Saturday, October 1, 2011

Menapis Maklumat, Ilmu dan Pengetahuan



Kalau difikirkan kembali sistem penjajah yang telah wujud di negara ini menyebabkan ramai diantara kita telah mempelajari pendidikan rendah, menengah dan peringkat tertiari dari pendekatan yang lebih kurang sama.

Masalahnya sumber luar ini kebanyakannya menekankan kepada sistem akal, logik dan rasional. Sumber maklumat sebegini mengukuhkan elemen akliah kita tetapi ia tidak mengukuhkan elemen rohani dalam diri kita. Saya tidak mengatakan yang sistem rasional akal ini tidak baik kerana sistem inilah yang antara lain telah menyebabkan perkembangan tamadun dan teknologi hingga ke tahap ini. Bagi kita yang rajin membaca lambat laun apabila kita mempercayai apa yang kita baca itu maka ia akan menjadi prinsip dalam diri kita dan kita sangkakannya sebagai sesuatu yang benar.

Kebanyakan rancangan Barat yang disiarkan di televisyen juga banyak memperlihatkan unsur-unsur yang negatif. Sekali lagi kalau kita tidak peka dan menapis maklumat yang kita terima itu ia mungkin bakal menjadi prinsip diri yang salah. Sebagai contoh, antara plot yang selalu kita tonton ialah sifat kurang ajar seorang anak terhadap ibubapanya. Si anak dengan selamba memarahi, tidak mematuhi ataupun ingkar akan perintah ibubapanya dalam sesebuah cerita terbitan Barat itu. Tanpa disedari, inilah juga yang kemudiannya diikuti oleh anak-anak zaman sekarang di negara ini. Kita yang sepatutnya berbakti kepada orang tua tetapi terbalik pula jadinya. Kita lawan mereka kerana kita rasa kita lebih pandai. Sebenarnya ini adalah satu prinsip yang salah.

Begitu juga ada diantara kita yang begitu sukakan novel kisah cinta yang plotnya penuh dengan fantasi, bersifat romantik dan selalunya berakhir dengan kebahagiaan pasangan yang bercinta itu. Apa yang terjadi ialah si pembaca boleh jadi hanyut dengan fantasi yang dipaparkan oleh novel tersebut dan akhirnya menyangkakan yang alam realiti ini juga mempunyai sifat yang serupa yang penuh dengan kegembiraan sedangkan ianya bukanlah seperti itu sama sekali.

Dalam hal ini, kita tak punya satu sistem pertahanan jiwa dari anasir-anasir yang salah atau kita tak punya satu sistem tapisan bagi menapis maklumat yang kita terima bagi memastikan kebenarannya. Keadaan ini juga boleh disebabkan kita tak punya ilmu terdahulu (Prior Knowledge) atau tak punya tempat rujukan bagi tujuan memberikan garis panduan tentang sesuatu maklumat yang kita terima itu.

Apabila kita menerima sesuatu maklumat yang mentah cara yang terbaik sebagai seorang yang beragama Islam, kita sepatutnya menapisnya dengan merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah. Sejarah dan kisah nabi-nabi yang terdahulu juga banyak memuatkan pelajaran dan pengajaran yang boleh kita ambil panduan dan dijadikan bahan rujukan. Selain dari itu bagi membuat rujukan yang jitu saya rasa eloklah kita mencari guru yang berilmu yang pakar dalam bidangnya. Dengan cara membuat tapisan yang sebegini kita akan dapat menolak unsur-unsur negatif dalam maklumat yang kita terima tadi dan seterusnya membersihkannya menjadi ilmu yang boleh kita jadikan prinsip hidup.

Kekuatan penapis dalam diri kita akan tertakluk kepada pengetahuan dan pengalaman yang ada dalam diri kita sendiri. Penapis ini juga dibentuk oleh berdasarkan prinsip kepercayaan seseorang individu itu. Mereka yang menggunakan sistem akal rasional akan menggunakan penapis ini bagi tujuan tapisan maklumat yang diterima contohnya. Bagi yang bijak, berakal dan berilmu, penapis dalam diri mereka begitu halus lantas ini menyebabkan agak sukar untuk maklumat yang salah memasuki diri mereka. Mereka ini selalunya dilihat sebagai seorang yang berilmu, tenang, tahu apa yang mereka perkatakan dan boleh berbahas tentang sesuatu topik itu dengan mengemukakan hujah-hujah yang baik.

Sekiranya kita tidak mempunyai sistem tapisan ini maka kita akan menerima sesuatu maklumat itu mentah-mentah. Kita akan menjadikan orang Barat sebagai sumber rujukan dan kita mengiakan sesuatu maklumat itu walaupun ianya tidak sepenuhnya benar. Kita mungkin akan menggunakan Stephen J Covey, Edward de Bono, Zig Ziglar mahupun Nepoleon Hill sebagai tapisan dalam hal motivasi atau kita menggunakan Lee Iococca, Warren Buffet, atau Robert Kiyosaki sebagai penapis dalam hal kewangan.

Kalau difikirkan kembali orang Barat sendiri mengakui yang Ibnu Khayyum adalah Bapa Ekonomi dan Ibnu Sina adalah Bapa Perubatan yang mereka jadikan rujukan. Kenapa pula kita mengambil rujukan dari mereka sedangkan kita ada rujukan yang tersendiri.

No comments:

Post a Comment