KETAUHIDAN
Percayalah dengan penuh yakin kepada keesaan Allah tanpa ada perantara diantaranya.
Dewasa ini saya sering bertemu dengan orang-orang yang menjual pelbagai jenis produk kesihatan dan mengatakan yang ianya boleh menyembuhkan pelbagai jenis penyakit, menghindari penyakit, menajamkan pemikiran dan sebagainya. Kadangkala kata-kata yang dihujahkan nampak begitu meyakinkan namun demikian kata-kata itu tidak beralas seakan produk itu pula yang BERKUASA untuk membuat itu dan ini.
Dalam Islam seseorang individu itu sebenarnya boleh berinteraksi terus dengan Tuhannya tanpa mana-mana perantara. Oleh yang demikian kita boleh terus meminta ampun malah bertaubat kepada Allah Taala andaikata kita ada melakukan sebarang kesalahan dalam kehidupan. Hubungan terus kepada Allah Taala tanpa perantara.
Dalam hal ini janganlah jadi seperti mereka yang menganuti ugama lain yang percaya dosa mereka boleh diampunkan dan dibersihkan dengan mandi dalam sungai-sungai yang tertentu atau boleh diampunkan saban minggu oleh perantara yang tertentu.
Ingatlah dalam hal ketauhidan ini kita mesti yakin terus bergantung bulat-bulat kepada Allah dan bukan kepada mana-mana perantara atau makhluk. Ini kerana perantara atau mana-mana makhluk sekalipun tak boleh membawa manfaat atau mudarat kepada kita tanpa izin Allah Taala.
Oleh itu janganlah percaya,
- Gelang berkuasa memberikan kesihatan dan menyembuhkan penyakit.
- Manusia berkuasa untuk menyembuhkan penyakit.
- Azimat dan tangkal berkuasa menjadikan kita kuat, boleh melariskan perniagaan, sebagai ubat pengasih dan sebagainya.
- Percaya kepada ramalan seperti tarikh lahir, fung shui, horrorskop/zodiak dan sebagainya.
- Percaya pada warna, bunyi, aroma dan sebagai berupaya menyembuhkan itu ini dan sebagainya.
- Percaya kepada hantu dan jembalang.
- Tasbih boleh buat ubat.
- Ubat boleh menyembuh penyakit.
- Dan banyak lagi.
Kemudian janganlah menyembah selain Allah Taala. Janganlah jadi manusia yang menyembah matahari, pokok, berhala dan sebagainya. Janganlah taksub kepada artis, pemain bola, pemimpin dan sebagainya. Mereka itu semua makhluk yang sama level malah lebih rendah levelnya dari diri kita makhluk manusia.
Janganlah bergantung kepada rokok, dadah dan arak mahupun mana-mana makhluk di muka bumi ini kerana semua itu tidak sempurna, bersifat sementara dan bakal mengecewakan.
Dalam hal ini memanglah makhluk dan kejadian Allah diciptaNya untuk berkhidmat kepada manusia namun ia bergantung kepada keizinanNya. Allah yang berikan penyakit dan Dia jugalah yang memberikan penawarnya dengan perantara seperti ubat, doktor, dengan ayat-ayat Al Quran dan sebagainya mahupun tanpa perantara secara terus dengan doa yang kita minta dariNya.
Mana-mana makhluk dan kejadian hakikatnya tak akan dapat berbuat apa-apa. Mereka tak punya kuasa melainkan Allah mengizinkannya. Oleh itu janganlah menyamakan mana-mana makhluk dengan Allah Taala. Syirik jadinya. Semua makhluk dan kejadian ini hanyalah perantara Allah Taala dan setan menggunakannya untuk memesongkan kita dari ketauhidan kepada Allah Taala yang satu.
Syaitan menggunakan kemiskinan contohnya dan kita merasakan yang kita akan mati dengan kemiskinan sedangkan Allah Taala telah menjanjikan rezeki bagi setiap anak Adam yang dilahirkan di muka bumi ini.
Masalah tentang syirik ini ialah kadangkala ia tersembunyi dan sukar untuk dilihat. Ia seakan seekor semut hitam di atas batu hitam di malam yang gelap gelita. Ingatlah dosa syirik atau menduakan Allah ini tak seperti dosa-dosa yang lain kerana doa syirik ini tak akan diampunkan Allah Taala. Dengan yang demikian kita kena berhati-hati agar kita tak terjebak dengannya.
Ini kerana ketauhidan iaitu kepercayaan yang bulat keseluruhannya kepada Allah termaktub dalam Rukun Iman maka ia merupakan asas keimanan kita kepada Allah SWT. Oleh itu peganglah kepada tali Allah ketat-ketat dalam senang mahupun susah dan jangan sesekali melencong kepada makhluk yang lain yang tidak berkuasa itu. Carilah jalan yang lurus.
Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/
PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!
PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;
No comments:
Post a Comment