IKTIBAR DARIPADA MAKHLUK POKOK
Saya suka memerhatikan makhluk Allah yang berada di sekeliling kita dan betapa mereka semua memberikan tamsilan yang baik untuk diambil iktibar darinya. Dalam topik kali ini sekali lagi saya mahu menggunakan makhluk pokok sebagai analogi.
Sepertimana makhluk dan kejadian lain yang dijadikan Allah, pokok juga mempunyai fungsinya yang tersendiri untuk menyediakan tempat teduh, habitat binatang, barang, akar, ubat, buah, daun, menjalankan proses fotosintesis dengan menghirup karbon dioksida dan mengeluarkan oksigen serta pelbagai manfaat yang lainnya. Dari sini kita boleh lihat yang makhluk pokok malah kebanyakan makhluk yang lainnya mempunyai sifat utama iaitu sifat memberi, kemudian sifat menerima, meminta dan akhir sekali mengambil.
Pokok mengambil yang tak elok dan mengeluarkan yang elok dalam bentuk yang telah diterangkan tadi. Ia tidak pernah bersuara meminta baja dan sebagainya namun hanya menerima semua ini dari dalam semulajadi. Begitu jugalah dengan makhluk yang lainnya yang menyediakan kulit, untuk dijadikan kasut, pakaian, menyediakan daging dan buah sebagai makanan manusia dan banyak lagi. Mereka hanya memberi dan berkhidmat untuk manusia.
Memberi lebih baik dari menerima. Menerima lebih baik dari meminta dan akhir sekali meminta lebih baik dari mengambil atau mencuri. Masalahnya manusia lebih suka menerima, meminta dan mengambil daripada memberi. Mereka bertanyakan soalan apakah yang dapat diberikan orang lain kepadanya daripada bertanyakan apakah yang dapat dia berikan kepada orang lain.
Selain konsep memberi ini kita juga boleh melihat pokok dari sudut seni bila seorang pelukis melukis gambar pokok tersebut kerana sifat kecantikan dan kedamaian yang ada padanya, dari sudut matematik dari sudut fractal biku-biku sudut tiga segi pada dahan semua pokok yang hidup, dari sudut pelaburan dengan mempelajari tumbesarannya yang bersifat organik dari kecil hingga ke besar dan bagaimana sebiji anak benih boleh menghasilkan berjuta-juta buah, dari sudut bioteknologi dalam aspek genetik, pengklonan tisu kultur, saintifik dan banyak lagi. Inilah kesempurnaan ciptaan Ilahi.
Seterusnya kalau kita lihat, kedudukan pokok juga memainkan peranan untuk ia menjalankan kehidupan dengan baik. Ada pokok yang hidup di dalam cuaca panas, ada yang meninggi mencari matahari namun ada juga yang perlu berada di tempat yang teduh mahupun sejuk. Ada pokok yang dapat berbuah sepanjang musim ada yang bermusim, ada yang berbuah hanya sekali dan pelbagai lagi.
Apapun pokok kaktus hanya boleh hidup di tempat yang berhawa panas dan pokok epal pula di tempat beriklim sejuk.
Apapun pokok kaktus hanya boleh hidup di tempat yang berhawa panas dan pokok epal pula di tempat beriklim sejuk.
Persoalan yang ingin saya utarakan ialah dimanakah kedudukan kita, apakah fungsi kita serta apakah yang perlu kita lakukan sebenarnya. Adakah kita seumpama pokok kaktus yang betul kedudukannya yang berada di daerah yang panas atau adakah kita berada dalam kedudukan yang salah seumpama pokok epal yang hidup segan mati tak mahu cuba hidup dalam cuaca yang panas.
Kalau difikirkan saya yakin masalah akan timbul dan kita tak akan dapat merasai ketenangan sekiranya kita berada di tempat yang salah.
Kalau difikirkan saya yakin masalah akan timbul dan kita tak akan dapat merasai ketenangan sekiranya kita berada di tempat yang salah.
