Saturday, October 1, 2011

Iktibar dari Kotak



Cuba bayangkan anda mempunyai sebuah kotak yang anda bawa kemana juga anda pergi dan dalam apa juga yang anda lakukan.

Apabila kita bangun dari tidur di sebelah pagi, kita akan membuka kotak kita. Maka terpulanglah pada kita seharian akan apa yang akan kita isi untuk hari itu. Kita boleh isikan dengan pelbagai aktiviti yang membawa manfaat mahupun yang membawa mudarat. Kita boleh isikan dengan bekerja, berfikir, berzikir, berpuasa, solat, membantu orang lain, bersedekah dan sebagainya. Pada masa yang sama kita boleh juga isikan dengan menipu boss, buang masa,  melihat yang lucah dan pelbagai perkara yang tak elok yang lainnya. Cuba lihat isi di dalam kotak anda sendiri semenjak pagi tadi hinggalah ke saat ini. Adakah ia diisi dengan  perkara yang baik atau sebaliknya.

Sebagai contoh, kita dikurniakan masa selama 24 jam sehari, apa yang penting ialah pengisian masa tersebut. Bagi mereka yang sedar betapa pentingnya masa tersebut maka mereka akan cuba mengisi setiap detik dengan perbuatan yang boleh membawa kebaikan ataupun kepuasan diri. Bagi yang lain pula mereka akan hanya membiarkan masa berlalu dengan sia-sia tanpa berbuat apa-apa.

Contoh terbaik mengenai hal ini katalah ibu anda meminta anda menghidang makanan di atas meja untuk para tetamu yang datang ke rumah. Bagi yang prihatin dan peka, mereka akan cuba melengkapkan segala yang diperlukan dan memastikan yang tiada apa yang tertinggal di atas meja.  Pinggan, cawan, sudu, garfu, air basuh tangan, tisu, makanan, pencuci mulut, minuman panas dan sejuk, manis dan tawar, buah-buahan dan sebagainya bertujuan memudahkan atau memuaskan hati para tetamu. Namun ada juga diantara kita yang jenis sambil lewa yakni kalau menghidang ada perkara yang masih belum lengkap dan perlu dilengkapkan.

Dalam lain perkataan, ada orang yang selalu mencari jalan untuk melengkapkan apa yang tak lengkap dalam hidupnya dan pada masa yang sama ada orang lain yang sambil lewa dan tidak peduli. Anda macamana? Yang lengkap atau yang tak lengkap?

Apa yang saya maksudkan disini ialah bagi mereka yang prihatin dan peka kepada semua elemen yang ada pada dirinya mahupun disekelilingnya mereka akan menggunakannya ke tahap yang optimum selengkap yang boleh. Pengisian masa, tenaga, pancaindera dan segalanya yang dimasukkan ke dalam kotak tadi ke tahap yang terbaik.

Kotak itu akhirnya dibawa pulang ke rumah dan seterusnya ditutup bila kita masuk tidur. Cuba bayangkan pula yang ia kemudiannya dihantar ke langit untuk dianalisis. Adakah ia penuh dengan amalan kebaikan atau sebaliknya? Kebaikan sehari mungkin tidak bermakna apa-apa tetapi kalau setiap hari kita membuka kotak dan mengisinya dengan kebajikan maka saya pasti lambat laun anda akan mendapat ganjaran atas kebaikan yang anda lakukan selama itu. Matlamat yang besar InsyaAllah akan hanya dicapai dengan melengkapkan matlamat yang kecil-kecil dahulu. 

Saya percaya perkara yang baik yang dilakukan pasti akan mengundang kebaikan.

“ Dan apa juga kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah Taala ”.

Al Baqarah ayat 197

www.faizalyusup.com

No comments:

Post a Comment