Saturday, October 1, 2011

Kemaafan Dendam Yang Terindah


Bayangkan, andaikata setiap kali kita tidak memaafkan seseorang dalam hidup ini, ia umpama memasukkan seketul ke dalam guni yang kemudiannya kita pikul. Maka setiap kali kita tidak memaafkan orang maka bertambahlah sebji batu di dalam guni yang kita pikul. Maka semakin lama semakin beratlah bahu kita untuk memikulnya sepanjang hidup kita.

Biarlah apapun yang orang lain lakukan pada kita saya rasa cara terbaik untuk meringankan beban itu ialah untuk memaafkan mereka. Dengan berbuat demikian ianya seakan mengeluarkan sebiji batu demi sebiji batu dari dalam guni itu hinggalah tiada lagi batu yang tinggal di dalamnya. Mereka yang hidup tanpa guni yang berat di bahu akan dapat menjalani kehidupan yang tenang dan mudah kalau dibandingkan dengan mereka yang sebaliknya.

Memaafkan sebenarnya merupakan sesuatu yang berat untuk dilakukan.

Fikirlah siapa yang kita pernah marah dan dendami selama ini dan mungkin inilah penyebab kenapa kita tak dapat menjalankan kehidupan seharian dengan lancar.

Batu ini mungkin berbentuk kebencian, hasad dengki, iri hati dan sebagainya. Ada yang memikul batu yang banyak kerana terlalu mudah membenci orang lain dan tidak mahu memaafkan orang lain yang bersalah kepadanya. Batu sebegini boleh dikeluarkan dengan seikhlas hati memaafkan orang yang menganiaya kita walaupun peristiwa itu telah berlalu sejak sekian lama. Percayalah, walaupun ia sukar tetapi dengan berbuat demikian anda seakan dapat merasakan satu macam kelegaan yang tidak dapat digambarkan dari dalam diri anda sendiri.

Inilah yang boleh kita lakukan sekiranya ia melibatkan perhubungan dengan orang lain tetapi pada masa yang sama ada sebiji batu penting yang perlu juga kita titik beratkan iaitu batu yang berkenaan diri kita sendiri. Ada diantara kita yang boleh memaafkan orang lain tetapi tak dapat memaafkan diri sendiri atas apa yang telah berlaku.

Misalan yang boleh saya buat dari isu ini ialah, Ani telah terlanjur atas pujuk rayu Man seorang jejaka yang tidak bertanggungjawab. Pada masa itu Ani terlalu mentah, tidak matang dan tidak dapat menilai buruk baik sesuatu tindakan yang hendak diambil. Ani tidak mendengar nasihat ibubapanya kerana rasa cintanya yang mendalam pada Man dan dia mahu sehidup semati dengan Man.

Habis madu sepah dibuang.

Dalam kes ini, batu yang pertama ialah Ani membenci dan tidak memaafkan Man atas apa yang telah terjadi. Dia juga tidak mempercayai mana-mana lelaki lagi selepas peristiwa itu. Adakalanya dia mengatakan yang dia benci kepada semua lelaki dalam dunia ini dan mahu membalas dendam terhadap semua lelaki yang dia temui selepas itu. Hatinya telah tertutup untuk bercinta lagi.

Batu yang kedua ialah Ani tidak dapat memaafkan dirinya sendiri. Dia merasakan yang dirinya hina, kotor, jijik dan sebagainya. Pada perasaannya semua orang boleh nampak kekotoran yang terpalit pada dirinya. Pada yang sama dia rasa teramat bersalah kepada keluarganya atas kebodohan dirinya sendiri.

Batu yang kedua ini merupakan satu batu yang amat berat untuk Ani pikul sepanjang hidupnya. Ia juga menyebabkan Ani serba salah untuk menjalinkan perhubungan dengan lelaki lain. Pada masa yang sama dia takut untuk menerima lamaran dari seorang lelaki yang ingin mengambilnya sebagai isteri kerana dihantui oleh kisah silamnya.

Dosa berzina berat tetapi dosa meninggalkan sembahyang dengan sengaja sebenarnya jauh lebih berat. Sesungguhnya ALLAH MAHA PENGAMPUN lagi Maha Mengasihani.

Oleh itu, buanglah batu-batu sebegini dari dalam diri anda dengan memaafkan orang lain mahupun dengan memaafkan diri kita sendiri. Peristiwa yang berlaku tak akan berlaku sekiranya kita tahu akan akibatnya. Ia takkan berlaku kalau kita cukup matang dalam membuat timbang tara. Ia berlaku kerana kita masih muda dan mentah, kerana kita tidak tahu, kerana kita mengikut perasaan dan sebagainya. Jadi rawatlah diri anda dengan kaedah memaafkan diri anda sendiri atas alasan-alasan ini.

Bayangkan pula kita telah meninggal dunia dan sedang berada di dalam kubur sejurus sebelum dikebumikan. Kita nampak semua orang saudara mara serta sahabat handai di atas sana. Kita terdengar saudara A mengatakan yang kita seorang yang jahat, si B pula mengatakan yang kita berhutang dengannya, si C tidak memaafkan kita, si D mengatakan yang kita celupar dan pelbagai cemuhan lagi. Adakah ini yang kita mahu?

Atau adakah kita mahu semua orang di atas sana mengatakan yang kita merupakan seorang insan yang baik, suka membantu, pemaaf dan tak pernah menyakitkan hati orang lain. Saya percaya kalau boleh semua orang mahukan senario sebegini.

Jadi, mulalah memaafkan orang lain dan tak perlulah kita benci membenci sesama insan.

Kesimpulannya : Antara rawatan diri yang terbaik ialah untuk memaafkan orang lain juga memaafkan diri sendiri.

No comments:

Post a Comment