MOTIVASI PERCUMA - MASUK INPUT KELUAR OUTPUT
MASUK KELUAR INPUT OUTPUT
Sebagai makhluk dua elemen ini
akan menjadi lumrah kehidupannya. Input ialah elemen yang masuk ke dalam diri
dan output ialah apa yang keluar darinya.
Sebenarnya kita boleh mengambil
iktibar dari input dan output ini. Biar saya terangkan. Makhluk pokok contohnya
mengambil masuk karbon dioksida iaitu sesuatu yang buruk dan melalui proses
fotosentisis menukarkan kepada sesuatu yang positif iaitu 0ksigen sebahagian
dari udara yang kita hirup saban hari. Kalau kita baling najis pada pokok
sekalipun ia takkan membaling kembali kepada kita namun ia berterima kasih
kerana najis merupakan baja bagi si pokok. Malah pokok tersebut bila diberi
masa akan menghasilkan buah-buahan untuk kita. Ia menukarkan sesuatu yang
negatif kepada positif. Nabi SAW juga begitu. Kalau
dibaling najispun baginda tidak membalasnya walaupun malaikat begitu marah dan
ingin membaling gunung kepada si pembaling najis itu. Baginda malah
menghadiahkan doa kepada penduduk Taif yang akhirnya menjadi penganut Islam.
Kalau manusia biasa pasti berbeza ye tak? Cuba lihat kehidupan kita saban
hari. Apakah yang kita masukkan dalam diri dan apakah yang kita keluarkan?

Saban hari kita masukkan dalam
diri kita rancangan TV berunsur hiburan, lawak, drama, K Pop, games, media
sosial, gosip membawang dan sebagainya kemudian apa yang keluar dari semua itu?
Kita juga jadi pelawak dan tak habis habis bercerita tentang artis, hiburan,
gosip bercerita tentang orang lain dan hal ehwal semasa. Kalau kita masukkan pelajaran maka
pelajaranlah yang akan ada dalam diri kita. Kalau kita masukkan ilmu
pengetahuan maka ilmu pengetahuanlah yang akan terbit dari diri kita. Kalau
kita habiskan masa bermain bowling maka kemahiran bowlinglah yang akan kita
dapat. Kalau kita habiskan masa melukis maka lukisanlah yang bakal kita dapat. Sebenarnya dalam hal ini kalau
kita masukkan yang buruk maka yang keluarpun akan buruk juga. Masuk najis
keluarpun najis baik dari perbuatan mahupun percakapan. Ia bakal membentuk
sifat dan sikap anda. Cuba kaji diri anda sendiri apakah yang saban hari keluar
dari mulut dan perbuatan anda? Cuba lihat keliling anda bagaimana pula? Apakah
yang mereka katakan dan lakukan? Hakikat sebenar dalam hal ini
ialah manusia yang paling baik adalah manusia yang paling banyak menyumbang.
Menyumbang di sini membawa maksud output sebenarnya. Mengeluarkan apa sahaja
ilmu, nasihat, buah fikiran, jalan penyelesaian, masa, tenaga, pekerjaan dan
wang ringgit untuk kebaikan sebanyak yang mungkin saban hari.
Kalau kita lihat mereka yang luar
biasa dan berjaya dalam dunia merupakan penyumbang kepada khalayak yang besar.
Lagi besar output sumbangan mereka lagilah berjaya kedudukan mereka itu. Bill
Gates yang menyumbang komputer, Jack Ma yang menyumbang platform shopping
online Alibaba, Mark Zuckerberg pengasas Facebook semuanya merupakan manusia
yang luar biasa malah Nabi SAW yang menyampaikan dakwah Islam jauh lebih
luarbiasa dengan pengisian yang membawa kepada kejayaan akhirat. Kita bagaimana? Ada juga manusia yang punya banyak
input, rajin membaca dan menimba ilmu tapi langsung tak ada pengeluaran. Mereka
hanya berdiam diri memerhati dan bercakap di dalam hati walaupun mereka punya
ilmu, boleh bersuara menyampaikan buah fikiran. Namun demikian ada juga yang
rajin berceloteh dan bercakap macam tupai tercabut ekornya tapi isi
percakapannya hanya kosong dan sia-sia sifatnya. Dalam hal ini berdiam diri
adalah lebih baik. Sebenarnya kita boleh “baca” setiap orang berdasarkan
ayat-ayat yang keluar dari mulutnya. Kalau butir yang keluar banyak kisah artis
maka kita tahulah yang dia rajin mengisi diri dengan kisah artis, kalau banyak
membawang pasal orang lain maka kita tahulah yang mereka itu kaki gosip dan
menjaga tepi kain orang lain. Orang yang banyak isi, ayat yang keluar darinya
bersifat bernas dan membina.

