Thursday, December 27, 2018

MOTIVASI PERCUMA - TEKNOLOGI MEROSAKKAN?


SIRI MOTIVASI BERSAMA FY – SIRI PERTAMA
TEKNOLOGI MEROSAKKAN?

Image result for smartphone addiction

Perkembangan teknologi dewasa ini telah membawa kepada penciptaan pelbagai jenis gajet, gajet yang boleh digunakan untuk pelbagai aplikasi dan secara tak langsung ia telah mengubah kehidupan manusia. Kalau arak dan rokok kita ada had umur sebelum kita boleh meminum atau menghidapnya namun gajet tiada walaupun ia serupa dengan rokok dan arak dari segi ketagihannya. Dewasa ini begitu ramai kanak-kanak dan remaja yang ketagihan dengan gajet ini, mereka tak boleh hidup tanpanya. Berjam-jam masa dihabiskan di depan gajet tersebut. Bayangkanlah kalau kaki arak tidak dibenarkan meminum arak maka mengamuklah dia samalah juga kaki gajet kalau tak diberi gajet mereka juga akan mengamuk.


Image result for smartphone addiction

Kalau generasi dahulu bila menghadapi masalah mereka akan bertemu dengan kawan untuk meluahkan masalah yang sedang mereka hadapi bagi mendapatkan sedikit kelegaan dan sokongan moral. Ada juga yang merokok dan meminum arak untuk mendapatkan kelegaan yang sama namun dewasa ini laman sosial dan gajet menjadi tempat luahan utama. Dewasa ini kita dapat lihat ramai yang menceritakan kisah suka duka kehidupan mereka dalam laman sosial. Maka dari sini terjalinlah perhubungan dari alam fizikal kepada alam maya secara online. Like, subscribe dan komen di Facebook, Instagram dan Tweeter yang menjadi lebih utama. Mereka punya ramai kawan online namun masalah timbul bila mereka cuba membentuk jalinan perhubungan dengan kawan mahupun percintaan di alam nyata. Mereka tak punya pengalaman mengenainya.

Image result for social media

Kawan online ini hanyalah kawan sementara dan bukannya kawan yang setia. Perhubungan alam nyata tidak seperti kawan alam maya yang begitu boleh didapati dengan satu klik namun kawan alam nyata perlu masa yang lama untuk didekati, dirapati dan disayangi, untuk menjadi kawan yang setia yang bersedia untuk menangis dan ketawa bersama.

Generasi ini juga begitu menjaga penampilan mereka dalam media sosial agar kelihatan serba sempurna atau flawless namun hakikatnya kita semua tahu yang tiada yang sempurna dalam kehidupan ini. Bila masalah menimpa mereka sebenarnya rapuh dan tak tahu bagaimana untuk menghadapi apatah lagi menyelesaikannya. Bila putus hubungan contohnya mereka akan merudum jatuh dan menghadapi kesukaran untuk bangkit semula. Generasi gajet dewasa ini hakikatnya tak punya kemahiran untuk menjalin hubungan di alam nyata, tak punya skil menghadapi dan mengatasi masalah.

Mereka menjadi satu generasi yang ketagih dengan gajet. Mereka tak boleh hidup tanpanya, mereka mesti cek telefon bimbit setiap 10 minit contohnya untuk mengemaskini apa yang terjadi dalam Facebook, Instagram, Tweeter, WhatsApp atau apa sahaja aplikasi kegemaran mereka.

Kalau kita bertemu untuk borak-borak minum kopi, sambil borak tangan mereka sedang menulis di WhatsApp. Mereka tak seperti generasi terdahulu yang prihatin dan akan meletakkan telefon bimbit di atas meja dan mengutamakan perbualan yang berlaku antara mereka. Adakalanya telefon berbunyi pun tidak mereka pedulikan kerana mereka tahu mereka boleh menelefon mereka kembali setelah pertemuan mereka selesai.


Image result for smartphone addiction

Dalam mesyuarat, dalam seminar, dalam kelas, dalam masjid, dalam panggung wayang  ramai yang tak dapat melepaskan telefon bimbit mereka untuk memberikan fokus kepada apa yang berada di hadapan dan ia jelas menunjukkan ketagihan mereka kepada gajet termasuklah telefon bimbit ini.


