Saturday, October 1, 2011

Iktibar dari Gaung - Onak dan Duri Kehidupan Bahagian 2



Kita sambung kisah gaung yang pernah saya utarakan sebelum ini. Bagi saya, sebenarnya sebagai manusia kita boleh mempelajari dan mengambil iktibar dari semua makhluk dan alam sekitaran yang ada di sekeliling kita. Kita bukan sahaja boleh belajar dari manusia, kita juga boleh belajar dari pokok, bangunan, gaung dan bukit bukau, binatang, cuaca dan sebagainya.

Salah satu daripada anggapan masalah yang selalu orang kita perkatakan ialah liku-liku kehidupan. Saya menggambarkannya dalam bentuk gaung. Adakalanya kita berada di atas iaitu semasa kita berada dalam fasa kecemerlangan dan adakalanya kita berada di bawah. Kehidupan umpama roda. Pada ketika kita berada jauh di dasar gaung semua perkara yang berlaku terasakan seperti memberi tekanan kepada diri kita.

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian,
Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Persoalannya andaikata kita nak pandai dalam matapelajaran matematik contohnya, adakah kita membuat latihan pada soalan yang susah ataupun yang senang? Budak tahun satupun akan menjawab soalan ini dengan tepat. Kita kenalah buat soalan yang susah untuk menjadikan kita pandai. Tapi kebanyakan orang tak mahu buat yang susah dan perlukan banyak berfikir. Jadi kita buatlah yang senang-senang sahaja atau kita langsung tak usik buku latihan Matematik tapi buatlah latihan Bahasa Melayu memanjang sebab senanglah katakan. Mungkin inilah antara penyebab orang kita diketahui lemah dalam matapelajaran Sains dan Matematik.

Dalam hal menyelesaikan masalahpun begitu juga. Kita nak masalah yang susah atau yang senang? Kalau kita mahu jadi pakar dalam menyelesaikan masalah kita mestilah sanggup menghadapi masalah yang susah dan abstrak. Ini bermakna kalau kita pernah dihempap oleh gunung, kita akan merasakan masalah yang mendatang selepas dari itu umpama bukit, batu kelikir dan batu-batu halus yang menimpa kita. Kacang je nak selesaikan.

Kalau difikirkan bila kita berada di tempat yang paling bawah dalam gaung tersebut, bolehkah kita ke bawah lagi? Sebenarnya bila tiada lagi ruang untuk jatuh maka saya pasti pergerakan kita yang seterusnya ialah ke atas. Samalah bila kita menghadapi begitu banyak masalah lepas satu, satu lagi mendatang dalam hidup saya percaya ia akan sampai ke satu tahap yang paling teruk. Pada masa ini kita mungkin menghadapi apa yang dinamakan “nervous breakdown” iaitu satu keadaan yang mana tekanan begitu melampau hingga kita hilang keyakinan diri. Apapun percayalah setelah tiba ke tahap ini keadaan akan mula berubah ke tahap yang lebih baik. Kita hanya perlu membuat analisis dan mencari jalan penyelesaian yang sesuai.

Sama seperti kisah Nabi Ayub yang saya utarakan dahulu, sekiranya anda pernah berada dalam kedudukan yang paling dalam, maka masalah yang mendatang seterusnya akan anda hadapi dengan mudah. Ini kerana, apa yang pasti keadaan emosi anda tidak akan tertekan sebagaimana anda menghadapinya buat kali yang pertama. Secara tidak langsung juga anda telah mempunyai gambaran jelas tentang bagaimana caranya anda ingin mengatasi masalah yang mendatang ini kerana berpengalaman menghadapinya satu ketika dahulu. Pada masa yang sama pengalaman ini boleh anda gunakan untuk membantu orang lain yang menghadapi masalah sebegini.

No comments:

Post a Comment