PENUTUP - SAMPAIKANLAH...
Topik terakhir dalam buku ini mengingatkan saya pada kakak-kakak angkat saya di Universiti Malaya dahulu semasa kecil. Kami tinggal di kuarters yang disediakan untuk pengawal keselamatan dan kakak-kakak ini menyewa bilik di kuarters-kuarters ini. Setiap petang mereka akan duduk di tangga berhadapan dengan rumah saya dan menceritakan tentang geografi, politik geologi, sains sosial, perubatan dan sebagainya berdasarkan kursus yang mereka ambil. Saya mula mendengarnya pada lingkungan umur 8 tahun hinggalah ke 16 tahun pabila saya masuk sekolah berasrama.
Mereka inilah yang secara tak langsung bertanggung-jawab membentuk diri saya menjadi seorang yang gemar berfikir tentang kehidupan. Saya tak sedar itu dahulu tetapi pembentukan inilah yang menjadikan saya seorang yang suka mencari ilmu dan pada masa yang sama suka menyampaikan ilmu. Mungkin atas sebab inilah saya menjadi seorang penulis buku genre motivasi Islamik.
Kepada mereka saya ucapkan terima kasih walau dimana mereka berada. Sekarang telah masanya untuk saya berbuat perkara yang sama kepada sesiapa juga yang saya temui dan saya harap pengisian dan huraian ini akan seikit sebanyak membawa perubahan ke dalam diri sesiapa sahaja yang dijodohkan dengannya. InshaAllah.
Saya mahu berusaha membawa perubahan tersebut sepertimana yang mereka lakukan pada saya dahulu. Perubahan ke arah kebaikan dengan izin Allah Taala. Saya tahu bagaimana saya terbentuk dengan pengisian yang mereka lakukan pada dulu dan saya juga telah tahu bagaimana caranya untuk melakukan perubahan tersebut pada orang lain berdasarkan pengalaman-pengalaman lalu.
Saya tahu pengisian yang disampaikan ke dalam diri seseorang itu boleh mengubah mereka ke satu jalan yang baru dan baik. Mungkin inilah sebabnya saya berterus-terusan menulis dan menyampaikan pada yang ramai dengan harapan pengisian ini bakal memberikan satu persepsi baru dalam hidup.
Percayalah dengan menyampaikan pengisian, ia akan menambahkan ilmu, ilmu ini seterusnya boleh bawa perubahan ke dalam diri lantas menukar haluan kepada arah tuju yang lebih baik. InshaAllah. Jadi sampaikanlah. Sampaikanlah walau satu ayat.
PENUTUP
Kita telah sampai ke penghujung buku ini. Segala pengisian dan huraian ini tak akan membawa makna sekiranya isinya tidak difahami, dihayati apatah lagi dilaksanakan. Namun bagi yang berlapang dada, menghayati dan melaksanakan apa yang disarankan dalam buku ini maka saya percaya dengan keizinan Allah ia boleh membawa kepada kejernihan hati. Kebersihan hati ini pula akan membawa kepada ilmu dan sifat-sifat yang baik masuk dan menetap ke dalam hati tersebut. Ilmu dan sifat yang baik ini pula bakal membawa kepada kefahaman dalam beragama serta petunjuk dan hidayah dari Allah Taala. Ia akan dipaparkan dengan sikap dan akhlak yang baik secara zahirnya.
Seterusnya hati yang baik ini akan membawa kepada peningkatan keimanan dan amal ibadah yang baik. Allah akan pelihara dan lindungi pemilik hati yang mendapat petunjuk dan hidayah ini lantas membawa kepada kejayaan di dunia dan di akhirat. InshaAllah. Dalam hidup kita yang pendek ini tidak ada sesiapa yang dapat melindung dan memelihara kita sebaik Allah Taala. Maka bersyukurlah sekiranya kita dapat berada dalam golongan insan yang dipelihara Allah Taala kerana ia merupakan satu nikmat yang tidak ternilai harganya.
Saya berharap semoga pengisian dalam blog ini membawa manfaat kepada anda semua yang saya kasihi. Ucapan berbanyak terima kasih atas kesudian anda untuk membacanya dan sepuluh jari disusun memohon ampun dan maaf kalau ada salah dan silap.
Sesungguhnya yang baik datang dari Allah Taala dan yang salah adalah atas kelemahan saya sendiri. Semoga anda berjaya di dunia dan di akhirat! InshaAllah... Amiinn…
Sekian. Wassalam.
Saya. Faizal Yusup. Hamba Allah. Posmen yang menyampaikan surat ini.
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/
PS - TAHNIAH! Anda telahpun selesai membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya. Saya percaya sesuatu TELAH berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Paling tinggi anda bakal mendapat petunjuk dan hidayah dari Allah Taala dan paling tidakpun anda mendapat perspektif yang segar dan baru yang mungkin akan bawa kebaikan dalam menjalani kehidupan di masa mendatang. InshaAllah.
PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Jangan lupa follow, share, like dan subscribe. Biar semua orang tahu akan kebaikan pengisian Minda Akhirat ini. Layari ;
No comments:
Post a Comment