Saturday, October 1, 2011

Bakat Dan Rancangan Realiti


Di negara ini walaupun sokongan dan prasarana bagi aspek kemahiran dan sukan begitu tinggi malangnya ganjaran bagi kepakaran dalam bidang ini tidaklah begitu memberangsangkan. Kalaupun anda merupakan seorang pemain bolasepak yang handal, ganjaran yang anda terima di sini tidak akan menjadikan anda seorang jutawan. Sekadar cukup makan. Masalahnya pula ialah jangkamasa kebolehan anda di tahap tertinggi begitu pendek. Paling kuat pun 10 tahun. Bermula pada umur 20 tahun dan berakhir pada jangkauan umur 30 tahun. Kemudian anda telah dikira sebagai “kuda tua” di atas padang bola. Bagi yang bernasib baik dapatlah mereka menjadi pengulas sukan atau jurulatih tetapi yang selebihnya menghilang menjadi orang biasa.

Tidak seperti di Negara Barat mereka yang pandai bersukan akan mendapat ganjaran yang begitu tinggi dan lumayan bersesuaian dengan jangkamasa puncaknya yang terhad. Ahli sukan di sana juga selalunya merupakan seorang yang paling minimapun mempunyai ijazah. Ini kerana sistem pembelajaran di sana menyebabkan mereka tak akan dapat menjadi pemain bagi kolej dan seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi sekiranya mereka gagal dalam peperiksaan.

Mungkin atas sebab ini ramai anak muda kita yang mencuba nasib dalam bidang hiburan kerana tiada apa yang boleh merugikan mereka. Sebagai contoh, mereka yang tidak punya pendidikan tinggi dan bekerja sekadar ala cukup makan kemudiannya mencuba nasib menyanyi dengan harapan akan dapat menjadi seorang penghibur dalam dunia yang serba glamer yang menjanjikan kemewahan atau atas sebab-sebab yang lainnya. Ini boleh dilihat dengan sambutan yang begitu hebat yang diberikan kepada rancangan-rancangan seperti Akademi Fantasia, Bintang RTM, Audition dan Malaysian Idol yang mencari bakat-bakat baru dalam bidang ini. Kalaupun mereka lepasan Universiti kemungkinan besar mereka adalah graduan mengganggur yang belum dapat kerja.

Kalau difikirkan bukan semua orang mempunyai bakat seperti Siti Nurhaliza atau bernasib baik seperti Mawi. Disebabkan faktor suara ini merupakan sesuatu yang subjektif maka ramailah yang menyangka mereka mempunyai suara buluh perindu seperti ini bagi tujuan mencuba nasib dalam rancangan seperti yang disebutkan tadi.

Namun dalam apa juga bidang yang kita ceburi kegigihan usaha dan doa adalah yang terbaik bagi mencapai kejayaan. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment