Saturday, October 1, 2011

Membuang Maklumat Yang Mengotorkan Diri



Sistem Tapisan yang baru lalu bertujuan untuk membersihkan maklumat yang kotor ataupun tidak bersih untuk dijadikan ilmu. Umpama memerah kelapa parut melalui tapisan untuk mendapatkan intipati santannya. Hampas pula dibuang. Sistem tangkisan pula bertujuan mengelak menangkis dari menerima maklumat yang sama sekali salah. Contohnya kepercayaan kepada perkara-perkara tahyul, ramalan, tangkal, zodiak, ajaran sesat mahupun sistem riba’ dan sebagainya.

Tanpa sistem tangkisan dalam diri inilah yang menjadi penyebab kenapa ramai yang begitu mudah terpengaruh dengan ajaran sesat walaupun kesesatan itu jelas kelihatan. Contohnya, ajaran yang mengatakan mereka boleh berhubung terus dengan Allah Taala mahupun Nabi Muhammad s.a.w, kepercayaan adanya nabi selepas Nabi Muhammad s.a.w, kepercayaan ibadat sembahyang boleh dilakukan hanya dengan niat dan pelbagai kepercayaan lagi.

Kita boleh mengelak atau menggunakan sistem tapisan dan sistem tangkisan bagi menapis dan menangkis maklumat yang kita terima dalam keadaan sedar tetapi bagaimana pula dengan maklumat yang kita lihat dan dengar tetapi tidak kita sedari?

Saya pernah bertemu dengan seorang eksekutif pengiklanan yang menceritakan tentang iklan di TV. Katanya di Amerika, iklan-iklan memainkan peranannya dengan memasukkan unsur-unsur yang kita tidak nampak supaya pelanggan membeli produk yang diiklankan. Dalam sesaat ada 24 take dan dengan meletakkan satu atau dua take dalam menyampaikan mesej dalam tidak sedar ( sub concious ) kita boleh terpedaya dengannya. Tanpa sistem pertahanan jiwa kita mungkin akan terjejas sekiranya apa yang disampaikan itu bersifat negatif.

Disamping itu, ada juga lagu-lagu ciptaan Barat yang mempunyai unsur-unsur yang sama. Lirik lagu mereka mengisahkan tentang pembunuhan, syirik, kepercayaan kepada Nabi Isa sebagai tuhan dan sebagainya. Kita pula yang tak faham menyanyikan lagu-lagu tersebut sesedap rasa. Kata-kata itu satu doa. Ia sebenarnya boleh meruntuhkan akidah dan seterusnya menyebabkan kita menjadi orang Islam yang lemah. Ia juga tanpa disedari merosakkan jiwa dan menghitamkan hati kita. Ada pula lagu mereka yang apabila dimainkan terbalik boleh membawa senikata yang menakutkan sekiranya kita dengar. Inilah padahnya kalau kita tidak mengambil peduli.

Hiburan yang bersifat keseronokan merupakan cara terbaik musuh-musuh Islam untuk melemahkan elemen kerohanian kita. Dewasa ini terlalu banyak penciptaan yang bersifat hiburan yang dicipta. Penciptaan berasaskan hiburan keseronokan ini sebenarnya membawa keuntungan kepada penciptanya kerana terlalu ramai yang sanggup menghabiskan duit kerananya. Kita dapat lihat perkembangan permainan video kepada permainan berinteraktif, program hiburan sederhana kepada program hiburan realiti yang meminta penonton mengeluarkan duit untuk menghantar sms dan sebagainya. Ia merugikan kita dan menguntungkan mereka. Penciptaan demi penciptaan berteraskan hiburan keseronokan akan terus dicipta di masa-masa yang akan datang dengan titik tolaknya mencari keuntungan kepada pengasasnya. Jadi, janganlah terlalu taksub dengan hiburan sebegini.

Kekotoran yang telah bersarang di hati ini umpama anai-anai memakan kayu, walaupun kayu itu diluarnya nampak kukuh tetapi di dalam telah lompong. Jiwa yang lompong pasti akan menghanyutkan diri insan tersebut. Kita perlu mengikis kekotoran sifat keduniaan yang melekat di hati kita itu agar ia menjadi bersih dan telus.

Bagi saya sistem tangkisan / pertahanan jiwa yang terbaik ialah dengan berzikir. Kalaupun kita sedang menonton TV mahupun mendengar lagu-lagu di corong radio berzikirlah kerana saya percaya ia akan menjadi perisai yang dapat memelihara jiwa dari mendapat kekotoran yang tidak kita sedari tadi. Dengan berbuat begini kita akan dapat memelihara kain putih dalam diri kita dan dengan demikian itu maka mudahlah kita mendapat kesejahteraan di dalam kehidupan ini. Pun begitu ini hanyalah saranan semata-mata kerana hanya Allah Taala yang Maha Mengetahui akan setiap sesuatu. 

Jadi perkukuhkanlah sistem tapisan dan sistem tangkisan ini di dalam diri anda dengan harapan anda akan terpelihara dan selalu dalam kebenaran dengan izin Allah Taala. Ia boleh dilakukan dengan mencari ilmu, berguru dan mengisi diri dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat dan berfaedah.

No comments:

Post a Comment