Saturday, October 1, 2011

Matlamat Masa dan Keutamaan Pengisiannya



Bila kita menggantikan masa dengan apa jua aktiviti, apa yang penting ialah untuk mengetahui apakah matlamat yang hendak dicapai dalam aktiviti tersebut. Sebagai contoh, kita menziarah saudara mara kita bermatlamatkan mengeratkan silaturrahim. Katalah kita sampai ke rumah mereka pada pukul 8:00 malam jadi, pukul berapakah kita harus pulang? Adakah pelaburan masa 4 jam untuk mengeratkan silaturrahim berbeza dengan pelaburan selama 2 jam? Adakah matlamat merapatkan silaturrahim itu tercapai dalam jam yang keempat?

Ramai juga yang bertemu hari-hari di pejabat tetapi boleh berborak selama berjam-jam. Cerita mereka berkisar tentang rancangan televisyen yang ditonton semalam, gossip para artis, mengumpat dan lain-lain lagi. Ini tidak kena dengan matlamat mengeratkan silaturrahim.

Ali pula boleh berceloteh dengan makwenya di talian telefon selama berjam-jam setiap hari tanpa matlamat yang tertentu. Nak mengatakan selamat tinggal pun mengambil masa lebih setengah jam. “Youlah letak dulu..” kata Ali, “You lah...” kata makwenya. Mungkin Ali melaburkan masa tersebut dengan matlamat untuk mengahwini kekasihnya itu. Tetapi kalau tidak jadi macamana? Dalam pada itu ada juga yang mempunyai matlamat serong yang tidak perlulah saya bincangkan di sini.

Dalam isu mengeratkan silaturrahim ini, inilah yang selalunya terjadi. Jam pertama digunakan untuk berbual tentang perkara yang baik dan bermatlamat, masuk jam kedua isu yang diperkatakan mulai longgar, jam ketiga mulalah kita berbual kosong, jam keempat silap-silap mengumpat orang lain sebab cerita dah habis.

Sebagai guru pula, kita mestilah tahu apakah matlamat yang hendak kita sampaikan kepada anak-anak murid pada setiap kelas. Ini boleh dilakukan dengan membuat persiapan awal sebelum ke kelas. Ilmu yang disampaikan dengan ikhlas pasti akan sampai kepada murid-murid.

Dewasa ini, masa yang diperuntukkan untuk mandi pun semakin lama kerana penciptaan “syampoo, conditioner, facial wash, body wash, body scrub” dan bermacam lagi. Mungkin di masa akan datang, kita akan mengambil masa 2 jam hanya untuk mandi. Kerana penciptaan sabun khas untuk tangan, kaki, telinga dan anggota-anggota lain. Ada satu iklan pemanas air mengingatkan saya tentang isu ini. Oleh kerana terlalu sedap mandi dengan air panas ini si bapa mengambil masa berjam-jam untuk mandi. Apakah matlamat mandi? Bukankah untuk membersihkan diri. Takkanlah untuk sampai ke matlamat itu kita perlu mandi berjam-jam. Bukankah ini satu pembuangan masa dan tenaga yang jelas. Di zaman moden ini, kalau kita nak beli ubat gigi pun kita akan mengambil masa yang lama. Ini kerana terdapat lebih 20 jenama, 30 jenis, 25 perisa dan sebagainya. Masa kita dihabiskan untuk memilih. Itu baru ubat gigi. Mahu lebih sejam kita ambil untuk memenuhkan troli pasaraya setiap kali kita membeli barangan dapur. Patutlah hari berlalu begitu cepat.

"Bekerjalah seperti anda akan hidup selama-lamanya dan beribadatlah seperti anda akan mati esok hari"

KESIMPULANNYA : Pastikan matlamat yang hendak dicapai sebelum melaburkan masa anda terhadap sesuatu aktiviti yang bakal dijalankan.

Jom kita sambung penceritaan dan bab yang akan datang. Kongsikan blog ini  andai ia bermanfaat. Sesungguhnya yang baik dari Allah SWT dan yang kurang baik adalah atas kelemahan diri saya sendiri.

Sekian dulu, Terima kasih.

Ikhlas

Haji Faizal Yusup

www.mindaakhirat.com

Haji Faizal Yusup sudah menulis 12 buah buku dalam genre umum, fiksyen, motivasi, novel dan pelaburan saham Bursa Malaysia. Pernah memenangi Dana Anugerah Penulis melalui novel Bukan Maksum dan Trilogi Man Rempit pada tahun 2012 dari Kementerian Telekomunikasi dan Multimedia. Pernah dijemput untuk menjalankan seminar, bengkel dan woksyop motivasi di sekolah dan universiti. Dewasa ini menubuhkan Yayasan Minda Akhirat dan menjalankan program motivasi Minda Akhirat. Revolusi Baru Sahsiah Diri.

www.bicarapelaburan.com

Beliau juga merupakan seorang Top Performing Remisier di Kenanga Investment Bank Berhad. Pemenang pelbagai Anugerah Bursa Malaysia. Mantan Naib Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia dan pernah menjadi speaker dalam RoadShow InvestSmart anjuran Suruhanjaya Sekuriti. Dewasa ini beliau sering dijemput sebagai sepeaker dalam seminar saham From Zero to Hero yang diiktiraf Bursa Malaysia. 

Beliau boleh dihubungi di talian 0166667430.

#mindaakhirat

#faizalyusup

No comments:

Post a Comment