Saturday, October 1, 2011

Matlamat Kehidupan



Mungkin anda pernah mendengar kata-kata seperti “he lived to serve his purpose” atau dalam Bahasa Melayu “dia hidup bagi mencapai sesuatu matlamat”.

Mungkin kalau kita balik kepada perumpamaan yang  dibuat dalam topik yang lalu tentang perjalanan di lebuh raya itu, perbezaan yang ketara ialah kepada penentuan destinasi. Dalam topik lencongan tadi destinasi titik B yang ingin kita tujui itu ditentukan oleh kita sendiri dengan meletakkan matlamat diri yang tertentu tetapi dalam topik ini pula ia berbeza kerana detinasi atau matlamat tersebut ditentukan oleh Allah Taala.

Bagi memulakan topik ini biar saya mengajak anda sidang pembaca sekelian berfikir sejenak.

Nabi kita yang mulia, Nabi Muhammad S.A.W. wafat pada umurnya 63 tahun setelah berdakwah selama 23 tahun bermula dengan menjalankannya secara sembunyi-sembunyi hinggalah dalam terang-terangan seterusnya menyempurnakan ajaran Islam. Cuba anda bayangkan sekiranya Nabi wafat pada umur 20 tahun, 40 tahun mahupun 55 tahun. Apakah yang akan terjadi kepada ajaran Islam tersebut? Apa yang saya pasti ajaran Islam tak akan sempurna dan sampai ke seluruh pelusuk dunia juga Al Quran tak akan lengkap sepertimana yang anda lihat sekarang.

Inilah antara tanda-tanda kebesaran Allah Taala. Dalam ertikata lain mungkin Nabi dihidupkan Allah Taala di muka bumi ini bertujuan untuk mencapai satu matlamat iaitu menyebarkan Islam ke seluruh dunia dan setelah tercapai matlamat tersebut bagindapun diwafatkan.

Rock Hudson contohnya adalah seorang pelakon Hollywood yang terkenal satu ketika dahulu mati dan seterusnya memperkenalkan penyakit AIDS  ke seluruh dunia. Kisah Sultan Salahuddin yang berjaya menakluk Jerusalem dalam dua perang salib dan meninggal dunia pada umur 55 tahun, kisah Nepoleon Bonaparte dan yang lainnya.

Bukankah sekiranya sesuatu matlamat itu belum dicapai maka takkanlah mereka-mereka ini akan mati sebelum dari itu? Dalam lain perkataan mereka terlibat dalam kemalangan maut dalam perjalanan menuju ke destinasi. Mereka tak sampai tempat yang ditujui.

Kalau difikir dan dikaji, binatang dan lain-lain kehidupan juga hidup untuk tujuan yang tertentu. Harimau dengan sifatnya yang ganas, berjalan atas empat kaki takkan melanggar hukum alam dengan bersikap seperti lembu, bergerak dengan cara menjalar seperti ular atau terbang seperti burung, makan sayur dan sebagainya. Ini jelas menunjukkan yang setiap ekor harimau yang kita temui akan mempunyai tujuan hidup yang sama sehinggalah ke akhir hayatnya.

Bagaimana pula kita?

Dalam ertikata lain Allah Taala pasti tahu apakah tujuan seseorang itu dihidupkan, kenapa dia dihidupkan ke dalam sesuatu golongan dan sebagainya. Dia mungkin menjadi terkenal hingga ke seluruh dunia atau dia mungkin hanya akan dikenali di kalangan kelompok yang kecil namun matlamat yang bakal disampaikan jelas. Ramai yang berada dikeliling kita yang meninggal dunia membawa pelbagai iktibar kepada kita yang hidup. Selalunya iktibar itu bertujuan untuk kita fikirkan apabila berlaku kematian, menghargai kehidupan serta mengambil contoh kepada apa yang telah dilakukan simati sepanjang hidupnya baik mahupun buruk.

Ada juga yang tidak dikenali semasa hidupnya tetapi dikenali hanya selepas matinya dan begitulah seterusnya.

Kalau difikirkan tak perlukah kita menunggu sesuatu kematian sebelum mendapat iktibar dari apa yang hendak disampaikan oleh mereka yang berada di sekeliling kita. Bukalah mata hati untuk menilai dan memerhatikan mereka-mereka yang berada di sekeliling kita kerana mungkin apa yang mereka lakukan atau buat sebenarnya mempunyai iktibar untuk kita ambil pedoman.

No comments:

Post a Comment