Saturday, October 1, 2011

Kisah Iktibar - Kisah Saudagar Kopiah



Pada satu masa dahulu ada seorang saudagar yang menjual kopiah dari sebuah kampung ke kampung yang lain. Beliau menggendung kopiah-kopiahnya yang diikat di dalam sebuntil kain di atas bahu dan dibawanya ke sana dan ke sini untuk dijual. Petang itu dia kepenatan lalu berehat di sepohon pokok di pinggir hutan. Dia kemudiannya terlena.

Tak berapa lama kemudian datang sekumpulan beruk. Beruk-beruk tersebut telah turun dan mengambil kopiah-kopiah saudagar tadi dan mamakainya sepertimana saudagar yang sedang nyenyak tidur itu.

Bila terjaga dia mendapati buntilnya telah berselerak dan mendapati tiada satupun kopiahnya yang tinggal kecuali yang berada di atas kepalanya. Bila di memandang ke atas pokok lalu dilihatnya semua beruk-beruk itu memakai kopiah di kepala.

Si saudagar membuka kopiahnya lalu menggaru kepala memikirkan apakah jalan yang terbaik untuk mendapatkan kopiah-kopiahnya yang telah dicuri oleh sang beruk. Tanpa dia sedari semua beruk-beruk itu meniru perbuatannya dengan membuka kopiah sambil menggaru kepala. Maka keadaan ini mencetus ilham kepada si saudagar. Si saudagar melambung-lambung kopiahnya dan disambutnya kembali dan beruk pun meniru. Malangnya bila sang beruk melembungkan kopiah mereka tak dapat menyambutnya lalu kopiah-kopiah itu jatuh ke bumi.

Dipenghujung cerita, si saudagar mendapat semua kopiahnya kembali kerana kebodohan si beruk itu tadi.

Kesimpulan dari kisah ini ialah kadangkala kita seumpama beruk kisah tadi kerana begitu mudah meniru dan mengikut orang lain. Persoalannya adakah kita tahu apa yang ditiru itu baik atau tidak, tidak pula kita fikirkan.

Contohnya pada satu ketika dahulu di zaman kenaikan harga getah maka ramailah orang kampung yang mendapat durian runtuh jadi mereka membeli peti ais kerana melihatkan orang lain membelinya padahal elektrik belum lagi disalurkan ke rumah mereka. Akhirnya peti ais ini dijadikan almari untuk menyimpan pakaian. Keadaan ini turun temurun dan masih berlaku lagi sehingga ke hari ini. Persaingan untuk memiliki harta benda ini masih merupakan salah satu agenda utama orang kita. 

Kemudian, orang kita melihat orang putih memakai kasut but tinggi lalu kitapun mengikut walhal orang putih memakainya bagi mengelakkan salji dari masuk ke dalam kasutnya. Orang putih memakai topi baseball kita pun memakai topi baseball walhal mereka memakainya untuk memanaskan badan yang mana menurut kajian ternyata kehilangan haba yang paling tinggi adalah dari bahagian kepala. Kita pula memakai topi hanya kerana kita meniru orang putih memakai topi.

Baru-baru ini orang putih memperkenalkan gelang berwarna bagi tujuan untuk menyumbang kepada badan kebajikan yang tertentu dan pada masa yang sama sebagai simbol kedudukan mereka samaada mereka sudah berpunya, masih bujang, baru berpisah, lesbian atau gay berdasarkan pilihan warna gelang tersebut tetapi kita memakainya tanpa mengetahui sebab musabab yang tentu.

Banyak lagi isu lain yang boleh dihuraikan berkenaan dengan perkara ini tetapi saya percaya yang sidang pembaca pun telah lebih maklum. Walau apapun perkara yang kita ikut atau tiru tadi bukankah keadaan ini sama seperti beruk dalam cerita tadi?

Kalau nak menirupun pastikanlah kita punya ilmu meniru. Maksudnya begini, kalau Jabir Hayyan seorang ilmuan Islam yang juga Bapa Kimia mencipta kaedah penyulingan asid tetapi orang Barat telah meniru dan memperkembangkannya sambil dengan megah mengatakan yang merekalah pencipta asid tersebut.

Satu contoh lain, satu ketika dahulu orang Barat mencipta radio dan apa yang dilakukan oleh orang Jepun ialah mereka meniru dan pada masa yang sama menaiktarafkan penciptaan tersebut hinggalah terciptanya Walkman yang jauh lebih kecil malah lebih murah lagi. Dewasa ini apa juga penciptaan Barat akan ditiru oleh orang Jepun dengan penciptaan yang jauh lebih canggih dan dengan kos yang jauh lebih rendah.

Orang kita meniru sekadar meniru.


No comments:

Post a Comment