Monday, February 22, 2016

FORMULA RAHSIA MENJEMPUT REZEKI FY - PENCIPTAAN

FORMULA RAHSIA MENJEMPUT REZEKI FY - PENCIPTAAN



 “Saya tak akan ikut laluan orang lain, saya akan lalu di tempat yang tidak pernah dilalui dan saya akan meninggalkan jejak".  

Muriel Strade

Semasa FY belajar  di Amerika Syarikat FY dapat lihat yang sekiranya mereka berkarya atau mencipta, mereka akan melakukannya ke tahap yang terbaik dan penuh dengan kualiti. Contohnya Philip H. Knight mencipta kasut Nike. Mereka menghabiskan banyak modal untuk Penyelidikan dan Pembangunan juga promosi. Mereka membuat kajian tentang bagaimana bentuk kaki seseorang itu, bagaimana berat badan seseorang itu mempengaruhi pergerakan, kajian kegunaan secara khusus dan sebagainya, kemudian mereka mencipta kasut yang begitu ringan, mempunyai banyak pilihan bukan sahaja dari segi saiz dan jantina pemakai tetapi juga dari segi kegunaan sama ada untuk berjalan, berlari, bermain bolasepak, tenis dan apa juga jenis sukan. Semasa buku ini ditulis empayar Nike bernilai kira-kira USD 100 Billion.


Dewasa ini penciptaan Facebook syarikat Sosial Media terbesar dunia tetapi tidak mempunyai sebarang content sekarang bernilai labih USD300B, Syarikat UBER taxi pula bernilai lebih USD60 Billion walaupun tidak memiliki satu teksi sekalipun, Syarikat AirBNB menyediakan homestay di seluruh dunia bernilai lebih USD25 Billion tetapi langsung tidak mempunyai satu property sekalipun. Dewasa ini pencipta di Barat hanya mencipta Aplikasi yang membawa manfaat kepada populasi dunia dan mereka mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda darinya. 

Begitu juga dengan Jepun, satu masa dahulu barangan keluaran Jepun dianggap seperti barangan yang  tidak bermutu dan murah, tetapi pada tahun 1946 sejurus selepas negara itu dibom oleh pihak bersekutu seorang pemuda berumur 25 tahun bernama Akio Murita telah memulakan perniagaan alatan elektronik bermodalkan pinjaman bank sebanyak USD500.00. Beliau bukan bersaing untuk pasaran di Jepun semata-mata tetapi beliau bersaing untuk mendapatkan pasaran global terutamanya pasaran Amerika Syarikat. Syarikatnya, Sony telah mengubah pandangan dunia. Apa yang dilakukannya ialah mengambil radio ciptaan barat yang besar pada masa itu dan mengecilkannya hinggalah menjadi “Walkman”. Walkman berkualiti yang dicipta Sony menerjah ke setiap penjuru alam pada masa itu. Hinggakan kamus Oxford menerima istilah “walkman” ini sebagai satu istilah bahasa Inggeris. Anjakan paradigma berlaku pada seluruh rakyat jepun dan mereka mula mencipta barang-barang yang berkualiti dan murah hingga menjadikan negara mereka negara ekonomi terbesar dunia mengalahkan Amerika Syarikat. Sekarang kita boleh membeli palbagai jenis barangan rumah, barangan komersial, kenderaan dan sebagainya yang diakui berkualiti dari Jepun.

FY pernah menonton dokumentari tentang Akio Murita di televisyen. Untuk mencipta beliau menjaga  pemakanan hinggakan beliau ada seorang doktor yang digaji khas untuk tujuan ini. Setiap apa yang beliau makan akan ditimbang dan ditentukan. Disamping itu beliau menjaga kesihatan fizikal dengan melakukan senaman, berenang dan sebagainya. Katanya dengan berbuat demikian beliau akan mendapat  ilham untuk penciptaan yang seterusnya. Sampai begitu sekali.

Dalam Islam sendiri kalau kita makan walau sesuap yang haram maka selama 40 hari doa kita tidak akan dimakbulkan Tuhan. Teringat FY akan kisah Imam Shafie yang mempunyai  yang mempunyai memori fotografik. Maknanya beliau boleh mengingati setiap apa yang beliau baca / nampak. Pada suatu hari, sedang beliau berjalan dengan tidak sengaja beliau terpandang betis seorang wanita. Maka entah macamana beliau langsung tidak dapat menghafal sepanjang hari itu. Beliau sentiasa memastikan yang lembaran kain putih dalam diri beliau tidak terconteng bagi membolehkan beliau menghafal dan melakukan tugas harian dengan keberkatan Tuhan. Kadang-kadang FY tertanya-tanya juga kalau-kalau di zaman ini masih ada insan yang mempunyai kain putih yang benar-benar bersih di dalam diri mereka.

