Saturday, October 1, 2011

Perbezaan Matlamat dan Cita-Cita



“Great people has great responsibility”

Mungkin ada yang mengatakan yang pada saat ini yang semuanya telah sempurna dalam hidup mereka maka kita tidak perlukan apa-apa perubahan. Tetapi biarlah saya memberikan beberapa saranan yang boleh kita fikirkan untuk tujuan tersebut.

Pertamanya saya percaya yang semua insan yang dilahirkan ke dunia ini mempunyai matlamat tertentu yang perlu dicapai. Oleh itu kita mesti mempunyai matlamat sebagai manusia. Takkanlah kita dilahirkan ibu kita semata-mata untuk untuk membesar menjadi dewasa, menjalankan rutin yang sama setiap hari bersekolah dan bekerja, berkahwin, mendapat anak seterusnya cucu kemudiannya mati.

Pernah tidak ibu bapa kita menerangkan pada kita apakah matlamat hidup kita sebagai insan di dunia ini? Mungkin ramai yang pelik dengan soalan saya ini. Ibubapa saya juga tidak pernah menerangkan pada saya mengenainya. Apa yang saya tahu mereka mahupun guru-guru selalu bertanyakan akan cita-cita atau impian dan bukannya matlamat.

Semasa dalam darjah 6 saya seperti kawan-kawan yang lain bercita-cita untuk menjadi doktor dan sepanjang hidup entah berapa kali cita-cita saya berubah berdasarkan kursus atau aliran yang saya ambil. Bila saya dalam Aliran Perdagangan saya ingin jadi ahli perniagaan yang berjaya, bila bertukar ke aliran teknikal cita-cita saya pun bertukar untuk menjadi seorang jurutera dan begitulah seterusnya. Bila difikirkan kembali kalau saya telah mencapai cita-cita saya untuk menjadi seorang doktor, manakah arah tujuan saya seterusnya? Takkan ia berhenti hanya sampai di situ?

Sebanarnya cita - cita dan matlamat adalah dua perkara yang berbeza. Antara cita-cita insan lain yang pernah saya dengar ialah :

Untuk menjadi ahli perniagaan yang berjaya, untuk jadi orang kaya, untuk menjadi seorang doktor falsafah, untuk mempunyai kereta besar, rumah besar dan sebagainya manakala matlamat pula berkisar dengan kenyataan-kenyataan seperti berikut :

Untuk berjaya di dunia dan di akhirat, untuk menjadi hamba Tuhan yang bertakwa, untuk masuk syurga, untuk jadi orang yang berguna, untuk menjadi anak yang soleh, untuk melaksanakan perintah Tuhan dan meninggalkan laranganNya.

Namun begitu ramai juga yang menjawab " entahlah ".

Di zaman remaja saya, saya telahpun memilih dan meletakkan matlamat hidup saya iaitu “Untuk menjadi khalifah di muka bumi ini dan memakmurkannya". Semenjak itu apa jua yang saya lakukan berteraskan matlamat ini. Perkara yang membawa kesan positif kepada muka bumi akan saya julang dan sebaliknya akan saya tolak walaupun perkara itu perkara kecil. Sebagai contoh saya selalu menolak ( kecuali terpaksa ) untuk mengambil beg plastik semasa membeli barang di kedai kerana saya tahu beg plastik mengambil masa berjuta tahun untuk dimakan bumi. Kasihan bumi. Saya juga selalu mengelak menggunakan penyembur ubat nyamuk dan pembungkus makanan “styrofoam” kerana tahu ia boleh melepaskan gas CFC ( Chloroflorocarbon ) yang boleh menipiskan lapisan ozon. Lapisan ozon sangat penting kerana ia menghalang sinaran ultra-ungu sampai ke permukaan bumi. Tanpanya bantuan lapisan ozon ini kita boleh jadi buta dan menghidap penyakit kulit dan boleh membawa maut disebabkan sinaran ultra ungu itu. Sekali lagi kasihan bumi dan generasi yang akan datang. Saya dapat berbuat demikian untuk perkara yang saya tahu namun banyak lagi yang saya tidak tahu. Saya juga berharap kempen kitar semula yang dilancarkan kerajaan berjaya kerana terus terang saya ingin menyumbang kepada kempen ini. Ini kerana di masa akan datang, dalam jangkamasa 12 tahun warga bumi akan meningkat sekali ganda. Dengan penambahan penduduk di bumi ini maka lama kelamaan tempat pembuangan sampah akan habis dan mungkin satu hari nanti anak cucu kita terpaksa membina rumah mereka di atas timbunan sampah. Anda mungkin berkata kita boleh bakar sampah tersebut, tetapi pembakaran terbuka menyebabkan pelbagai masalah lain yang lebih menyusahkan. Sebagai contoh ia menyebabkan kenaikan suhu bumi, pencemaran udara dan sebagainya. Matlamat yang saya pegang ini juga menyebabkan saya sayangkan keamanan kerana bagi saya tidak ada apa yang perlu digaduhkan dan saya percaya semua permasalahan ada penyelesaiannya.

Atas sebab-sebab tertentu Tuhan telah menjuruskan kita ke satu-satu arah itu dengan tujuan tertentu dan pastinya Dia ada sebab tersendiri meletakkan anda di satu-satu tempat itu. Sebagai contoh, seseorang pekerja di satu-satu syarikat itu kadang-kadang tidak menyedari kenapa Tuhan menjodohkan dirinya dengan syarikat itu sedangkan dia berada di situ untuk sebab-sebab tertentu. Keselaluannya mereka ini bekerja hanya untuk satu tujuan iaitu untuk mendapatkan pendapatan bagi meneruskan kehidupan tidak lebih dari itu. Walhal banyak yang boleh dilakukan bukan sahaja dari segi kerjaya namun dari segi kemasyarakatan, perhubungan, ugama dan banyak lagi.  Ada pula yang di antara kita tidak ikhlas dalam pekerjaan iaitu mereka yang sentiasa mencari peluang untuk ponteng, mencuri tulang dan sebagainya. Kerja yang boleh disiapkan hari ini tidak disiapkan dan membawanya ke petang bagi tujuan mendapatkan pendapatan lebih-masa (overtime) atau membawa ke esok hari. Ada pula yang jenis berkira dalam kerja dan hanya melakukan kerja-kerja bersifat minimum berdasarkan surat tawaran. Inilah yang terjadi kepada kebanyakan kita yang tidak punya matlamat insan. Berjalan dengan mata yang celik tetapi hati yang tertutup tanpa arah tujuan yang jitu.

Pilihlah matlamat insan anda. Ini kerana ia akan merangkumi seluruh kehidupan anda di dunia ini. Sekiranya anda dapat menyebatikan diri anda dengannya, ia akan menjadi garispanduan yang bakal anda ikuti tanpa anda sedari. Andaikata anda seorang penulis anda akan jadi penulis yang berhemah, andaikata anda seorang doktor anda akan menjadi doktor yang berkhidmat, andaikata anda seorang pegawai kerajaan maka rasuah akan anda elakkan, andaikata anda seorang pelajar maka pastinya anda akan belajar dan beribadat bersungguh-sungguh kerana anda tahu matlamat anda ialah untuk berjaya di dunia dan di akhirat kerana sekiranya anda tidak berbuat demikian bagaimanakah anda ingin mencapai matlamat menjadi seorang insan yang berjaya?

1 comment:

  1. sy nak minta izin amik idea untuk presentation skolah sy boleh x tuan

    ReplyDelete