Saturday, October 1, 2011

Perbezaan Lelaki dan Perempuan



Tanpa kita sedari sewaktu kita dibesarkan keadaan sekeliling sedikit sebanyak mengubah prinsip hidup yang kita pegang. Seorang lelaki selalunya mempunyai sifat yang kasar dan lebih suka menyelesaikan masalah dengan menggunakan kekuatan fizikal. Seorang perempuan pula lemah lembut sifatnya dan menangani masalah dengan cara toleransi dan perbincangan.

Cuba tanya diri kita berapa peratuskah sifat kelelakian dan berapa peratus pulakah sifat keperempuanan yang ada dalam diri kita. Seorang lelaki yang pergaulannya banyak dangan perempuan akan sedikit sebanyak mempunyai elemen keperempuanan dalam dirinya begitu jugalah sebaliknya. Banyak faktor lain dewasa ini yang menjadikan keadaan sedemikian.

Kalau dahulu losyen dan lain-lain alat kosmetik merupakan pantang bagi seseorang lelaki namun dewasa ini keadaan telah mula berubah. Ada lelaki yang telah mula memakai losyen dan lip gloss tak kurang juga yang pergi buat facial di salun kecantikan.

Salah satu sebab utama keadaan ini ialah peranan media elektronik yang dapat kita lihat dewasa ini. Hero filem seperti Sylvester Stallone, Dolph Lundgren, Jean Claude Van Damme, Arnold Shwarzennegger yang begitu “macho” dan kuat kelelakiannya telah diganti dengan hero seperti George Clooney, Ben Affleck, Nicolas Cage, Tom Cruise, Hugh Grant, Orlando Bloom dan Jude Law yang melakonkan watak-watak lelaki yang lebih lembut. Mereka ini saya namakan lelaki cantik kerana perwatakan mereka lebih menyentuh kepada keperempuanan. 

Antara sebab lain seseorang lelaki itu dikikis kelelakiannya ialah kerana dia mendapat tunjuk ajar dari seorang perempuan tentang bagaimana untuk menangani masalah. Dia tiada idola lelaki yang boleh dijadikan contoh dalam kehidupan. Dia dipelihara oleh ibunya / orang gajinya dan jarang-jarang berjumpa dengan bapanya. Kurangnya guru lelaki di sekolah-sekolah juga memainkan peranan dalam isu ini. Ini menyebabkan ketidakseimbangan dalam diri mereka.

Dalam lain perkataan dewasa ini kita lebih cenderung menjurus kepada sifat keperempuanan dari kelelakian. Mungkin inilah sebabnya semakin ramai yang mahu bertukar jantina dari jantina yang telah sedia ada. Kata mereka “Saya seorang perempuan yang terperangkap dalam jasad seorang lelaki.” Saya percaya anda juga pernah bertemu dengan lelaki yang mahu bertukar menjadi perempuan.

Masalah mungkin juga boleh timbul sekiranya kita tidak menyedari akan kewujudan isu ini. Bagaimanakah si lelaki akan mempertahankan hak diri sendiri, keluarga, agama dan negara dari diceroboh kalau sifatnya lemah lembut?  Mungkin ini juga merupakan sebab semakin ramai lelaki yang takut pada isteri mereka dewasa ini.

Mungkin juga hormon keperempuanan yang semakin menebal dalam diri seseorang lelaki itu menyebabkan bila dia berkahwin, anak-anak yang dilahirkan dalam keluarganya lebih ramai perempuan daripada lelaki sepertimana yang dapat kita lihat dewasa ini.

Jadi, bagi lelaki mahupun perempuan ambillah peranan anda masing-masing sepertimana yang sepatutnya bagi mengelakkan dari perbalahan yang tidak diingini. 

Adakalanya masalah yang ditimbulkan oleh seorang wanita adalah disebabkan perubahan hormon dalam dirinya semasa didatangi haid, semasa mengandung atau semasa dalam pantang dan sebagainya. Lelaki pula tidak pernah berada dalam situasi ini. Oleh sebab yang demikian adakalanya perselisihan faham boleh berlaku sekiranya kita sebagai lelaki tidak memahami atau mengambil tahu akan keadaan ini.

Pada satu ketika dahulu saya pernah bertemu dengan seorang perempuan yang mempunyai sifat seperti lelaki. Ini kerana dia dipelihara oleh bapanya setelah ibunya meninggal dunia, kemudian berkawan dengan mat-mat rock dan mat motor / mat rempit. Kata-kata yang keluar dari mulutnya saling tak tumpah seperti seorang lelaki. Bila dia berkahwin, masalah mula timbul kerana seorang perempuan yang berjiwa lelaki bertembung dengan lelaki. Mereka sering berselisih faham dan bertengkar.

Lalu saya terangkan kepadanya yang dia mesti bertindak dan berusaha menjadi seorang ibu yang memelihara anaknya dengan baik, seorang isteri yang patuh kepada suaminya dan perempuan yang lemah lembut sikapnya dan bukan sebaliknya.

Seperkara lagi yang perlu dilihat ialah perbezaan antara lelaki dan perempuan menurut Rabiatul Adawiyah; seorang perempuan mempunyai 9 nafsu dan 1 akal sedangkan seorang lelaki pula mempunyai 9 akal dan 1 nafsu. Mungkin atas sebab inilah si lelaki lebih menggunakan akal dalam membuat sesuatu keputusan dan pada masa yang sama melihat sesuatu itu dari sudut akibat jangkamasa panjang kalau dibandingkan dengan perempuan. Sistem emosi yang selalu ditunjukkan olah seseorang perempuan kemudian bertembung dengan sistem akal si lelaki. Ini kemudiannya menimbulkan perselisihan.

Sebagai contoh yang selalu kita lihat ialah seorang perempuan dengan sifatnya suka mengambil masa yang terlalu lama untuk bershopping memilih barangan yang hendak dibeli. 4 hingga 5 jam boleh diambil untuk membelek 20 kedai tetapi hanya untuk membeli sepasang kasut. Si Abang yang tak faham pula akan naik angin suruh cepat. Prinsip lelaki dalam hal ini ialah pergi kedai, beli kasut dan balik, tanpa perlu membuang masa. Perbezaan ini selalu menimbulkan ketegangan antara Si Abang dengan Cik Adik tadi.

Oleh itu, ianya adalah penting untuk seorang lelaki mahupun perempuan untuk memahami semua perbezaan ini bagi tujuan menangani masalah perhubungan.

No comments:

Post a Comment