Pada masa yang sama ada juga
manusia yang begitu kedekut dengan tenaganya untuk membantu yang lain.
Tenaganya, masanya, duitnya hanya untuk dirinya sendiri. Sumbangan bukan untuk
ramai tapi HANYA untuk kepentingan dirinya sendiri sahaja. Main games, menonton
TV, media sosial, bersenam dan bersukan dan segala perbuatan hanya untuk
kebaikan diri sendiri. Duit juga begitu. Hanya pembelian yang menguntungkan
diri sendiri malah lebih teruk meminta dan mengambil dari orang lain untuk
kepentingan diri sendiri. Kedekut segalanya. Masuk tak keluar atau masuk kalau
keluarpun untuk kegunaan sendiri. Yang keluarkan masa dan tenaga untuk tujuan
yang buruk pula lagilah dilarang dan mesti dielakkan kerana ia hanya membawa
kerosakan.

Dari sudut yang lain pula kita
masukkan yang buruk dalam diri, asap rokok, dadah, arak, gam dan sebagainya.
Memasukkan yang buruk dalam diri pastinya akan membawa keburukan dalam diri.
Lambat lain akan menjejaskan kesihatan tubuh badan dan kemudaratan. Itu dari
sudut fizikal yang kelihatan, dari sudut rohani pula makan dari makanan yang
haram mahupun dari sumber yang haram iaitu duit yang diterima dari rasuah,
penipuan, pencurian juga akan membawa kekotoran kepada elemen kerohanian dalam
diri. Anda yang dijodohkan dengan
penulisan ini manakah lebih baik? Si penulis yang mengeluarkan atau
sipembacanya yang memasukkan ? Si penulis mengeluarkan input si pembaca
memasukkan input. Lebih baik lagi si pembaca yang mendapat input mengembangkan
input ini dan menyampaikannya kepada orang lain. Paling takpun share input ini.
Tak begitu? Dari perspektif Islam ia
bersesuaian dengan fungsi kita sebagai makhluk manusia yang tugasnya untuk
memakmurkan bumi ini dan bukan merosakkannya. Pastinya output yang bagus
memakmurkannya sedangkan output yang buruk merosakkannya. Malah output yang bersifat
mementingkan diri sendiri juga bukanlah sesuatu yang terbaik. Mari kita dalaminya lagi. Dalam
Islam kita kena solat bersujud menyembah Allah, berpuasa, mengaji, bersikir,
berdoa, mengerjakan haji dan umrah, berzakat dan bersedekah. Bukankah semua ini
berbentuk output? Bukan untuk diri tapi untuk Allah. Kalau kita kedekut masa
dan tenaga maka pasti kita tak solat ye tak? Kalau solatpun punya laju macam kilat
sedangkan masa, tenaga dan tubuh badan semuanya Allah Taala yang bagi. Apalah
salahnya kita bagi masa yang berkualiti untuk tujuan ibadah kepadaNya? Kita juga
dianjurkan mengerjakan puasa, haji dan umrah, berzakat dan bersedekah semuanya
berbentuk output tenaga, masa dan wang ringgit. Kita disarankan menyampaikan
atau dakwah, ini juga berbentuk output kata-kata yang kita tak dapat lari
darinya. Tapi bagaimana kita nak buat
semua ini kalau kita tak punya ilmu mengenainya? Ilmu yang kita ada dalam diri ialah
perihal hiburan, lawak jenaka, hal ehwal semasa, hal orang lain, hal dunia dan
artis?

Jom kita pergi lebih dalam lagi.
Kalau kita menyumbang lagu maka kita mungkin akan dapat menghiburkan orang lain
namun hukumnya makruh tapi kalau kita menyumbang zikrullah, bacaan Al Quran dan
doa maka saya yakin sumbangan itu lebih berharga. Beribu-ribu sel-sel zikrullah
berterbangan di udara yang kita sumbangan saban hari pasti sedikit sebanyak
membawa kebersihan kerohanian dalam udara yang bakal disedut oleh orang lain.
InshaAllah ia akan membawa kebaikan bukan hanya kepada orang lain tapi kepada
diri kita sendiri dalam bentuk ganjaran dari Allah Taala kelak. InshaAllah. Jom
kita lontarkan banyak-banyak zikir, bacaan ayat Al Quran dan doa ke udara
supaya secara kerohaniannya ia bercampur dengan udara lantas membawa kebaikan
kepada orang lain yang menghirup udara tersebut. Lagipun hanya dengan berzikir
hati akan tenang. Itu ganjaran pasti yang Allah akan kurniakan kepada ahli
zikir. Oleh itu daripada menyanyi berzikirlah kerana itu lebih baik. Berzikir
akan membersihkan hati. Hati yang bersih akan menyebabkan mata hati menjadi
terang lantas memudahkan ilmu yang baik untuk masuk bertandang dan berkembang.

