Saturday, October 1, 2011

Perbezaan Pembentukan Nilai Diri Melayu




Bagi seorang anak yang dilahirkan di Malaysia kemudiannya membesar dan mula bersekolah maka dia akan diterapkan dengan kisah Hang Tuah. Dalam kisah Hang Tuah ini sebenarnya tiada penciptaan. Ia hanyalah sebuah hikayat lama yang ditulis oleh seorang sarjana dari negeri Johor yang bertujuan menekankan keperwiraan melayu. Ada juga sesetengah pihak yang mengatakan Hang Tuah sebenarnya berasal dari negeri China sepertimana kedatangan Puteri Hang Li Po. Ini kerana tiada nama Hang pada nama orang melayu.

Bayangkan sekiranya anak itu membesar di Amerika Syarikat, apa pula yag terjadi? Mereka akan diperkenalkan dangan pelbagai teori dan praktikal penciptaan untuk dicuba dan dipelajari. Sebagai contoh, dalam mata pelajaran Sains di sekolah mereka akan diajar membedah seekor katak untuk tujuan mengenali anatomi dalaman katak tersebut.


Mereka juga diterangkan dengan fakta-fakta seperti penciptaan kapal terbang oleh Orville dan Wilbur Wrights, penciptaan lampu berfilamen oleh Thomas Edison, penciptaan telefon oleh Alexander Graham Bell dan banyak lagi. Bukankah sekiranya ia dicipta oleh orang kita maka kita akan berbangga dan pada masa yang sama ia memotivasikan diri kita untuk mencuba berinovasi untuk mencipta penciptaan lain.   

Pelbagai tugasan praktikal yang bersifat penciptaan juga dijalankan dari masa ke semasa. Asuhan sebegini yang telah dilatih semenjak kecil membolehkan mereka membesar dan mencipta barang-barang kegunaan dunia. Salah satu yang nyata ialah di Hollywood dengan pelbagai kreativiti dari bidang penyiaran dan perfileman. Tiada negara lain yang lebih baik dari mereka dalam aspek ini. Ini kerana kita dapat lihat betapa mereka boleh merekacipta apa juga cerita baru dan lama, fiksyen masa hadapan dan sebagainya dan penuh dengan innovasi dan sebagainya. Mereka juga maju ke hadapan dalam kecanggihan sistem pertahanan dengan penciptaan senjata dan peralatan perang.

Kemudian, kiranya anak itu dibesarkan di Jepun pula, saya percaya mereka juga akan diterapkan dengan nilai penciptaan. Satu masa dahulu sebelum perang dunia kedua barangan keluaran Jepun disamakan dengan barangan keluaran China yang tidak berkualiti. Kemudian terciptakan barangan keluaran Sony telah bukan sahaja mengubah perspektif dunia dengan penciptaan “Walkman” tetapi juga mengubah perspektif rakyat Jepun secara keseluruhannya.

Pada mulanya pada tahun 1954 mereka mencipta Godzilla, disusuli oleh Ultraman dan kemudiannya pelbagai komik dan karektor kartun. Contohnya,  Doraemon telah diperkenalkan di Jepun semenjak tahu 70an lagi dan ia sebenarnya ialah salah satu cara yang baik bagi menerapkan nilai penciptaan dalam diri seorang budak yang mana ia bertujuan melatih minta seorang budak kecil untuk berfikir. Walaupun penciptaan dalam kartun tersebut bersifat dongengan tetapi ia adalah sesuatu yang berada di luar tempurung pemikiran kebiasaan. Budak ini kemudiannya bila membesar kelak bakal mempunyai akal yang telah dilatih untuk berfikir secara kritikal. Dia juga berkemungkinan menjadi pencipta yang baik. Oleh sebab itulah kita dapat lihat pebagai penciptaan teknologi yang datang dari Jepun adalah disebabkan penerapan nilai yang telah dilatih sejak kecil lagi.

Kalau difikirkan kembali Amerika dengan Supermannya, Jepun dengan Ultramannya, Malaysia pula hanya dengan Hang Tuahnya atau mungkin Kluang Mannya yang tinggal di Hospital Bahagia. Mana mungkin kita boleh bersaing dengan mereka? Mungkin kita perlu mencipta watak “superhero” yang lebih kuat dengan kuasa yang jauh lebih hebat dari Ultraman mahupun Superman bagi mengubah minda orang kita untuk bersaing mahupun mengalahkan mereka. Begitu juga watak-watak katun di Malaysia mahupun watak kucing Along kita tak akan dapat bersaing dengan watak Doraemon mahupun watak pelbagai katun yang dicipta oleh orang di Amerika.

Amerika terkenal dengan Ford, Itali terkenal dengan kereta Ferrari, German dengan kereta Mercedes Benz dan BMW,  Jepun dengan Toyota, Korea dengan Hyundai dan Malaysia dengan Protonnya. Disebabkan mereka lebih dahulu mencipta kereta kerana mereka lebih dahulu bertamadun maka kereta kita kelihatan tak berapa elok walhal sekiranya diberikan peluang pasti kita akan dapat menyaingi mereka.

Oleh itu bagi saya penerapan awal kepada kanak-kanak akan cerita-cerita yang memerlukan mereka berfikir sebenarnya membantu mencetus akal mereka untuk berfikir bersungguh-sungguh dan seterusnya berinnovasi.

Dari sini sekali lagi kita boleh lihat betapa pentingnya input atau penerapan nilai yang membentuk diri kita. Percaya atau tidak penerapan dan input yang ada di sekeliling kitalah yang bakal membentuk diri kita. Bukankah lebih baik kita menerapkan nilai yang penting, bersifat fakta dan berobjektif untuk diri mahupun anak-anak kita dari penerapan yang bersifat tahyul dan khurafat, berlandaskan adat, sia-sia dan sebagainya yang bakal berterusan dari generasi ke generasi.

No comments:

Post a Comment