PANDANGAN MINDA AKHIRAT
INSIDE OUT - OUTSIDE IN
Dalam pengisian kali ini saya akan cuba membuat perbandingan antara dua prinsip iaitu prinsip pegangan manusia iaitu inside-out dan outside-in.
Sedari kecil tanpa kita sedari bagi kebanyakan, kita mempunyai pandangan inside-out iaitu lebih suka melihat sesuatu keadaan dan peristiwa itu dari dalam keluar. Maknanya kita melihat semua perkara yang berlaku di sekeliling kita ada kena mengena dengan hasil usaha diri kita. Kejayaan dalam pelajaran, memiliki harta yang banyak, rumah yang besar, kereta yang mewah, isteri yang cantik, kerja yang baik dan sebagainya berlaku hasil dari titik peluh diri kita sendiri.
Sekali lagi bagi kebanyakan kita selalu memandang sesuatu itu berpusatkan dari dalam diri kita sendiri dan seterusnya keluar. Kita menjadi kaya kerana kepandaian diri kita mahupun atas usaha kita sendiri, semua harta yang ada di sekeliling kita adalah hak milik kita, kita yang buat itu dan kita yang buat ini. Dalam keadaan ini sepertimana yang diperkatakan tadi sebenarnya kita merupakan orang berminda dunia yang merasakan kitalah punca kepada segala apa yang berlaku di sekeliling kita saban hari.
Pandangan ini berpusatkan AKU atau diri kita sendiri. Ini kerana sejak kita dikurniakan akal fikiran kita merasakan diri kita berkuasa atas itu ini. Kita merasakan kita boleh mencipta itu ini, kita merasakan kita boleh mengubah itu ini tanpa kita sedari kita tak lain hanyalah makhluk yang dicipta Allah Taala. Makhluk yang dijadikan Allah untuk patuh dan taat kepada semua perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Makhluk yang hanya boleh merancang tetapi ketentuan semuanya terletak di tangan Allah Taala.
Mengetahui hakikat ini kita boleh membentuk prinsip outside-in ( luar ke dalam ) pula ialah dengan memandang dari elemen luar ke dalam diri. Pandangan ini berpusatkan Allah sang Pencipta yang mencipta diri kita yang serba tahu apa sahaja mengenai diri kita di dalam dan di luar.
Outside-in pula merupakan prinsip yang mana semua yang berlaku dalam hidup ini berlaku atas kehendak kuasa yang lebih besar iaitu kuasa Allah S.W.T. Dalam ertikata lain ia merupakan prinsip penyerahan. Islam itu sendiri membawa maksud berserah jadi orang sebegini merupakan orang berminda akhirat yang menyerahkan segalanya pada Allah dan percaya dengan penuh yakin yang semua berlaku baik dan buruk adalah atas kehendak Allah. Apapun penyerahan ini berlaku setelah segala usaha, ikhtiar dan doa telah dijalankan. Bukan hanya berserah buta. Sebagai contoh orang sebegini tak akan mengatakan yang harta benda yang ada di sekelilingnya sebagai haknya tetapi mengatakan yang ia adalah hak mutlak Allah dan ia diamanahkan Allah kepada dirinya. Mereka yakin sekiranya harta itu disalahguna maka dialah yang bakal menerima akibatnya di akhirat kelak.
Dalam contoh yang lain pula, sekiranya dia memiliki sebuah kereta maka dia mahu menggunakan kereta itu untuk tujuan ibadah dengan membawa keluarga, saudara dan sahabat handai ke sana-sini, untuk pergi ke tempat kerja dan tempat ibadah, sanggup meminjamkan kereta tersebut kepada sesiapa sahaja yang memerlukan dan sebagainya. Mereka takut untuk menggunakannya bagi tujuan melakukan maksiat di dalamnya, membawa ke tempat maksiat, melakukan rompakan atau membawa barangan terlarang dan sebagainya. Kadangkala kita akan dapat lihat orang berminda dunia yang menjunjung kereta bagai minyak yang penuh, sanggup membelanjakan duit yang banyak untuk menghias kereta dengan aksesori yang pelbagai. Kemik dan calar yang sedikit boleh menyebabkan kemarahan yang memuncak.
Kalau dia mempunyai tanah pula tanah itu akan diusahakan ke tahap yang maksima kerana takut sekiranya ia tak digunakan maka ini juga terletak dalam penyalahgunaan amanah. Seandainya pula dikurniakan dengan ilmu maka ilmu ini akan digunakan dengan sebaiknya dan disampaikan kepada yang ramai dalam bentuk penyampaian, penulisan dan sebagainya di tahap yang maksimum kerana takut dirinya ditanya di akhirat kelak kenapakah tidak menyampaikan amanah yang telah dikurniakan ke dalam dirinya itu. Begitu jugalah halnya dengan amanah-amanah yang lain. Berlainan dengan orang berminda dunia dalam prinsip Inside-out dia bakal menyalahgunakan ilmu tersebut bagi tujuan untuk menipu, menindas, memikat gadis, mencari nama dan sebagainya. Sekali lagi bukan untuk tujuan ibadah tetapi untuk tujuan maksiat atau amalan yang salah.
Lebih halus lagi dia dikurniakan dengan mulut, lidah dan suara maka akan digunakannya dengan bercakap perkara yang baik, hikmah, zikir, dakwah dan yang benar kerana rasa bersyukur akan nikmat suara yang dikurniakan Allah padanya. Makhluk mulut, lidah dan suara itu pasti akan gembira sekiranya ia digunakan untuk kebaikan ibadah oleh pemiliknya malangnya kita selalu menyalahgunakanya untuk mengeluarkan cetusan-cetusan mencaci, memaki hamun, memarahi, mengutuk, mengkeji, mengadu domba dan sebagainya. Saya pernah bertemu dengan seseorang yang suka mencarut dan perkataan F**K tak pernah lekang dari mulutnya. Bukankah ini merupakan penyalahgunaan mulut yang nyata? Fikir-fikirkanlah.
