Saturday, October 1, 2011

Perbezaan Peringkat Ilmu dan Pengetahuan



Dalam isu pencarian ilmu kita umpama memanjat tangga yang mana pada setiap ketika sepanjang usia kita akan berada pada peringkat pembelajaran yang berbeza.  Keadaan ini juga menyebabkan perbezaan perspektif yang ketara apabila seseorang itu menilai sesuatu isu.

Katalah ada 10 peringkat pembelajaran maka mereka yang berada di peringkat yang ke 10 takkan mempunyai perspektif yang sama dengan orang yang berada di peringkat yang pertama. Katalah Ali berada dalam peringkat ke 10 takkan dia dapat mengajar apa yang dipelajarinya di peringkat ke 10 kepada mereka yang berada di peringkat yang pertama. Maknanya takkanlah dia hendak mengajar peringkat SPM kepada si darjah satu dan mengganggap murid darjah satu itu akan faham apa yang diajarnya. Pada masa yang sama, mereka yang berada dalam peringkat yang tinggi ini seharusnya merendah diri dan bercakap hanya apa yang perlu kepada mereka yang berada dalam peringkat yang lebih rendah dan bukannya menunjuk-nunjuk ilmunya. Perbalahan selalu berlaku dalam memperdebatkan sesuatu isu bila mereka yang berada di peringkat yang lebih tinggi cuba menyalahgunakan ilmunya untuk memperkecilkan pihak yang berada dalam tahap ilmu yang lebih rendah.  Ini sebenarnya menunjukkan yang masih banyak lagi yang harus difahami dan disedari oleh mereka yang dikurniakan dengan ilmu ini tadi.

Untuk memudahkan pemahaman katalah lima pelajar A,B,C,D dan E ditemukan pada satu masa untuk memperbahaskan tentang sesuatu isu. Mereka itu pula berada dalam peringkat pembelajaran yang berbeza. Si A dalam darjah 1, Si B dalam darjah 3, Si C dalam Darjah  6, si D dalam Tingkat 3 dan Si E pula dalam Tingkatan 5. Katalah isu yang diperbahaskan itu ialah isu matapelajaran Matematik Tingkatan 1, maka saya pasti si A akan berdiam diri kerana tak faham dan si B pula mungkin mencuba serkap jarang, manakala si C akan cuba mengagak, si D menerangkan sedangkan si E pula boleh menjelaskan dengan lebih mendalam mungkin juga dari pelbagai sudut yang berbeza atau dia mungkin dengan lagaknya mengatakan yang isu itu terlalu mudah lantas memperkecilkan pelajar yang lain. Inilah perbezaannya.

Berbalik kepada isu mengajar tadi, mereka yang berada dalam peringkat kedua pada pasti akan dapat mengajar mereka dalam peringkat pertama dengan menggunakan tatabahasa yang lebih baik dan difahami oleh mereka yang berada di peringkat pertama dan begitulah seterusnya. Peringkat kedua mengajar peringkat yang pertama, peringkat ketiga mengajar peringkat yang kedua dan seterusnya. Kalaupun mereka yang berada dalam peringkat yang ke 10 sekalipun dia mesti menurunkan diri ke peringkat yang pertama dengan mengajar cara dan kaedah yang difahami oleh peringkat yang pertama tadi.

Kadangkala kita akan bertemu dengan orang yang berada dalam peringkat yang rendah tetapi ingin meniru dari mereka berada pada peringkat yang tinggi. Maka pada masa itu apa yang mereka katakan akan menjadi seakan seekor burung kakak tua yang bercakap tanpa sandaran tanpa memahami apa yang dia sendiri katakan dengan menggunakan istilah-istilah yang mengelirukan.

Dalam aspek ugama keadaan ini selalu kelihatan. Mereka yang berada di peringkat tinggi yang telahpun mempelajari Bahasa Arab, memahami tafsir Al-Quran dan sebagainya menyampaikan dengan cara yang begitu. Penulisan dan penyampaian mereka juga begitu penuh dengan isi kandungan Al-Quran dan Hadis. Mereka faham dan tahu apa yang mereka maksudkan. Malangnya ada diantara kita yang juga menggunakan istilah Arab tetapi sebenarnya tak tahu apakah maksud perkataan yang diperkatakan itu.

Setiap insan berada di peringkat yang berlainan pada setiap masa dan ditentukan untuk tujuan yang tertentu. Oleh yang demikian itu kita akan dapat lihat bermacam jenis penulisan yang menuju ke arah haluan yang sama tetapi menggunakan istilah dan tatabahasa yang berbeza bersesuaian dengan golongan sasarannya. Contohnya ilmu pengetahuan yang dikurniakan Allah kepada penulis buku ini menyebabkan buku ini ditulis sedemikian rupa untuk kefahaman mereka yang muda remaja dan berada dalam peringkat rendah umpamanya. Berbanding dengan buku Prof Hamka mahupun Prof Harun Din, penggunaan istilah Arab, Hadis dan sebagainya adalah lumrah tetapi ia sebenarnya tak sesuai pula untuk mereka yang berada dalam peringkat yang rendah yang baru mula hendak menjinakkan diri dengan ugama. Isinya pasti tak akan difahami, menimbulkan pelbagai persoalan dan bakal memeningkan kepala mereka.

Kalau dilihat buku pertama penulisan seseorang pengarang itu juga berada di peringkat yang rendah sebelum ia meningkat ke peringkat yang lebih tinggi bersesuaian dengan peningkatan umur serta ilmunya. Buku seterusnya itu juga semakin lama semakin tebal kerana penjelasan topiknya yang lebih detail atau mendalam. 

Menurut Prof Hamka dalam bukunya yang berjudul Falsafah Hidup ;

Bila bertemu dengan orang di peringkat atas kita belajar,
Bila bertemu dengan orang di peringkat yang sama kita bertukar fikiran dan,
Bila bertemu dengan orang yang di peringkat bawah kita cakap apa yang perlu.

Kalau kita ambil nasihat Prof Hamka maka kita bukannya disuruh mengajar mahupun memperkecilkan mereka yang berada di peringkat bawah itu tadi demi untuk menunjukkan yang kita lebih pandai atau lebih tinggi kedudukan ilmu. Kalaupun hendak menyampai ia seharusnya disampaikan penuh dengan hikmah.

No comments:

Post a Comment