Sunday, October 2, 2011

Makhluk / Ciptaan Bahagian 2


Sidang pembaca yang budiman, mari kita sorot kembali ayat yang terdapat dalam artikel yang sebelum ini . “Matahari dengan sifatnya yang membawa cahaya dan haba”. Kalau kita fikirkan dan kaji lebih dalam lagi maka kita akan mungkin akan dapat cari kesimpulan yang lebih jitu. Matahari adalah makhluk Allah tetapi adakah sifat matahari iaitu haba dan cahaya juga merupakan satu makhluk?

Andainya semua yang dicipta adalah makhluk dan selain dari Allah adalah makhluk maka saya rasa cahaya dan haba juga adalah makhluk yang tertakluk kepada perintah Allah Taala. Habalah yang menyebabkan keadaan menjadi panas dan cahayalah yang menyebabkan keadaan menjadi terang. Ini kerana tanpa mereka berdua maka kita pasti akan hidup dalam kesejukan dan kegelapan. Begitu jugalah makhluk bernama ilmu, pemandangan, pendengaran, taufik dan hidayah, mati, bosan, kasih sayang, tenang dan sebagainya. 

Makhluk Mati contohnya juga merupakan salah satu makhluk yang dicipta Allah taala dan makhluk bernama Mati ini akan mati di akhirat kelak. Kematian makhluk bernama mati ini seterusnya menyebabkan semua manusia akan hidup selama-lamanya di akhirat kelak.

Andai makhluk bernama Tulisan tidak dicipta pasti anda tak akan dapat membaca buku ini kerana ia hanya terdiri dari lembaran-lembaran kertas kosong yang tidak bertulis. Dengan adanya makhluk Tulisan maka makhluk bernama Ilmu dapat disampaikan kepada yang ramai cuma adakah makhluk Ilmu ini akan masuk dan menetap di dalam hati adalah suatu isu yang lain pula. Seorang guru saya pernah berkata andai hati rasa resah gelisah maka ia sebenarnya menantikan kehadiran ilmu yang sedang berlegar-legar dan ingin menjadi tetamu di dalam hati.

Maka sepertimana kehadiran tetamu yang datang ke rumah kita yang mana kalau yang datang itu tetamu yang baik maka pastinya kita mengalu-alukan kehadiran mereka  dengan menyediakan makanan yang terbaik dan sebagainya dan begitulah sebaliknya kalau tetamu yang datang itu musuh maka pastinya kita sediakan parang bagi menyambut kedatangan mereka. Pastinya tetamu kita itu tak berani untuk mendekati dan cabut lari.

Begitulah pulanya halnya ilmu ini. Ini kerana kita kena sediakan hati dengan hamparan, taman yang indah di dalam hati bagi ia bertamu. Ini boleh dilakukan dengan mengamalkan zikrullah mengingati Allah. Taman hati yang indah sebegini menyebabkan senang bagi ilmu untuk masuk bertamu dan dengan izin Allah menetap di situ buat jangkamasa yang lama. Pada pendapat saya, bagi mereka yang mana tetamu bernama Ilmu ini ada di dalam hati mereka dan mereka pula mengamal serta menyampaikannya maka tetap dan berkembang biaklah ilmu itu di dalam hati mereka.
Sebaliknya sekiranya hati tu penuh dengan kotoran dan sampah sarap maka makhluk Ilmu ini mungkin hanya akan lalu seakan masuk telinga kiri dan keluar di telinga kanan atau mungkin juga akan melantun keluar ditolak ketepi sama sekali tanpa pemilik hati itu mendapat apa-apa manfaat darinya.

Makhluk penyakit juga akan datang andai kita

Mari kita kategorikan sifat makhluk-makhluk ini tadi kepada makhluk baik dan makhluk nakal yang ada dalam hati kita.

Makhluk Nakal                                            Makhluk Baik
                                                                       
Benci                                                              Sayang
Cemburu                                                       Percaya
Marah                                                             Sabar
Dengki                                                           Sejahtera
Irihati                                                              Kasih
Bosan                                                            Ikhlas
Dendam                                                         Redha
Tamak                                                            Pemurah
Gelisah                                                          Tenang
Sombong                                                       Rendah diri
Bersangka Buruk                                         Baik sangka
Mengadu Domba                                         Memuji

Makhluk manakah yang ada dalam hati anda ketika ini? Adakah makhluk-makhluk yang nakal sifatnya atau yang baik? Selalunya makhluk yang nakal suka berkawan dengan makhluk yang sama sifatnya. Maka orang tidak redha akan ada makhluk Bosan, Marah, Ego dalam hati mereka sedangkan orang yang redha pula akan ada makhluk Tenang, Ikhlas, Pemurah dan sebagainya. Makhluk-makhluk nakal ini dikenali juga dengan nama sifat Mazmumah atau sifat yang keji dan sebaliknya yang baik dikenali sebagai sifat Mahmudah atau sifat terpuji iaitu sifat yang ada pada Nabi Muhammad S.A.W. Sifat-sifat ini jugalah yang menentukan akhlak seseorang insan itu.

Bagi mereka yang ingin kembali ke pangkal jalan maka makhluk nakal ini akan diganti dengan makhluk-makhluk yang baik. Maka terjadilah peperangan antara makhluk nakal dengan makhluk baik ini di dalam hati dan adakalanya makhluk nakal akan tetap menang maka berterusanlah pemilik hati itu dengan jalan yang serong dan penuh kehinaan sedangkan bagi yang berjaya mengatasi maka kembalilah dia ke jalan yang benar dan diredhai.

No comments:

Post a Comment