Ada orang yang belajar hingga lulus ke peringkat kedoktoran namun tidak menjadi doktor malah menjadi Perdana Menteri. Ada yang mengambil kursus yang lain namun bekerja pula dalam bidang yang berlainan sama sekali. Ada graduan yang menjadi artis jalanan, ada yang tiada kelulusan tetapi menjadi jutawan malah ramai juga graduan yang keluar Universiti dan menyangkakan yang mereka bakal menjadi jutawan muda hampa setelah bertahun mengganggur.
Saya pula berkelulusan ijazah pelaburan tetapi menjadi seorang penulis. Kenapa demikian? Kalau difikirkan mungkin kehendak Allah tak sama dengan kehendak kita. Kita belajar tinggi dalam sesuatu bidang tetapi kehendakNya membawa kita untuk melakukan sesuatu yang berlainan. Mungkin adakalanya kita mengambil keputusan yang salah lantas berada dalam kedudukan yang salah lantas menyebabkan kita hidup bagai ayam berak kapur tidak bermaya.
Bila difikirkan pula dari sudut rezeki pula mungkin rezeki yang datang dalam bidang nyanyian contohnya bersifat makruh kalau dibandingkan dengan rezeki bila kita bercucuk tanam yang halal kalau betul caranya. Dari segi sejarah kerja bercucuk tanam, menternak, perniagaan, pembinaan malah penulisan telah lama dijalankan hinggalah ke zaman teknologi ini bila pelbagai bentuk kerja dalam pelbagai bidang diwujudkan. Sekali lagi dimanakah kita dan adakah kerja yang kita lakukan itu baik sifatnya?
Bagaimanakah sifat rezeki kita yang bekerja di Bank, di kilang memproses arak, menjadi pelukis potret, rezeki yang melibatkan riba, rasuah dan sebagainya?
Kita boleh membuat keputusan untuk menjadi itu dan ini dan mungkin cita-cita dan doa kita itu dimakbulkan Allah Taala tetapi adakah ada pasti anda telah berada di kedudukan yang betul dan menjalankan fungsi anda dari sudut ibadah kepada Allah Taala? Persoalan ini sering berlegar dalam benak saya dan saya yakin yang semua kita ada fungsinya masing-masing dalam menegakkan tugas ibadah sebagai manusia. Saya yakin setiap seorang dari kita dijadikan Allah untuk berada di tempat-tempat yang tertentu dengan tujuan untuk beribadah dan menegakkan syair Islam di muka bumi.
Ada yang dijadikan sebagai pendakwah dari peringkat yang rendah hinggalah ke peringkat yang tertinggi, ada yang dijadikan penulis dalam pelbagai genre, ada yang hanya menjadi penyampai khusus kepada keluarga namun ada juga yang hanya berdiam diri memberikan iktibar dari perbuatan mereka. Dakwah yang berbentuk aktif dalam penyampaian mahupun pasif dalam bentuk perbuatan. Dewasa ini pasti ada penyampai peringatan Allah dalam mana-mana golongan sasaran sekalipun. Televisyen, radio, suratkhabar dan majalah, internet, buku-buku, kawan-kawan dan sebagainya banyak menceritakan tentang kekuasaan Allah Taala serta pengisian-pengisian keimanan yang lainnya.
Oleh yang demikian fikirkanlah. Apakah kita berada di kedudukan tempat yang betul dalam apa yang kita kerjakan kerana ditakuti kita berada di tempat yang salah.
Huraian ini baru huraian yang mengambil tamsilan atau iktibar dari pokok, bagaimana pula dengan beribu-ribu makhluk lain yang ada di muka bumi ini? Saya percaya kalau semua makhluk itu ditelitikan pasti mereka semua boleh memberikan tamsilan yang terlalu banyak buat manusia sesuai dengan sifatnya yang dijadikan Tuhan untuk berkhidmat kepada manusia. Apapun ia terpulang kepada manusia untuk memerhati dan memikirkan akan semua kejadian Allah di sekeliling mereka saban hari. Ini kerana kita juga makhluk yang sebenarnya sebahagian dari alam semulajadi.
Faizal Yusup Al Haj
0166667430
PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!
PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;
No comments:
Post a Comment