Friday, February 4, 2022

SIFAT SEORANG HAMBA TUHAN

 


Jika seorang hamba itu berminda akhirat dengan ilmu yang cukup ;

 
Hatinya Dengan Allah SWT Sentiasa Hidup
Dia akan menjadi seorang yang sentiasa mengingati Allah Taala pada setiap ketika. Hati mereka akan sentiasa berzikir.

Sangat Beradab Dengan Allah SWT
Dia akan mengikut perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah. Bertakwa dan sangat berhati-hati dalam apa juga yang dilakukan.

Reda Dengan Ketentuan Allah SWT
Dia reda dengan apa juga dugaan dan ketentuan Allah Taala kerana tahu semua ujian itu adalah sebagai menguji keimanan.

Sabar Dengan Ujian
Dia punya sifat sabar dan tabah dengan segala ujian kerana tahu yang hujan itu datang dari Allah dan penawar itu juga datang dari Allah. Mereka hanya perlu bersabar.

Jiwanya Bersih Hingga Hatinya Terpimpin
Dia punya jiwa yang bersih, punya sifat yang bersih yakni sifat Mahmudah. Oleh yang demikian hatinya akan terpimpin untuk melakukan kebajikan dan juga perkara-perkara yang bermanfaat kerana Allah Taala.

Jiwanya Hidup Sangat Peka
Jiwanya hidup sangat peka. Peka kepada apa sahaja yang berlaku kepada keadaan dan peristiwa yang berlaku di sekelilingnya lantas mengambil Iktibar dan pengajaran dari semua itu.

Ibadah Terutamanya Sembahyang Sangat Berdisiplin
Dia juga amat berdisiplin jalan menjalankan amal ibadah terutamanya solat yang dilakukan berjemaah di awal waktu.

Kalau Dia Memimpin Sangat Dikasihi Dan Disegani
Dia merupakan seorang pemimpin yang disegani dan dikasihi kerana kepimpinan yang dinamik, amanah, bertanggungjawab, adil dan saksama.

Kelihatan Orangnya Tenang
Dia juga sentiasa tenang, bila berduka tidak terlalu duka dan bila suka tidak terlalu suka dalam apa juga keadaan dan situasi biarpun dalam keadaan yang begitu genting.

Wibawanya Tinggi
Orangnya berwibawa, berprinsip, berkarisma, sentiasa positif dan punya daya penarik.

Akhlaknya Mulia Hingga Disegani Orang
Dia punya budi pekerti yang tinggi, penuh dengan sopan santun dan punya akhlak yang baik lagi terpuji.

Kerja-Kerja Tersusun Dan Teratur
Dalam menjalankan kerja, dia menjalankannya dengan adab, peraturan dan tertib. Menjalankan usaha berdasarkan apa yang telah dirancang dan melaksanakannya dengan baik.

Tenang, Tidak Gopoh Dan Berdisiplin
Dalam menjalankan tugas, dia tenang, tidak tergopoh gopoh dan berdisiplin.

Pandai Bergaul Dengan Manusia
Insan itu juga akan pandai bergaul dengan manusia, punya sifat prihatin dan tahu adab pergaulan. Mereka ini disenangi sesiapa pun juga.

Berhadapan Dengan Orang Penuh Dengan Bijaksana Dan Lemah Lembut
Bila berhadapan dengan orang mereka sangat bijaksana dan lemah lembut. Mereka membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh orang lain malah berkata-kata dengan penuh hikmah dan tidak menyakitkan hati pihak yang satu lagi.

Mengutamakan Orang Lain Lebih Dari Dirinya
Andai dia ada dua biji mangga, maka dia akan berikan mangga yang elok kepada orang lain dan mangga yang kurang elok untuk dirinya sendiri. Dia jaga orang lain seumpama dia jaga dirinya sendiri.

Bertimbang Rasa Dengan Manusia
Dia juga sangat bertimbangrasa, bertoleransi dan sudi berkongsi dengan sesiapa pun juga.

Sangat Bersimpati Dengan Orang Yang Susah Dan Mendapat Kemalangan
Bila ada orang yang menghadapi kesusahan atau kemalangan maka dialah antara orang yang pertama yang akan menghulurkan bantuan dan datang untuk menziarah untuk memberikan kata-kata semangat dan sebagainya.

Suka Berkhidmat Dengan Manusia
Dia juga sentiasa sedia untuk berkhidmat dengan sesiapa pun juga apabila mereka memerlukan pertolongan. Mereka ini sanggup menjadi sukarelawan walaupun tanpa upah dan gaji kerana mereka melakukannya ikhlas kerana Allah.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430

Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

  

No comments:

Post a Comment