Friday, February 4, 2022

7 PAHALA YANG TETAP DITERIMA WALAU SETELAH MATI

 



PAHALA SELEPAS MATI 

Anas R.A. berkata ada 7 pahala yang akan tetap diterima oleh seseorang itu apabila ia mati kelak ;
  • Orang yang mendirikan masjid selagi masjid itu terus digunakan oleh orang ramai sebagai tempat ibadah.
  • Orang yang mengalirkan air sungai selagi mana orang tatap menggunakannya.
  • Orang yang menulis mushaf / buku  selagi masih ada yang membacanya.
  • Orang yang menggali perigi selagi perigi itu masih ada yang memanfaatkannya.
  • Orang yang menanam pokok buah-buahan selagi pokok itu masih lagi ada yang mamakan buahnya sama ada manusia mahupun binatang.
  • Orang yang mengajarkan ilmu selagi ilmu itu diamalkan oleh mereka yang mempelajarinya.
  • Orang yang meninggalkan anak yang soleh. Anak itu sentiasa mendoakan kedua orang tuanya.

Rasulullah SAW ada bersabda, apabila mati anak Adam itu maka terputuslah semua amal ibadahnya kecuali 3 perkara iaitu ;

  • Sedekah Jariah
  • Ilmu yang digunakan dan dimanfaatkan oleh pengamalnya
  • Anak yang soleh yang tidak lupa mendoakan ibubapanya.

Jadi kalau kita lihat di sini, membina masjid, menggali perigi, menanam pokok buah-buahan, mengalirkan air sungai termasuk dalam rangkuman ibadat sedekah amal jariah sedangkan menulis mushaf dan menyampaikan ilmu adalah termasuk dalam rangkuman ilmu yang dimanfaatkan. Seterusnya anak yang soleh yang mendoakan kedua orang tuanya.

AMAL JARIAH

Amal Jariah ialah amalan yang yang membawa pahala yang berterusan seperti air yang mengalir. Bagi saya amal jariah merupakan satu usaha zahir dan kelihatan dengan menggunakan kemampuan tenaga, wang ringgit dan sebagainya bagi membantu makhluk yang lain. Contohnya kita menggunakan tenaga untuk membantu mengacau dodol atau kita menggunakan duit untuk memberikan sedekah, derma, hadiah dan pertolongan atau kita melaburkan duit untuk memulakan perniagaan pengeluaran makanan untuk dimakan oleh yang ramai mahupun kita berbakti kepada tanah dengan menternak dan bertanam yang mana sumbernya boleh digunakan sebagai makanan. Ada juga yang membina masjid, surau dan madrasah, ada yang menyumbangkan bangunan untuk anak yatim, orang tua, orang miskin dan sekolah, ada yang membantu dari segi perubatan dan banyak lagi. Semua sumber keupayaan ini baik tenaga, masa dan wang ringgit digunakan bagi tujuan ibadah fisabillillah. Untuk mengembangkan syiar islam.

Untuk mendapat ganjaran dari elemen ini maka kita kenalah mencari jalan untuk meningkatkan pendapatan sehingga ke tahap yang kita mempunyai lebihan harta untuk berbuat demikian iaitu dalam bentuk zakat, sedekah, derma, penajaan dan sebagainya.

Bagaimanakah kita mahu mendapat kebaikan dari ganjaran ini sekiranya kita tak punya lebihan apatah lagi mempunyai hutang di sekeliling pinggang? 

Dalam hal ini Allah tidak membebankan. Kita akan berada dalam kategori pemberi zakat, penerima zakat atau diantara keduanya. Apapun adalah lebih baik menjadi pemberi dari menjadi penerima. Sebaiknya gajah beri kerbau, kerbau beri kambing, kambing beri ayam, ayam beri cacing, cacing beri kuman dan sebagainya. Ini bermakna kalau kita mampua berilah yang banyak, kalau kita tak mampu berilah yang sedikit. Kalau kita tak mampu sumbangkan harta, sumbangkanlah tenaga, kalau kita tak mampu sumbangkan tenaga sumbangkanlah idea serta kata-kata sokongan dan sebagainya sepertimana yang akan dihuraikan selepas ini.

ILMU YANG BERMANFAAT YANG DISAMPAIKAN

Selepas amal jariah, ilmu bermanfaat yang disampaikan merupakan amalan kedua yang diterima Allah Taala bila kita mati kelak. Ia juga mempunyai objektif yang sama iaitu untuk mengembangkan Islam. Ilmu yang disampaikan ini bersifat dakwah dengan menggunakan ilmu Allah bagi mengajak manusia ke jalan Allah Taala. Kalau amal jariah lebih kepada pendekatan menggunakan duit, tenaga yang berbentuk fizikal, Ilmu lebih kepada pendekatan menggunakan suara dan perkataan.

Saidina Ali R.A. pernah menjawab satu soalan dengan pelbagai jawapan ;
Beliau pernah ditanya oleh Kaum Kuwarjid " Manakah yang lebih baik di antara ilmu dengan harta?"

Jawab Saidina Ali R.A." Semestinya ilmu itu lebih baik daripada harta."

