Saturday, October 1, 2011

Iktibar dari Gaung - Pahit Maung Kehidupan



Dalam topik kali ini pula saya akan menghuraikan mengenai gaung masalah. Apabila kita menghadapi sesuatu masalah, kita selalunya tidak sabar-sabar ingin keluar dari masalah yang kita hadapi itu. Jadi, kita sedaya upaya mencari jalan keluar untuk kembali iaitu ke titik sebelum kita jatuh. Kita phobia atau takut untuk jatuh lebih jauh ke bawah.

Kita mencari jalan keluar dengan bercerita pada kawan-kawan, berdiam diri, bermurung diri, buat tak tahu dan sebagainya. Kalau ia melibatkan duit kita meminjam dari kawan-kawan, meminta daripada ibubapa kita, berjumpa dengan along, memohon kad kredit dan sebagainya. Ada pula yang mengambil langkah lebih ekstrim sebagai jalan keluar dengan mengambil dadah, minum arak dan sebagainya dengan harapan masalah itu akan hilang begitu sahaja.

Semua ini sebenarnya boleh menyebabkan keadaan kita semakin teruk dan pastinya akan menyebabkan timbulnya masalah lain.

Dalam konsep gaung yang saya utarakan ini tidak mengapa kita berada dalam keadaan yang sedemikian. Bagi saya ada dua bentuk tindakan yang boleh kita ambil bila kita dalam persimpangan ini iaitu :

1.                  Keluar Secepat Mungkin

Kebanyakan kita mahu keluar dari sesuatu permasalahan dengan kadar segera. Iaitu ingin keluar dari gaung secepat mungkin. Iaitu pada peringkat pertama. Manusia selalunya ingin mencari jawapan bagi setiap persoalan. Adakalanya jawapan yang dicari bukanlah jawapan yang sebenar. Sebagai contoh, katalah kita menghidap selsema. Kita terus ingin mencari ubat untuk menyelesaikan masalah selsema ini tanpa melihat sebab musabab yang tersirat kenapa kita mendapat selsema itu. Walhal mungkin kita telah terlebih bekerja dan perlu berehat. Itu sahaja.

Ada pula yang menjalankan perniagaan dan pada satu ketika perniagaan itu merosot. Apa yang dilakukan ialah kita pergi bertemu dengan si bomoh dan si bomoh tersebut mengatakan yang perniagaan kita disihir orang atau sebagainya. Walhal mungkin pada masa itu ekonomi negara keseluruhannya dalam keadaan yang kurang memberangsangkan.

Kelemahan menggunakan kaedah ini ialah adakalanya ia belum sampai ke tahap yang mana kita boleh mengambil pengajaran, pengalaman dan keinsafan. Mungkin juga hikmah kepada permasalahan itu masih belum dapat kita cakup. Jadi tidak banyaklah yang dapat kita pelajari dari pengalaman menghadapi masalah itu.

2.                  Biarkan Diri Hanyut Ke Dalam Gaung

Kaedah kedua ialah dengan membiarkan diri hanyut ke dalam gaung tersebut sambil memastikan yang kita tidak berada dalam keadaan trauma. Kita boleh berbuat demikian dengan membiarkan keadaan mengambil tempat. Kita perhatikan apa yang berlaku dan fikirkan kenapakah perkara itu berlaku. Sebenarnya kalau difikirkan kembali, semakin jauh kita turun ke dalam gaung itu semakin banyak perkara yang dapat kita pelajari dan selami.

Kita mungkin bertemu dengan pelbagai kehidupan jauh ke dalam gaung tersebut. Kita mungkin bertemu dengan harta karun, hidupan yang tak pernah kita lihat dan apa yang terjadi ialah kita apabila kita keluar nanti kita berkemungkinan berada di tempat yang jauh lagi tinggi kerana pertukaran perenggu minda / mind set yang terjadi setelah berada jauh dalam gaung tersebut. Kejatuhan yang sebegitu dalam pastinya akan menimbulkan tahap keinsafan yang jitu.

Kebanyakan kita tidak pernah terfikir apatah lagi mencuba untuk mengambil langkah kedua ini. Tanpa membuat percubaan kita tak mungkin tahu apa penyudahnya. Allah Taala yang berkuasa memberikan penyakit dan Dia jugalah yang berkuasa memberikan penawarnya.

Apa yang penting dalam kaedah ini ialah untuk memastikan yang kita tidak berada dalam keadaan trauma atau tekanan yang melampau. Kita kena pastikan yang kita dapat mengawal diri walaupun berada dalam kejatuhan. Ini kerana sekiranya kita tidak dapat menghadapi tekanan tersebut kita mungkin akan mengambil tindakan yang di luar jangkaan yang mungkin akan menimbulkan lebih banyak masalah.

Kisah Nabi Ayub A.S.
Nabi Ayub A.S. anak kepada Nabi Ishak merupakan seorang Nabi yang beriman kepada Allah Taala, mempunyai keluarga yang bahagia, harta benda serta ternakan yang banyak. Pada satu ketika beliau telah diduga Allah dengan kehilangan harta benda dan binatang ternakannya. Ini merupakan peringkat pertama dugaan Tuhan. Pada masa ini Nabi Ayub tetap bersyukur dengan dugaan sebegini. Nabi Ayub berubah dari seorang yang kaya menjadi seorang miskin dalam sekelip mata. Beliau kemudiannya jatuh lebih jauh ke dalam gaung ke peringkat kedua bila beliau kematian anaknya. Beliau masih terus-terusan menjalankan ibadah, mengingati  Allah dan bersyukur atas dugaan yang dihadapinya. Setelah diuji dengan harta dan anak, peringkat ketiga dan yang paling teruk ialah bila beliau diduga dengan sejenis penyakit kulit yang luar biasa. Beliau menderita penyakit itu selama tujuh tahun. Begitu lama beliau menanggung sengsara penyakit itu, namun beliau tak pernah gelisah. Beliau tabah menghadapinya walaupun getir dan tetap percaya yang dugaan sebegini akan mengukuhkan lagi keimanannya kepada Allah Taala.

Akhirnya bila berada dalam tahap yang paling kritikal barulah akhirnya berdoa dan memohon kepada Allah Taala untuk mendapatkan penawarnya. Doa beliau dimakbulkan dan akhirnya keadaan kembali pulih seperti sediakala. Pengalaman ini menjadikan beliau lebih bertakwa kepada Allah akan kekuasaanNya.

Kalau kita fikirkan kenapakah Nabi Ayub tidak memohon kepada Allah semasa berada di peringkat pertama, kedua mahupun di peringkat yang ketiga?

Menurut kisahnya beliau malu untuk meminta dari Allah Taala kerana Allah Taala telah memberinya pelbagai kurniaan selama ini. Kurniaan harta benda, kelapangan, kebahagiaan, kesihatan dan sebagainya. Bagi saya mungkin baginda berkata apalah 7 tahun kesakitan kalau dibandingkan puluhan tahun kesenangan yang baginda kecapi sebelum dari itu.

Bagaimana pula kita? Bukankah kita juga menerima pelbagai kurniaan dari Tuhan selama ini. Kita diberikan kelapangan, kesihatan, nyawa, tenaga, pancaindera dan sebagainya. Mungkin adakalanya dalam menangani dugaan kesabaran begini kita boleh mengikut langkah yang ditunjukkan oleh Nabi Allah Ayub A.S sebagai pengajaran. 

Mana-mana carapun boleh digunakan sebagai kaedah menangani masalah. Apa yang penting ialah apa jua masalah yang kita hadapi itu tidak membawa kemudaratan kepada kita.

No comments:

Post a Comment