Gambarajah di bawah ini menunjukkan perbezaan antara kedua-dua prinsip ini;
INSIDE OUT OUTSIDE IN
BANTUAN Mengharap balasan makhluk Mengharap reda Allah
HARTA Milik sendiri Amanah Allah
SIFAT Sombong Rendah diri
KEJAYAAN Atas usaha sendiri Kurniaan Allah
HARTA Milik sendiri Amanah Allah
SIFAT Sombong Rendah diri
KEJAYAAN Atas usaha sendiri Kurniaan Allah
Jadi anda memegang prinsip yang mana satu?
Mereka yang memegang prinsip “Inside-out” adalah orang berminda dunia dan hanya baik untuk dijadikan kawan. “Kawan makan kawan” adalah ungkapan yang biasa kita dengar. Mereka melakukan sesuatu dengan agenda dan motif yang tertentu dengan harapan mendapat ganjaran baik dalam bentuk duit, kontrak, nama, kuasa dan sebagainya. Mereka merupakan orang yang sombong lagi ego kerana mereka merasakan yang mereka serba kuat, berkuasa dan tahu banyak perkara. Mereka mempunyai sifat pentingkan diri sendiri, penuh syak wasangka buruk, fitnah, menipu, tidak telus dan banyak berahsia. Mereka masih bergantung kepada dunia dan segala isi kandungannya yang pada hakikatnya hanya bersifat sementara.
Sepertimana sifat dunia yang sementara selalunya perhubungan dengan kawan yang berasaskan dunia ini tak kekal lama dan perselisihan atau pertembungan boleh berlaku pada bila-bila masa. Selalunya perhubungan sahabat yang bersifat akhirat yang bakal kekal hingga ke akhir hayat. Konsep ini boleh juga diguna pakai dalam perhubungan suami isteri. Menurut kajian, 30% daripada penceraian berlaku atas sebab masalah kewangan. Dalam ertikata lain penceraian berlaku kerana perhubungan itu berasaskan duit ( makhluk ) yang tak kekal sifatnya.
Ketahuilah mereka yang memegang prinsip yang kedua iaitu prinsip Outside-in merupakan seorang sahabat dan sahabat adalah seseorang yang boleh dipercayai dan akan sentiasa bersedia berkhidmat tanpa meminta apa-apa balasan. Ini kerana mereka hanya mahukan ganjaran dari Allah, ganjaran dunia tak penting bagi mereka. Mereka yang dalam kategori ini suka berkhidmat dan melakukan ibadah. Mereka tidak punya rasa syak wasangka, tidak melakukan fitnah, bercakap benar, mempunyai sifat yang telus dan terbuka dan sebagainya. Inilah perbezaannya.
Perbezaan ini membolehkan anda menilai semula semua orang baik ibu bapa, adik beradik, saudara mara, kawan, rakan dan taulan yang ada di sekeliling anda samaada mereka itu bersifat kawan atau sahabat.
Kesimpulannya berkawan kerana dunia, makhluk dan segala isinya tak akan kekal tetapi bersahabat kerana akhirat atas tiket Allah Taala akan kekal sepanjang hayat. InshaAllah.
Konsep Inside Out dan Outside In ini juga seharusnya dipraktikkan dalam hubungan sesama manusia.
Mereka yang Inside Out dan berminda dunia ini merupakan orang yang self centered iaitu seorang yang pentingkan diri sendiri. Kalau bercerita mereka hanya bercerita tentang perkara-perkara yang khusus terhadap kehidupan diri mereka sendiri. Mereka bercerita tentang kerja atau perniagaan yang mereka jalankan, prinsip yang mereka pegang, peristiwa yang berlaku di dalam kehidupan mereka, kisah anak cucu cicit mereka dan sebagainya. Mereka sentiasa merasakan diri mereka hebat dan orang lain perlu mengikut cara mereka.
Mereka lebih suka meminta dan menerima juga lebih cenderung untuk memastikan kepentingan diri dan keluarga mereka terpelihara. Kalau ada dua biji mangga di tangan mereka, maka mereka akan memberikan mangga yang kurang baik kepada sahabatnya. Mangga yang elok akan disimpan untuk diri mereka sendiri.
Ini berbeza dengan orang yang memegang prinsip Outside In iaitu orang yang berminda akhirat. Kalau ada dua biji mangga, mereka akan berikan mangga yang terbaik kepada sahabatnya. Itu bezanya. mereka ini punya prinsip “be in other people shoes”, ini bermakna mereka prihatin terhadap kemaslahatan kawan, sahabat atau saudara yang berada di depan mereka. Mereka ini punya sifat ehsan. Mereka lebih suka memberi. Mereka sayang orang lain seperti mereka sayang diri mereka sendiri.
Nak kenal perbezaan antara dua minda atau prinsip ini mudah sahaja. Bila berbicara tu cuba perhatikan adakah mereka sahaja yang bercakap bercerita tentang diri mereka atau adakah mereka seorang yang bertanya kepada diri kita tentang keadaan diri kita. Adakah penceritaan itu 90% berkisar tentang diri mereka atau adakah dalam penceritaan itu pembahagiannya lebih kurang 50- 50?
Fikir-fikirkanlah…
Faizal Yusup Al Haj
0166667430
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/
PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!
PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;
No comments:
Post a Comment