Saturday, February 5, 2022

MENJADI INSAN YANG TAAT DAN PATUH

 


KEPATUHAN MAKHLUK

Seterusnya dalam bab ini mari kita lihat dari sudut kepatuhan makhluk Allah, sepertimana gambarajah di atas ini.

Makhluk bosan tugasnya ialah untuk membosankan dan bukan untuk menggembirakan kerana yang menggembirakan kita itu adalah makhluk yang bernama gembira. Kalau kita lihat makhluk bosan tugasnya ialah untuk membosankan manusia. Kalau difikirkan pernahkah ia membosankan pokok, lembu, harimau, malaikat dan sebagainya? Saya yakin tidak. Kerana itu tidak termasuk dalam “job description” nya. Ini bermakna makhluk bosan ciptaan Allah ini ditugaskan Allah untuk membosankan manusia. Kalau anda jadi makhluk  bosan,  saya rasa lama-kelamaan anda juga akan rasa bosan dan anda mahu bertukar tugas dengan makhluk gembira agaknya. Namun dalam hal ini makhluk bosan tidak diberi pilihan dan ia hanya patuh kepada Allah Taala dan terus-terusan menjalankan tugasnya sehinggalah hari kiamat. Ketahuilah yang makhluk bosan ini tidak wujud di dalam syurga nanti sebab kalau ia wujud pasti anda akan rasa bosan kerana tinggal di syurga itu adalah buat selama-lamanya.

Kesimpulannya makhluk Allah bernama BOSAN ini patuh kepada perintah Allah Taala.  

Kemudian kita ambil makhluk API sebagai contoh seterusnya. Seperti yang kita tahu sifat api ialah panas dan membakar. Tidak seperti makhluk bosan yang tidak kelihatan pada kacamata manusia, api kelihatan dengan warnanya yang kekuning-kuningan, kemerah-merahan dan kebiru-biruan kita boleh merasai haba kepanasan yang dikeluarkannya.  Ia juga berfungsi untuk membawa manfaat kepada manusia, kita menggunakannya untuk memasak, merebus dan pemanggang makanan malah api yang digunakan untuk membakar sampah sarap dan sebagainya. Pada masa yang sama api juga boleh memudaratkan apabila ia tidak dapat dikawal dan membakar rumah dan bangunan. Apapun semuanya berlaku dengan keizinan Allah Taala.  

Soalannya ialah pernahkah makhluk API yang kita ketahui panas ini menjadi sejuk?

Jawapannya pernah, dalam sejarah API pernah menjadi sejuk pada masa Nabi Ibrahim AS dibakar hidup-hidup oleh kaumnya kerana memusnahkan patung-patung berhala sembahan kaumnya itu. Namun Nabi Ibrahim AS  keluar daripada API itu dalam keadaan menggigil kesejukan. Ini kerana Allah telah memerintahkan API untuk menjadi sejuk dan tidak sesekali membakar Nabi Allah Ibrahim itu.  ini jelas menunjukkan yang API itu adalah makhluk Allah yang patuh kepada perintah Allah SWT.

Kesimpulannya makhluk Allah bernama API ini patuh kepada perintah Allah Taala. 
Dalam kategori makhluk binatang kita ambil seekor Lembu sebagai contoh. Allah perintahkan lembu makan rumput, maka lembu tanpa soal akan terus-terusan makan rumput. Kalau anda jadi lembu dan sekiranya anda diberi pilihan, saya yakin anda juga hendak makan makanan di hotel, nak makan pizza dan sebagainya. Sekiranya anda jadi lembu adakah anda  hendak membiarkan harimau makan anda atau sebaliknya anda yang makan harimau itu? Saya pasti dalam hal ini anda hendak memakan harimau. Biar harimau takut kepada anda.

Apa akan jadi kalau Lembu melanggar perintah Allah dan makan ayam, itik, arnab, harimau, manusia dan sebagainya. Bukankah masalah jadinya. Itulah sebabnya juga setiap binatang yang dicipta Allah ada tugasnya masing-masing, cacing menggembur tanah, rama-rama mensenyawa bunga, binatang diguna manusia untuk daging, tenusu, bulu dan kulit dan sebagainya. Sekali lagi mereka semua patuh menurut perintah Allah serta berkhidmat untuk manusia. Setakat blog ini ditulis belum lagi kita nampak harimau makan rumput dan bunga-bungaan.

Kesimpulannya makhluk Allah bernama BINATANG ini juga patuh kepada perintah Allah Taala.  

Seterusnya  kita huraikan kategori malaikat. Jom kita ambil malaikat Mikail sebagai contoh,  malaikat ini tugasnya ialah untuk membawa rezeki kepada semua makhluk di bumi ini setiap hari saban hari hingga ke akhir zaman.  Adakah ia merasa bosan dengan tugas yang diperintahkan Allah terhadapnya?  Kalau anda jadi malaikat Mikail ini dan diberi pilihan saya rasa anda juga ingin bertukar tempat dengan malaikat Israfil yang belum lagi menjalankan tugas untuk meniup Sangkakala manupun bertukar tempat dengan malaikat Jibrail AS yang telah selesai menjalankan tugas menyampaikan wahyu kepada para Nabi dan Rasul. Para malaikat tidak pernah merasa bosan dan tidak pernah melanggar perintah Allah Taala. Mereka adalah makhluk yang dijadikan Allah bertujuan untuk beribadah kepada Allah Taala. 

