Sebenarnya semua ini mempunyai hikmah yang tersembunyi.

Apapun pengisian ini menunjukkan yang kita perlu redha dengan semua orang yang dijodohkan dengan diri kita sepanjang kehidupan ini. Sebagai contoh kita perlu redha dengan pasangan kita dengan sikapnya. Sepertimana ibubapa kita tadi, saya percaya pasangan kita juga telah mencuba sedaya upaya untuk memberikan kasih sayangnya kepada kita, cuma kita yang tak berpuas hati dan meminta yang lebih dari itu. Mungkin prinsip sebeginilah yang menyebabkan kita menjadi gundah gulana dan meneruskan pencarian mencari penawar di tempat yang salah dengan berlaku curang dan sebagainya. Ini sebenarnya merupakan satu kelemahan diri kita sendiri dan perlu dibaiki.

Persoalannya kalau kita boleh redha dengan ibu kita, maka tidak ada sebab kenapa kita tak boleh redha dengan orang lain yang dijodohkan dengan kita atas kehendak Allah Taala.

No comments:

Post a Comment