Sunday, October 2, 2011

Iktibar dari Ikatan - Mencari Keberkatan



Keberkatan amat penting bagi memastikan segala apa jua yang kita lakukan diredhai Allah Taala. Tanpanya sebenarnya amat sukar untuk kita mencapai kejayaan mahupun kebahagiaan. Keberkatan bolehlah kita gambarkan seperti ini. Andaikan anda diikat pada satu kerusi di kedua-dua tangan, kedua-dua kaki, leher dan pinggang dan katalah kejayaan itu letaknya tiga langkah dari situ. Dapatkah anda mencapai kejayaan tersebut? Dapatkah anda mencapainya sekiranya ikatan pada tangan kanan anda dilepaskan? Kemudian ikatan sebelah tangan kiri pula dilepaskan, Dapatkah anda mencapai kejayaan tersebut sedangkan leher, pinggang dan kedua kaki anda masih lagi terikat? Saya percaya walaupun hanya tinggal satu sahaja ikatan sama ada di kaki, tangan, leher mahupun pinggang anda masih tak akan dapat mencapai kejayaan tersebut walaupun jaraknya cuma tiga langkah dari situ.

Dalam lain perkataan kita tak akan dapat terbang sekiranya ada tali yang mengikat kaki kita di tanah. Kita kena pastikan yang kita tidak terikat di mana-mana bahagian dengan ini kita dapat bergerak bebas pada setiap masa dan ketika untuk mencapai kejayaan.

Biar saya bagi contoh, dewasa ini ramai yang berkahwin kemudiannya hidup bersama dengan berkongsi hal kewangan. Malangnya tanpa kita sedari rezeki kita adalah rezeki keluarga tetapi rezeki isteri adalah rezeki isteri dan bukannya rezeki keluarga. Kalau kita menggunakan hak isteri ini dan sekiranya kita mendapat keizinan darinya maka ini tak menjadi masalah tetapi sekiranya kita menggunakan tanpa izin maka terikatlah salah satu kaki kita. Cukuplah sekadar isteri kita merungut kerana terpaksa membeli beras menggunakan duitnya. Ia boleh menjadikan beras yang dibelinya tadi tidak halal untuk kita makan. Keikhlasan yang berterusan bukannya prinsip yang ada dalam diri semua orang.

Begitu juga sekiranya kita makan dari sumber yang haram, makanan yang haram,  kita derhaka atau tidak mendapat restu dari kedua orang tua kita, kita mengumpat / memfitnah / menganiaya orang dan mereka tidak memaafkan kita dan sebagainya. Dosa-dosa yang dilakukan itu boleh menghapuskan berkat umur, berkat rezeki, berkat ilmu, berkat perbuatan dan ketaatan. Semua ini menjadi ikatan-ikatan yang mungkin menyebabkan sukar bagi kita untuk mencapai kejayaan atau ia mungkin menyebabkan kita ditimpa masalah tak sudah-sudah. Yelah, mungkin doa-doa orang yang pernah kita aniaya itu dimakbulkan siapa tahu?

Mungkin inilah sebabnya bila Hari Raya Aidilfitri menjelma kita meminta maaf zahir dan batin, meminta menghalalkan makan dan minum selama setahun bertujuan untuk melepaskan kita dari ikatan-ikatan sebegini. Ambillah peluang ini dengan sepenuhnya dengan meminta maaf atas segala kesalahan dan meleraikan ikatan atas perkara-perkara yang tidak dihalalkan oleh mereka di sekeliling kita selama setahun yang sebelumnya. Kita kembalikan diri kita kepada fitrah yang bersih dan suci bebas dari dosa dan noda. Andai kita bersalah pada Allah kita boleh memohon pengampunan dan bertaubat malangnya kesalahan sesama manusia lebih sukar dileraikan.

Sebagai kesimpulan, kita mesti pastikan yang diri kita bebas dari semua ikatan ini. Kita mestilah sentiasa peka terhadap semua yang keluar dari hati, lidah serta perbuatan kita seharian.

No comments:

Post a Comment