Kesimpulannya makhluk Allah bernama MALAIKAT ini sama juga dengan makhluk lain juga patuh kepada perintah Allah Taala. 

Dalam hal ini batu boleh terapung kerana nak ikut Nabi SAW dalam kisah Israk dan Mikraj, pokok boleh bergerak dan sujud, awan boleh mengikut dan meneduhi Nabi SAW, pasir boleh dibentuk menjadi unta dan kemudian dihidupkan, seekor burung yang telah mati dipisahkan empat, boleh kembali bercantum dan hidup kembali dalam kisah Nabi Ibrahim AS, bulan boleh terbelah dua, orang yang mati boleh hidup semula dalam kisah Nabi Isa AS, besi yang keras boleh menjadi lembut hanya menggunakan tangan dalam kisah Nabi Daud AS dan banyak lagi kisah-kisah kepatuhan makhluk-makhluk ini dalam sirah para Nabi dan rasul. Makhluk itu keluar dari sifat dan fungsi sebenarnya kerana mereka patuh akan perintah Allah Taala. Hanya Allah yang berkuasa terhadap mereka. 

Begitu juga kalau kita lihat dalam kisah para Nabi dan Rasul kita dapati yang mereka semua merupakan makhluk yang patuh dan taat kepada perintah Allah Taala.  Bayangkanlah dalam kisah Nabi Ibrahim AS yang diwahyukan Allah untuk mengorbankan yang menyembelih anaknya Ismail. Sekiranya anda diminta untuk berbuat demikian adakah anda sanggup untuk melakukannya?

Dalam ertikata lain semua makhluk ini termasuklah para nabi dan rasul PATUH dan TAAT kepada Allah Taala.

Seterusnya kategori Iblis dan konco-konconya.

Dalam bab ini, saya yakin Kita semua tahu yang hanya makhluk iblis yang tidak mahu patuh kepada Allah Taala. Bukan hanya tidak mahu patuh malah mereka juga berjanji untuk menghasut, menggoda dan mengajak manusia untuk melanggar perintah Allah Taala yang seterusnya membawa manusia ke neraka jahanam. Mereka juga telah diizinkan Allah untuk hidup sehingga hari kiamat dengan tugas untuk menyesatkan semua manusia.

Kesimpulannya makhluk iblis dan syaitan TIDAK PATUH kepada Allah Taala.

Bagaimana pula kita manusia?

Kita manusia juga jin diberi pilihan samaada untuk patuh dan taat kepada Allah atau sebaliknya. Iblis mengambil pilihan untuk tidak patuh sedangkan semua makhluk lain mengambil pilihan untuk patuh dan taat perintah Allah. Dalam hal ini kalau semua makhluk di dalam alam fana ini mematuhi hukum hakam Allah Taala apa alasan kita untuk tidak patuh?  Bukankah kita tahu yang iblis dan syaitan itu Allah musuh yang nyata bagi kita sebagai manusia. Kenapa pula kita ingin mengikuti iblis dan syaitan untuk tidak patuh kepada Allah Taala?

Sekali lagi ditegaskan dalam carta di atas jelas menunjukkan yang semua makhluk di dunia ini patuh kepada perintah Allah kecuali Iblis kerana tidak mahu patuh kepada Allah untuk tunduk menghormati Nabi Adam A.S. semasa baginda dicipta Allah kerana merasakan yang dirinya lebih mulia kerana ia dicipta dari api sedangkan manusia dicipta dari tanah.

Hakikatnya, kalau kita patuh kepada Allah Taala maka ganjaran kebaikanlah yang bakal kita terima namun sebaliknya kalau kita mengambil keputusan untuk tidak patuh akan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya maka kesusahanlah yang bakal kita hadapi. Mungkin inilah sebabnya ada sahabat-sahabat Nabi yang berkata kalau boleh mereka mahu menjadi burung mahupun rumput yang dimakan lembu serta tidak ingin dilahirkan sebagai manusia kerana semua makhluk tersebut patuh kepada perintah Allah dan mereka tak perlu membuat pilihan sepertimana yang kita perlu lakukan.

Dalam aspek yang lain pula, di dunia ini kita  diuji secara mikronya dengan kepatuhan dan ketaatan kepada kedua ibu bapa,  itupun ramai di antara kita yang gagal dalam ujian tersebut. Dewasa ini ramai anak-anak yang menderhaka kepada orang tuanya,  ramai anak-anak yang menjadikan ibu bapanya sebagai hamba sedangkan mereka menjadi tuan. Malah ada juga anak-anak yang tidak mahu memelihara kedua ibu bapanya yang sudah tua tetapi bertindak menghantar orang-orang tua mereka rumah orang tua-tua. Ketahuilah reda Allah datang dengan reda kedua orang tua kita.

Dalam hal ini, sekiranya kita tidak dapat menghormati, mematuhi mahupun mentaati kedua ibu bapa yang membesarkan kita dari kecil bagaimana pula secara makronya kita boleh patuh dan taat kepada pencipta kita Allah Taala?

Mengetahui hakikat ini, mulai saat ini jom kita patuh perintah Allah dan tinggalkan segala larangan Allah! Kita  berbakti kepada kedua-dua  ibu bapa kita dan kita buat ibadah saban hari ikhlas kerana Allah dan jauhkan segala maksiat. InshaAllah. 



Apapun ingatlah yang semua makhluk adalah dibawah kekuasaan Allah Taala. Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui akan setiap sesuatu.

Sekian buat kali ini...

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

No comments:

Post a Comment