Mereka bertanya lagi " Atas dalil apa kamu berkata begitu wahai Ali ?"

Inilah jawapan Saidina Ali R.A.,
  • Ilmu itu adalah warisan para nabi dan harta pula adalah warisan Qarun, Fir'aun, Syaddad dan lain-lain.
  • Ilmu itu sebenarnya menjaga kamu sedangkan harta itu pula, kamu yang menjaganya.
  • Orang yang mempunyai harta akan mempunyai banyak musuh sedangkan orang yang berilmu akan mempunyai banyak teman.
  • Harta itu apabila dibelanjakan ianya akan berkurangan, ilmu pula kalau diamalkan ianya akan bertambah.
  • Pemilik harta biasanya dikenali dengan sikedekut dan hina tetapi pemilik ilmu akan dihormati dan disegani.
  • Pemilik harta akan dihisab di hari Kiamat sedangkan pemilik ilmu akan diberi syafaat pada hari Kiamat.
  • Harta itu semakin lama dibiarkan maka ia akan semakin usang. Ilmu itu pula tidak sekali-kali akan lapuk atau usang.
  • Harta itu boleh menjadikan hati seseorang itu keras. Sedangkan ilmu itu pula dapat menerangi hati.
  • Pemilik harta dikatakan sebagai pemilik dengan sebab harta. Dan orang yang berilmu pula mengaku dianya hamba Allah.

Di sini jelas menunjukkan yang ilmu itu adalah lebih baik daripada harta benda. Bagaimanapun mereka yang diamanahkan dengan harta benda dan juga ilmu yang bermanfaat yang menggunakannya ke jalan fisabillillah, saya yakin pasti akan berada dalam keadaan yang selamat di dunia mahupun di akhirat. Ini kerana mereka akan ditanya di akhirat kelak akan amanah harta dan ilmu ini. Penyalahgunaannya boleh membawa kebinasaan kepada diri sendiri. 

Kekuatan ilmu ini boleh menjadikan seseorang itu mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Makhluk manusia yang berkeyakinan tinggi akan dapat mengawal diri dengan baik dalam menjalani apa juga keadaan, mengawal perasaan, menangani apa juga masalah, dugaan dan sebagainya. Mereka juga selalunya merupakan pemimpin dan tempat rujuk yang baik.

Sebenarnya kualiti perkataan yang kita keluarkan bakal menunjukkan kekuatan ilmu dan pengisian yang ada dalam diri kita. Mereka yang hatinya kotor akan mengeluarkan perkataan yang kotor juga, mereka yang pandangannya negatif, penuh syak wasangka buruk dan sebagainya juga akan mengeluarkan ayat-ayat yang mencerminkan hati dan pemikirannya itu.

Sebagai seorang penyampai ilmu kita tak perlu meninggikan suara atau kita tak perlu banyak bercakap menghuraikan hujah dalam penyampaian kerana apa yang penting ialah apa yang kita perkatakan. Isi atau intipati sesuatu ungkapan itu amat penting sebagai pengisian kepada orang sekeliling. Berkatalah dengan hikmah dengan pengisian kebenaran dengan harapan ia akan membawa manfaat kepada diri kita mahupun kepada mereka yang mendengarnya dan bersabarlah kerana kefahaman, taufik dan hidayah adalah hak milik Allah yang diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. InshaAllah.

Apa bezanya menyampaikan ilmu dengan menulis buku, bukankah secara prinsipnya ia sama? Kedua-duanya bertujuan menyampaikan ilmu juga.

Bagi saya begini analoginya. Apabila kita bertemu dengan seseorang dan kita menyampaikan satu ayat maka ia seakan menyampaikan satu titik. Kemudian orang itu membaca satu artikel dia mendapat satu titik lagi, seterusnya dia terus-terusan mendapat satu atau beberapa titik lagi bila pergi ke masjid mendengar ceramah ugama, menonton televisyen, melayari internet, bertemu dengan kawan dan sebagainya.

Titik-titik yang bersepah yang memasuki diri ini akhirnya akan dapat dicantumkan dan menjadi satu gambaran yang memberi kefahaman yang menyeluruh tentang sesuatu isu dalam kehidupan ini. Ia sama seperti semasa kecil kita menjalankan aktiviti connect the dots dalam buku dan selepas disambungkan maka kita akan nampak gambar kangaroo, burung, arnab, buku, botol, cawan dan sebagainya.

Kesimpulannya di sini ialah sampaikanlah walaupun satu ilmu bila kita bertemu dengan sesorang itu kerana kita tak tahu mungkin satu ilmu itu merupakan titik penyambung yang akan memberi kefahaman kepada orang itu. Kalau tidakpun titik-titik itu lambat laun pasti akan bersambung dan memberikan kesedaran kepadanya. Pada masa yang sama kita harus bersikap terbuka untuk menerima titik-titik pengisian ilmu itu dari mana-mana arah sekalipun.