Kalau kita lihat dibidang sukan pula, Tiger Woods pemain golf nombor satu dunia dan Nicole David pemain remaja terbaik dunia dalam sukan skuash boleh dijadikan teladan. FY pernah terserempak dengan Nicol dan dia bukanlah seorang besar susuk tubuhnya tetapi bagaimanakah dia dapat mengalahkan pemain-pemain luar negara yang jauh lebih besar? Walaupun beliau sibuk dengan latihan namun beliau masih lulus peperiksaan SPM dengan cemerlang. Mereka berjaya kerana mereka gigih berlatih tanpa jemu hari-hari semenjak masih muda untuk menjadi yang terbaik. Kalau kita lihat apapun kejayaan dalam apa juga bidang tidak akan datang tanpa kegigihan. 

Kebanyakan filem-filem Barat yang mengambil masa lebih kurang dua jam itu pun dilakukan dengan penuh kualiti. Mereka mengambil unit-unit yang terbaik sebagai contoh unit lampu, unit kamera, unit grafik, unit “stunt”, unit muzik, pemilihan pelakon-pelakon, pengarahan, juru edit, juru suara dan penataan bunyi, unit “prop” , unit promosi dan sebagainya. Setelah semua yang terbaik ini dicantumkan maka barulah kita dapat menonton filem 2 jam tersebut. Demikianlah penciptaan mereka. Lihatlah kualitinya.

Dari kacamata mereka mereka bersaing dengan dunia. Mereka mengeluarkan yang terbaik untuk semua tidak kiralah dari bahan makanan, wayang, permainan video, barangan teknologi dan sebagainya. Ada juga ciptaan mereka yang tidak berkualiti tetapi promosi besar-besaran mereka dapat meyakinkan pengguna.

Walau siapapun anda, jadilah yang terbaik.
Abraham Lincoln

Tetapi kalau dibandingkan dengan ciptaan orang kita. Kita lebih suka membuat sesuatu itu dengan sambil lewa tanpa membuat kajian yang mendalam. Inilah sikap yang ada pada ramai. Sikap ini boleh dilihat dari hasil kerja orang kita. Dari cara bekerja, berpakaian, menulis, berjalan dan sebagainya. Semuanya main tangkap muat sahaja.

Sebagai contoh penjual makanan. Pada mulanya masakan mereka sedap dan dikunjungi ramai. Kemudian mereka mula memasak dengan sembil lewa kerana menyangka yang pelanggan akan tetap berkunjung ataupun apabila tukang masak bertukar, kualiti masakan mula menurun. Akhirnya tutup kedai. Itu belum cerita pasal aspek layanan.

Sepatutnya dari segi ini kita kena tiru cara Barat, iaitu mencipta yang baru dan kemudian menyesuaikan dengan perubahan selera pelanggan. Menambah menu masakan, mencantikkan kedai, meningkatkan promosi dan banyak lagi.

Kenapa FY huraikan pengisian penciptaan sebagai satu elemen penting dalam buku Tip Rahsia Menjemput Rezeki ini?



KEPENTINGAN PENCIPTAAN

Sebagai seorang Islam Allah Taala adalah Maha Pencipta, Allah mencipta segala apa yang ada di muka bumi ini malah segala apa yang ada di cakerawala hingga tak tercapai akal manusia untuk memikirkannya. PenciptaanNya serba sempurna, membawa manfaat kebaikan serta kesimbangan dalam kehidupan. Kita sebagai makhluk manusia juga dicipta Allah Taala dengan kekuasaan dan menurut kehendakNya.

Dalam hal ini manusia pula mencipta menggunakan semua sumber yang telah dicipta Allah di mukabumi ini. Pokok getah dijadikan tayar kereta, pokok dijadikan kertas, Tanah dan besi menjadi bangunan yang tinggi. Bulu binatang dijadikan pakaian dan sebagainya. Semuanya dicipta dengan setitik ilmu pengetahuan yang dikurniakan kepada manusia. 

