Saturday, October 1, 2011

Lencongan Kehidupan



Topik ini bolehlah diumpamakan seperti kita memulakan perjalanan dari titik A dalam sebuah lebuhraya dan berdestinasikan titik B. Banyaklah kenderaan lain yang bakal kita temui di lebuh raya ini dan tak kurang juga kemalangan-kemalangan yang bakal kita jumpa disepanjang perjalanan itu. Topik ini bertujuan menerangkan tentang simpang-simpang keluar dan lencongan yang terdapat di lebuh raya tersebut sebelum kita sampai ke detinasinya.

Kadangkala dalam kehidupan kita meletakkan satu-satu matlamat untuk kita capai tetapi apa yang terjadi ialah adakalanya di pertengahan jalan kita bertemu dengan pelbagai lencongan dan adakalanya tanpa disedari kita mengambil lencongan tersebut. Ini menyebabkan kita terlupa kepada matlamat awal yang ingin kita capai itu. Keadaan ini dinamakan “diversion” dalam bahasa Inggeris. Apa yang ditakuti ialah kita sesat lantas kita tak sampaipun ke destinasi matlamat kita.

Lencongan sebegini boleh berlaku kerana pelbagai sebab.

Kadang-kadang kalau kita lihat kepada bangsa India mereka mempunyai penerapan nilai yang berbelit-belit dan kadangkala bila bercakap dengan mereka kita pun naik pening kerana mereka membawa kita melalui jalan yang jauh penuh berliku hingga menyebabkan kita sesat dan tak tahu dimana kita berada. Tetapi kalau difikirkan kembali mereka sebenarnya tahu apa yang ingin mereka dicapai dan tahu manakah destinasi yang hendak mereka tujui. Oleh sebab yang demikian kebanyakan orang bangsa ini menjadi peguam kerana kelebihan yang mereka miliki ini. Mereka hanya kelihatan sesat tetapi sebenarnya mereka tak sesat cuma mereka lebih suka ikut jalan jauh dan berbelit-belit sebelum sampai ke destinasi agaknya. Mungkin penerapan nilai ini dalam sejarah yang menyebabkan datuk nenek kita suka berkias bila berkata-kata seperti dalam syair, gurindam dan pantunnya.

Seorang wanita juga mempunyai penerapan nilai yang baik dalam hal menuju matlamat serta mengatasi lencongan sebegini. Sebagai contoh, katalah Salbiah diminta menjual 40 gelang tangan dalam masa sebulan untuk mendapatkan habuan sesekian banyak. Maka dia akan terus melakukannya tanpa berfikir panjang kerana matlamatnya mahu mendapatkan habuan tersebut dan dengan habuan tersebut dia boleh berbelanja, pergi membeli belah dan sebagainya.

Kalau keadaan yang sama diberikan pula kepada lelaki, maka rasional pemikiran si lelaki akan bertanya pelbagai soalan. Bolehkah aku menjual 40 gelang ini? Siapa yang akan membelinya, masa yang diperuntukkan terlalu singkat dan pelbagai persoalan lain yang akan menyebabkan si lelaki tersebut tidak mengambil tugasan sebegini. Ini bersesuaian dengan pendapat wanita menggunakan 9 nafsu dan 1 akal sedangkan lelaki pula menggunakan 9 akal dan  hanya 1 nafsu. Pemikiran rasional seorang lelaki adakalanya menjadi punca lencongan ini terjadi sedangkan menjual 40 gelang bukanlah perkara yang mustahil untuk dicapai.

Mungkin menurut prinsipnya, perempuan akan buat dulu cerita kemudian tetapi lelaki pula cerita dulu buat kemudian. Sebenarnya kebarangkalian wanita untuk lebih berjaya dalam menjalankan perniagaan adalah lebih tinggi kalau dibandingkan dengan lelaki kerana sifat yang mereka miliki ini. Ini ditambah pula dengan penumpuan dan stamina mereka yang panjang dalam menjalankan sesuatu perkara kalau dibandingkan dengan lelaki yang hanya bertenaga buat masa seketika.

Begitu juga bagi mereka yang menjalankan perniagaan. Pada mulanya mereka mempunyai matlamat untuk membesarkan dan memajukan perniagaan ke tahap yang tertinggi tetapi kemudiannya bila kejayaan mula kelihatan pada masa yang sama jalan lencongan juga kelihatan sama. Mereka mula membeli itu ini, kereta besar dan mewah, berhibur dan sebagainya. Akhirnya kejayaan kemana matlamat hilang begitu sahaja. Inilah yang sering berlaku kepada orang kita.

Dari segi individu pula, sebagai manusia kita sepatutnya mempunyai matlamat untuk kita capai sebagai seorang insan. Kalau kita hidup bermatlamat maka pasti kita tahu kemanakah destinasi yang hendak kita tuju. Katalah matlamat itu untuk menjadi khalifah di muka bumi Allah ini maka semua yang kita lakukan pasti akan menjurus kepada matlamat ini untuk sampai ke destinasi. Malangnya kebanyakan kita hidup tanpa matlamat yang jitu. Tanpa mengetahui matlamat ini maka amat mudah untuk kita mengambil pelbagai lencongan yang banyak tersedia di depan mata. Kita bakal berjumpa dengan lencongan arak, dadah, maksiat, judi, syirik dan sebagainya yang akhirnya menyebabkan kita sesat dalam kehidupan.  Kita sendiri tak tahu kita berada di mana dan kemanakah arah tuju kita seterusnya kerana kita tak punya matlamat sebagai seorang insan.

Sebagai kesimpulan kepada topik ini, pastikan matlamat anda, pelihara tumpuan dan cuba untuk mengelak dari memasuki lencongan yang tak perlu.

Mungkin anda pernah mendengar kata-kata seperti “he lived to serve his purpose” atau dalam Bahasa Melayu “dia hidup bagi mencapai sesuatu matlamat.” Apapun, topik ini akan cuba saya huraikan nanti dalam bab yang akan datang.

No comments:

Post a Comment