Lagi banyak ilmu yang masuk dalam diri seseorang itu maka semakin mudahlah dia akan faham apa-apa aspek yang dibicarakan. Kefahaman yang semakin banyak ini kemudian boleh disusun dengan baik dan mengikut tertib untuk disampaikan dalam bentuk penulisan buku. Ia seakan meletakkan nombor pada titik-titik ini, kemudiannya disambungkan untuk memberikan gambaran kefahaman yang jelas kepada pembacanya. 

Seperti yang saya katakan penulis seumpama periuk yang terbuka dan senantiasa menunggu untuk diisi. Isi yang ada kemudiannya dimasukkan perencah dan dijadikan gulai untuk dimakan ramai. Sedap atau tidak, terpulang kepada orang yang memakannya. 

Dalam penyampaian, masa adalah terhad tetapi dalam penulisan kita punya masa yang panjang baik untuk menulis mahupun untuk membaca. Dalam penyampaian hanya beberapa titik yang dapat disampaikan itupun dalam keadaan yang tidak tersusun berdasarkan topik yang disampaikan tetapi dalam penulisan, kita boleh menyampaikan keseluruhan cerita dan gambaran untuk memberikan kefahaman. Inilah bezanya.

Lebih baik lagi setelah membaca buku bertanyalah akan perkara-perkara yang tidak jelas semoga ia akan dapat dijelaskan lagi. Perhubungan dua hala adalah yang terbaik dan paling berkesan dalam pembentukan jati diri.

Saya harap setelah sampai ke sini anda faham apa yang cuba saya maksudkan. Buku ini telah disusun bab demi bab topik demi topik dengan harapan ia membawa kefahaman, penghayatan dan perubahan dalam diri anda kelak. Saya harap semoga buku ini dikira amalan ibadah yang diredai Allah Taala hendaknya buat saya. InshaAllah...

ANAK YANG SOLEH

Elemen yang seterusnya selepas amal jariah dan ilmu yang bermanfaat ialah anak yang soleh. Kita sering mendengar pengisian anak yang soleh yang mendoakan kedua orang tuanya namun ada tambahan dalam pengisian kali ini.

Anak yang soleh akan mendoakan kedua orang tuanya dan pada masa yang sama dapat mengembangkan Islam dengan kesolehannya. Katalah ia bermula dengan satu anak yang soleh yang berada di Seremban. Kemudian dia berkahwin dan dapat menyampaikan pengisian yang mungkin dengan izin Allah menyebabkan 4 anaknya menjadi anak-anak yang soleh maka Islam akan berkembang di sekeliling mereka. Contohnya yang sulung tinggal di Johor, yang kedua tinggal di Perlis, yang ketiga di Kuala Lumpur dan seterusnya yang ke 4 di Pahang. Maka rangkuman dakwah itu tadi bakal berkembang dengan lebih luas lagi dan begitulah seterusnya bila mereka pula berkahwin dan mendapat cahaya mata. Mereka yang beriman pada Allah dan selalu mendoakan kedua orang tua pastinya mahukan anak-anak yang soleh juga. Maka jumlah anak-anak yang soleh ini seterusnya akan berganda dan merangkumi  kawasan yang lebih besar.

Selain pengembangan Islam melalui penyampaian ilmu oleh anak-anak yang soleh ini pada masa yang sama mereka juga mengembangkan Islam melalui pertambahan zuriat. Bapa yang soleh pasti mahukan anak yang ramai kerana mereka berharap untuk mendapat bantuan doa dari anak-anaknya bila berada di alam yang seterusnya kelak.

Mereka-mereka yang soleh dan dekat dirinya dengan Allah ini sebenarnya merupakan sahabat yang baik dikala suka mahupun duka. Firman Allah dalam 

Surah An Nisa’ ayat 69 ada menyebut ;

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di Syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-Nabi dan orang-orang Siddiqiin dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat ). 

Kesimpulannya kita mesti mengendalikan ketiga-tiga amanah ini dengan sebaiknya dengan menerapkan sikap pemurah untuk menjalankan amal jariah, sikap penyampai demi untuk menyampaikan ilmu kepada siapa sahaja yang dijodohkan dengan kita dan mendidik anak-anak dengan pengisian keislaman semoga mereka menjadi anak yang soleh. 

Seperkara lagi penyampaian ilmu akan membawa kepada ilmu yang lebih banyak dan penggunaan harta dalam sedekah, sumbangan, amal jariah juga akan membawa kepada harta yang lebih banyak dari Allah Taala. InshaAllah.

Kalau kita lihat rangkuman ini sebenarnya kita boleh membuat kesimpulan berikut. Semua ibadat di atas sebenarnya punya satu persamaan. Ia bertujuan untuk menyebarkan syiar Islam. Sedekah amal jariah adalah dalam bentuk kewangan, binaan dan lainnya yang bersifat fizikal. Ilmu pula adalah penyampaian dakwah dengan tujuan yang sama. Seterusnya anak yang soleh. Untuk menjadi seorang yang soleh pastinya kita juga perlu melakukan sedekah amal jariah, menyampaikan ilmu dan mendidik anak kita menjadi anak yang soleh juga disamping mendoakan orang tua kita.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

 

No comments:

Post a Comment