Penciptaan manusia sejak dahulu hingga sekarang telah membawa kepada pembangunan, kemajuan dalam ketamadunan kemanusiaan. Semakin lama sains dan teknologi berkembang hingga tercipta pelbagai benda yang tak pernah terlintas dalam akal fikiran kita. Penciptaan kereta sejak zaman Henry Ford telah mengalami evolusi hingga ada yang mencipta supercars yang hebat sehingga kepada kereta yang boleh terbang. Penciptaan telefon oleh Alexander Graham Bell telah berkembang hingga menjadi smart phone yang serba canggih dengan pelbagai fungsi yang complicated.

Pun begitu penciptaan manusia serta tak sempurna dan punya kelemahan. Ada penciptaan yang membawa mudarat, ada yang tak berguna, ada yang hilang ditelan zaman dan sebagainya. Syarikat pengeluar filem Kodak contohnya yang satu ketika dahulu begitu gah akhirnya menjadi bankrap ditelan arus perubahan teknologi dunia. Syarikat Nokia juga menerima nasib yang sama.

Bolehlah dikatakan di sini yang Allah Taala suka kepada pencipta, suka kepada pencipta yang membawa manfaat kepada manusia yag ramai, suka kepada manusia yang punya sifat khalifah yang hidupnya untuk memakmurkan mukabumi ini. Jadi kita dah tahu yang ada ganjaran yang besar kepada orang yang membawa manfaat kepada yang ramai, lagi ramai lagi baik. Jadi di sini melalui huraian ini anda juga tahu yang penciptaan adalah satu elemen penting bagi tujuan membawa manfaat ini.

Mungkin anda akan berkata, semua benda telah dicipta dan tak ada apa lagi yang boleh dicipta. Itu jugalah yang FY katakan dahulu. Tetapi satu hari FY telah mengambil keputusan untuk menulis dan terus menulis dari sebuah blog kepada sebuah buku, sekarang sudah 11 buku diterbitkan dan ada 3 Ebook telah FY siapkan. Bukankah apa yang sedang anda baca ini juga satu penciptaan? Huruf-huruf yang disusun menjadi perkataan dan diolah menjadi ayat ini tidak wujud sebelum ini. Ia hanya wujud bila FY menulisnya kemudian memaparkannya di blog, FB di alam maya dan InsyaAllah menjadi buku satu hari nanti. Buku yang sebelum ini tidak terdapat dalam rak buku pada ketika ini akan berada di sana kelak. Ia bukan satu magik tapi ia memerlukan satu usaha yang gigih dan berterusan sehingga ia menjadi kenyataan. 

Kemudian FY mulakan seminar, kursus serta personal coaching bagi mendidik pelabur saham yang baru menjejakkan diri dalam pelaburan ekuiti di Bursa Malaysia. Semua ini membawa kepada ganjaran kewangan yang banyak memandangkan FY berpengalaman dalam bidang ini sejak 20 tahun yang lalu. Dalam hal ini carilah ilmu, carilah apa kebolehan dan kemahiran anda. Dari situ menciptalah produk atau perkhidmatan yang boleh membawa manfaat kepada khalayak.

Persoalan FY ialah adakah apa yang anda baca ni membawa manfaat kepada anda atau tidak?

Sekiranya ada maka FY yakin akan ada ganjaran rezeki buat FY kelak andai diizinkan Allah Taala baik rezeki yang kelihatan mahupun tidak. Royalti buku, jemputan ke seminar motivasi atau bicara buku, perubahan dan kefahaman kepada pembaca yang dijodohkan dengan buku ini adalah rezeki yang tersurat tetapi yang tersirat adalah kelapangan, anak yang sihat, ketenangan, kesihatan, ilmu pengetahuan yang lebih banyak lagi serta kurniaan-kurniaan yang tak nampak dek mata kasar. Itulah kelebihannya dalam perihal penciptaan yang membawa manfaat kepada yang ramai ini.

Kesimpulan dari semua ini sekali lagi FY tegaskan jadilah seorang pencipta, menciptalah, produk atau perkhidmatan yang boleh membantu menyelesaikan masalah orang lain mahupun yang boleh membawa manfaat kebaikan dalam kehidupan mereka.

Sekian dulu buat kali ini.

Artikel ini dipetik dari Buku Formula Rahsia Menjemput Rezeki karya FY yang masih dalam proses penulisan.

FY
0166667430


FY @ Faizal Yusup telah menulis 11 buah buku motivasi dan novel antaranya Keluar Dari Tempurung, Berubah Sebelum Rebah, Anda Yang Baru juga Ebook-ebook pelaburan saham memandangkan beliau seorang Remisier yang menjawat jawatan Naib Presiden dalam Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia. Beliau juga merupakan speaker bagi program Smart Invest anjuran Suruhanjaya Sekuriti (SC).

1 comment: