Sunday, October 2, 2011

Pergantungan Manusia


Oleh kerana kebanyakan kita tak mengetahui atau memahami akan isu-isu yang saya huraikan dalam topik tadi maka ramailah yang bergantung kepada makhluk-makhluk ini atau dalam ertikata lain makhluk manusia bergantung kepada makhluk yang sama taraf dengan dirinya sendiri.

Contohnya :


Aishah bergantung kepada makhluk bernama Kain Pelikat. Katanya setiap malam tak akan dapat tidur tanpa mencium kain pelikat yang masam itu. Bagitulah halnya dengan Aina yang bergantung pada makhluk bernama Ibu Jari. Makhluk Ibu jari dihisap tak kira masa umpama candu. Azizul dan ramai yang lain bergantung kepada makhluk bernama Rokok. Banyaklah alasan yang digunapakai bagi mengiakan sebab musabab kenapa mereka merokok, Ammar pula bergantung kepada makhluk bernama PS2, Tila bergantung kepada makhluk bernama Rambut, ada juga yang bergantung kepada makhluk rancangan TV, makhluk muzik dan banyak lagi.

Namun pergantungan ini tidaklah begitu memudaratkan kerana ada diantara manusia di luar sana yang menjadi hamba kepada makhluk bernama Arak, Dadah, VCD lucah, Judi, Maksiat, Duit, Perempuan, Lelaki, Kebendaan dan banyak lagi.


Di sini kita akan dapat lihat yang pergantungan ini terbahagi kepada dua iaitu pertamanya pergantungan kepada makhluk sejenis iaitu pergantungan kepada manusia dan keduanya pergantungan kepada makhluk yang lain.

Pergantungan kepada manusia boleh dilihat dalam banyak sudut. Antaranya :

Bagi yang sedang berkasih maka kekasih hati akan menguasai hati dan hidup kemudiannya berpaksikan kekasih hati itu. Semua yang dilakukan kerana kekasih. Bayangan kekasih hati akan sering terpahat di hati. Makan tak kenyang, mandi tak basah dan sebagainya kerana hati yang keruan. Makhluk memuji-muji makhluk yang lain.

Pernahkah anda terfikir betapa baiknya Allah Taala mencipta makhluk yang berpasangan yang sejenis dengan kita? Bayangkanlah seandainya anda seorang lelaki dan Allah tidak memasangkan kita dengan seorang perempuan tetapi mencipta makhluk harimau betina sebagai pasangan. Pasti masalah yang akan timbul.

Kemudian ada pula makhluk manusia yang begitu taksub dengan artis hingga sanggup meniru segala apa yang dilakukan oleh artis tersebut baik dari segi pakaian, fesyen rambut, gaya, cara berjalan dan sebagainya. Bersusah payah untuk membeli CD lagu, menggantung poster, pergi ke konsert walaupun begitu jauh dan banyak lagi.

Tak kurang juga mereka yang memuja ahli sukan, ahli akademik, guru, pemimpin, Tan Sri, Datuk Seri dan Datuk, majikan, suami atau isteri, ibu bapa serta ahli keluarganya, kerabat diraja dan sebagainya. Rangkuman manusia ini pula membentuk persatuan, kelab, parti dan perniagaan. Dari sini ada pula terbentuklah pemujaan kepada kelab Manchester United, Real Madrid dan All Blacks, pemujaan kepada parti UMNO dan PAS dan sebagainya.

Keduanya pergantungan kepada makhluk bukan manusia. Contohnya, pergantungan kepada makhluk Arak, Dadah dan Judi contohnya akhirnya pasti akan mengundang mudarat dan kesusahan kepada diri, keluarga dan orang-orang di sekeliling mereka.

Cuba anda pandang makhluk rokok yang anda pegang sambil berkata,

“ Kenapalah aku bergantung kepada kau wahai makhluk rokok. Sesungguhnya aku ini juga sama sepertimu makhluk yang tertakluk kepada hukum hakam Allah Taala. Kalau kau menurut perintah Allah dengan sifatmu bila dibakar kau akan berbara dan mengeluarkan asap kenapa aku tak boleh berbuat demikian. Kenapa aku perlu melanggar perintah Allah?”.

Sebenarnya antara semua makhluk yang ada di mukabumi ini, makhluk bernama manusia adalah makhluk yang paling mulia mungkin kerana kita dikurniakan dengan akal fikiran. Dalam lain perkataan kedudukan makhluk manusia ini berada dalam darjat yang tertinggi kalau dibandingkan dengan makhluk-makhluk yang lainnya. Makhluk manusia ini pula terdiri dari lelaki dan perempuan dan di sini juga jelas kelihatan yang penciptaan makhluk lelaki lebih kuat kalau dibandingkan dengan makhluk perempuan. Lelaki dijadikan sebagai pemimpin atau khalifah di mukabumi ini.

Masalahnya kita meletakkan makhluk lain lebih tinggi dari kita. Mungkin inilah yang menyebabkan ada makhluk manusia yang menjadi hamba kepada makhluk duit, makhluk kereta, makhluk arak, makhluk judi dan sebagainya.

Pengisian ini sebenarnya sudah cukup untuk memberikan kita satu perspektif baru yang mana membolehkan kita berhenti menghisap rokok mahupun bergantung kepada makhluk-makhluk yang lainnya.

Maka amat perlu untuk kita meletakkan makhluk-makhluk ini di tempatnya masing-masing. Ini kerana kalau kita lihat antara sebab permasalahan yang berlaku ialah bila kita meletakkan kedudukan makhluk-makhluk ini di tempat yang salah.

Sebagai lelaki yang mempunyai kedudukan makhluk tinggi maka kenapakah kita perlu membiarkan diri menjadi hamba kepada isteri dan kekasih? Kenapa kita biarkan diri menjadi hamba kereta, dadah,arak dan sebagainya? Dalam ertikata lain makhluk lain berada di atas kepala kita dan apa yang pasti ia akan membawa masalah.

Cuba lihat gambarajah di bawah ini :


Disini kita dapat lihat kedudukan manusia sebagai makhluk yang paling mulia di mukabumi ini. Makhluk manusia yang mempunyai darjat tertinggi dan paling mulia adalah Nabi Muhammad SAW. Kemudiannya Ibu letaknya di atas bapa kepada anak-anak namun suami letaknya di atas kalau dibandingkan dengan isteri, begitu juga lelaki letaknya di atas kalau dibandingkan dengan perempuan menurut perspektif Islam.

Namun adakalanya ada suami isteri yang saja jumpa yang mendapat anak pertama yang kemudiannya menjaga anaknya bagai menatang minyak yang penuh hinggakan semua permintaan anak dipenuhi tanpa soal. Kononnya itulah cara penjagaan anak yang terbaik. Begitu taksub kepada anak hinggakan hati jasmani dan rohani hanya ingat pada anak tersebut. Dari bangun pagi hingga tidur kembali mata tak pernah lekang dari memerhatikan si anak setiap ketika. Tidakkah mereka mengambil iktibar akan kisah Nabi Ibrahim yang didenda kerana fokusnya yang lari dari Allah kepada anaknya bila baginda dikurniakan anak setelah 70 tahun berdoa?  Bukankah anak itu kurniaan Allah dan bukankah ingatan kepada Allahlah yang tak sepatutnya lekang dari jasmani, rohani dan akal kita sebagai manusia mahluk ciptaanNya?

Bukankah ini jelas yang mereka yang taksub kepada makhluk yang setaraf dengan dirinya ataupun meletakkan kedudukan makhluk itu di tempat yang salah bakal mengundang permasalahan. Isteri yang lebih berkuasa daripada suami, Suami yang curang dan bermain kayu tiga dengan makhluk perempuan yang lainnya, orang yang bergantung pada makhluk dadah dan arak, orang yang taksub kepada harta dan duit dan banyak lagi. Semuanya ini sebenarnya mengundang permasalahan.

Mungkin juga inilah sebabnya darjat manusia ini boleh berada dalam tahap yang tertinggi dan pada masa yang lain boleh juga berada dalam tahap yang paling rendah hingga ke tahap binatang mahupun ke tahap yang lebih teruk lagi. Perogol, penagih, penyumbang mahram dan sebagainya. Menurut perspektif Islam kemuliaan seseorang itu terletak kepada ketakwaannya kepada Allah. Oleh yang demikian itu untuk meningkatkan darjat sebagai manusia maka hendaklah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Taala.

Di akhir kata, kesimpulannya sangat jelas dan nyata yang Allah Tuhan yang Agunglah yang patut berada di tempat yang paling atas dan bukannya mana-mana makhluk. Ramai ahli ulama yang berkata “ Iman itu seakan berjalan di atas batas. Kedangkala kita akan jatuh namun hendaklah kita kembali naik ke atas”. Dalam ertikata lain andaikata fokus adakalanya terpesong dari Allah Taala dek kerana gangguan makhluk-makhluk yang lainnya sebaiknyalah kita sedar dan kembalikan tumpuan kepada Allah Taala yang satu.

No comments:

Post a Comment