Dari segi rohaninya kebaikan dan
sumbangan yang kita buat akan membawa kepada ganjaran yang jauh lebih banyak
dari itu. Sumbangan ilmu membawa kepada ilmu yang lebih banyak, sumbangan duit
membawa kepada duit yang lebih banyak sumbangan masa dan tenaga mungkin tak
bawa masa dan tenaga yang lebih banyak tapi InshaAllah ia membawa kepada
ganjaran pahala yang lebih banyak. InshaAllah.
Ini bermakna dalam memasukkan
input ada ilham tambahan yang Allah kurniakan kepada mereka yang menyampai dan
mengeluarkan output tersebut baik dari segi kata-kata dan penulisan. Dalam hal
ini kita ada kelebihan kerana senjata kita orang mukmin ialah doa. Kita boleh
berdoa dan meminta input itu dan ini dari Allah. Minta kesihatan yang baik,
umur yang panjang, rezeki yang luas, ilmu yang bermanfaat dan sebagainya.
InshaAllah Dia akan memakbulkan dan memberi apa sahaja yang diminta hambaNya
itu. Nampak tak jalan cerita dan
pengisian dalam artikel ini? Anda tak ada ilmu? Maka mula masukkanlah ilmu yang
baik dalam diri. Anda yang punya ilmu, maka janganlah berdiam diri,
sampaikanlah ilmu-ilmu tersebut. Kalau Nabi pendiam maka pastinya ugama Islam
takkan berkembang sepertimana sekarang. Anda ada tenaga maka gunakanlah tenaga
itu untuk membantu ibubapa dan sesiapa sahaja. Buat kebaikan dan tunjukkan
teladan. Akhlak yang baik akan menjadikan pemunya akhlak itu dipandang cantik
lagi mulia. Anda ada duit maka gunakanlah untuk menyumbang kepada ummah.
Janganlah jadi orang yang kedekut dan pentingkan diri sendiri! Yang terbaik
ialah mereka yang sanggup menyumbang apa sahaja yang mereka ada selagi tak bawa
kemudharatan kepada dirinya sendiri. Kehidupan manusia sebenarnya lebih
mengenai output kebaikan kepada ramai. Input juga tertakluk kepada perkara yang
baik sahaja. Ini akan membawa kepada manusia yang baik, beriman dan berakhlak
mulia. Mungkin inilah sebabnya wahyu pertama yang diterima Muhammad SAW dari
Allah melalui Malaikat Jibrail di Gua Hira’ ialah Iqra’ yang membawa maksud
Bacalah! Bacalah bagi tujuan memasukkan sebanyak mana input ke dalam diri.
Dalam pada itu hati yang penuh
dengan najis dan sampah sarap akan lambat laun tertutup dan output yang keluar
akan hanya yang busuk, memaki hamun, mencarut, fitnah, menipu, mengadu domba
dan sebagainya dari segi perbuatan pula membawa kepada tindakan yang buruk dan
merosakkan diri, keluarga dan sesiapa sahaja di sekeliling kita. Merompak,
menyamun, mencuri, membuli, meminta-minta, menyusahkan dan lain-lain lagi.
Hati yang kotor dan tertutup tidak
akan dapat menerima ilmu. Yelah manakan ilmu yang bersih sifatnya dapat duduk
dalam hati yang kotor dan penuh dengan kuman dan najis? Jadi jom kita sama-sama setiap
hari mencari jalan mengeluarkan output dan menyumbang untuk kemakmuran ummah!
Kalau yang masuk input negatif sekalipun seperti tohmahan, fitnah dan hinaan orang
lain, kita tetap tukarkannya kepada output yang positif, memaafkan dan lebih
baik lagi memberi hadiah dalam bentuk doa kepada mereka ini.
Ikhlas,
FY Al Haj
0166667430
Sekiranya anda mendapat manfaat membaca artikel ini FY
harap anda dapat like dan share post ini dengan harapan ia juga membawa manfaat
kepada orang lain yang dijodohkan dengannya.
No comments:
Post a Comment