Image result for smartphone addiction

Akhirnya telefon bimbit ini menjadi ;

·         Lebih penting dari Allah Taala bila ia digunakan di masjid ketika imam sedang menyampaikan khutbah.
·         Lebih penting dari mendengar perbicaraan dengan ibubapa dan rakan taulan.
·         Lebih penting dari mendengar isi mesyuarat yang sedang berlangsung.
·         Lebih penting dari mendengar pensyarah yang sedang bersyarah dalam bilik kuliah dan sebagainya.

Bukankah ini jelas menunjukkan KETAGIHAN dan KEROSAKAN yang mengambil tempat oleh sebab perkembangan sains dan teknologi dewasa ini.


Image result for smartphone addiction

Begitupun sebenarnya setiap ciptaan ada manfaat dan mudarat yang datang bersamanya. Sebagai contoh pokok kelapa boleh memberikan pelbagai manfaat kepada manusia. Daunnya boleh dijadikan pembungkus ketupat, lidinya boleh dijadikan penyapu lidi, air dari buahnya boleh merupakan minuman yang berkhasiat, isi kelapa boleh dibuat santan dan banyak lagi manfaat pokok kelapa kepada manusia namun ia juga boleh menjadi mudarat bila buahnya jatuh menghempap kepala. Saya akan menghuraikan lebih lanjut mengenai perihal ini dalam bab yang akan datang.

Dalam hal teknologi ini juga begitu cuma masalahnya tanpa kita sedari ia lebih memudaratkan bila ia disalahguna, bila kita ketagih dengannya, bila kita tak dapat mengawalnya, bila kita tak dapat menguasainya, bila kita menjadi HAMBA kepadanya. Itulah masalahnya.

Hakikatnya gajet dan telefon pintar ini boleh membawa manfaat dan membantu kita untuk berkomunikasi, mengambil gambar dan video kenangan-kenangan, menghantar dokumen dan email, meningkatkan ilmu pengetahuan dengan pengisian-pengisian yang baik buat akal dan rohani, mengembangkan perniagaan dengan menjalankan pemasaran, meningkatkan jaringan perniagaan dan sebagainya.


Image result for smartphone addiction

Apapun pastikan matlamat anda dalam menggunakan peralatan teknologi ini. Cuba tanya soalan-soalan berikut ini ;

·         Adakah ia bermatlamat untuk meningkatkan ilmu pengetahuan atau peningkatan keimanan?
·         Adakah ia membawa keuntungan kewangan atau penjenamaan kepada perniagaan yang anda jalankan?
·         Adakah ia mengeratkan hubungan anda dengan keluarga, saudara mara dan rakan taulan?
·         Adakah ia bakal membawa anda ke gerbang perkahwinan?
·         Adakah ia meningkatkan kemahiran dan kepandaian anda dalam sesuatu bidang?
·         Adakah anda gunakannya untuk menyampaikan perkara yang positif dan boleh membangunkan ummah?
·         Dan pelbagai matlamat yang baik yang lain lagi.

Atau

·         Adakah ia hanya membuang masa sia-sia dengan matlamat untuk melempiaskan NAFSU? Memberi makanan kepada NAFSU?
·         Adakah ia digunakan untuk menonton yang lucu dan lucah? Menonton yang makruh dan haram?
·         Menonton sesuatu berulang-ulang kali? Sedangkan bukankah memadai dengan hanya menonton sesuatu itu sekali sahaja? Kali kedua dan seterusnya ia hanya akan membuang masa hidup. Lainlah anda perlu berbuat demikan kerana anda perlu belajar gerak tari atau menghafal lirik lagu kerana anda seorang penyanyi dan sebagainya.
·         Adakah anda menggunakannya untuk mencari pasangan untuk tujuan menjalin perhubungan seks?
·         Adakah anda menggunakannya untuk berjudi?
·         Adakah anda menggunakannya untuk bermain games?
·         Adakah anda menggunakannya untuk menipu orang lain?
·         Adakah anda menggunakannya untuk menyampaikan dakyah dan propaganda negatif yang boleh merosakkan?
·         Dan pelbagai lagi mudarat yang boleh dilakukan dengan gajet yang anda di tangan anda itu.


Image result for smartphone addiction

Fikir-fikirkanlah.


Ikhlas,

FY Al Haj
0166667430

Sekiranya anda mendapat manfaat membaca artikel ini FY harap anda dapat like dan share post ini dengan harapan ia juga membawa manfaat kepada orang yang dijodohkan dengannya.