Friday, February 4, 2022

PENGISIAN KEDUNIAAN VS KEISLAMAN

 



PENERAPAN SEKULAR VS ISLAM

Semenjak kita dilahirkan dan dikurniakan akal saban hari kita akan bertembung dengan persimpangan dilema nilai. Persimpangan dilema nilai? Tak pernah dengar pun FY. Persimpangan Nilai nak menuju ke Sepang tahulah.

Begini. Biar saya terangkan. Pesimpangan itu hanya terbahagi kepada dua jalan untuk dipilih iaitu nilai Sekular / Moral dan satu lagi nilai Islam / Akhlak.

Dalam sistem sekular atau barat nilainya hanya terbahagi kepada dua iaitu sama ada ia baik atau ia buruk sahaja tetapi dalam Islam ia terbahagi kepada lima kategori nilai iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram sepertimana yang pernah saya terangkan dalam bab yang sebelum ini. Contohnya kalau kita dapat duit yang banyak nilai sekular membolehkan kita berbuat apa sahaja dengan duit itu tetapi nilai Islam ada hukum hakam yang perlu diikuti. 

Yang wajib membayar hutang, membayar zakat dan menunaikan haji, yang sunat bersifat derma, sedekah dan infaq, yang harus makan dan minum serta mengelakkan yang makruh seperti pembaziran, rokok dan akhir sekali yang haram, berjudi, bagi rasuah dan sebagainya.

Nilai Moral /  Minda Dunia

Kita ambil contoh membantu orang yang dalam kesusahan, ia dilakukan kerana ia merupakan nilai umum norma kehidupan. Namun ada juga yang melakukannya kerana mahukan sesuatu sebagai pulangan atau ganjaran. Mahu dilihat orang , mahu diambil video dan dimasukkan dalam  media sosial dan sebagainya. Selalunya dalam nilai ini bantuan yang dihulurkan mahu diganjari dalam bentuk nama, pangkat duit, mahu menjadi terkenal, mahu dilihat manusia dan sebagainya. Sekali lagi mereka membantu kerana mengikut orang lain oleh sebab ia nilai umum yang diterima manusia sejagat.

Masalahnya ada diantara mereka akan menggunakan semua pertolongan dan bantuan ini sebagai senjata. Mereka akan mengungkit semua ini bila berlaku perselisihan pendapat dengan orang yang pernah mereka bantu.

Seperkara lagi, bila orang telah terhutang budi maka mudahlah mereka menjerut leher mempergunakan orang tersebut untuk kepentingan dirinya.

Nilai Islam / Minda Akhirat

Sebenarnya bezanya hanya satu. Iaitu apa juga yang kita lakukan dalam hidup bergantung kepada NIAT!  Nilai Islam Minda akhirat akan melakukan apa juga dengan NAWAITU tak lain dan tak bukan hanya kerana Allah Taala.

Seorang muslimin itu membantu dengan ikhlas tanpa meminta apa-apa balasan kerana mereka melakukannya hanya untuk mendapat reda Allah Taala. Mereka mengharapkan keberkatan dari Allah dalam amalan yang mereka jalankan itu. Ini kerana mereka tahu yang inilah yang disarankan Islam sepertimana yang dikisahkan dalam Al Quran mahupun yang dizahirkan oleh Rasullullah SAW.

Ketahuilah hakikatnya yang ketenangan hanya akan datang kepada mereka yang mengingati Allah dan mereka yang dekat dengan Allah Taala akan merasa bahagia dalam menjalani kehidupannya. Mereka tak perlu untuk pergi mencari outlet atau jalan keluar yang lain demi untuk mencari ketenangan diri. Mereka tak perlu menjerit, menangis, melompat bungee jumping, melakukan maksiat, berhibur, pergi ke kelab-kelab malam dan konsert, bawa kereta laju-laju, bersukan, bermain games, mencederakan diri sendiri mahupun membunuh diri demi untuk mencari ketenangan tersebut.

Contohnya semasa tsunami, gempa bumi, wabak Covid 19, kemerosotan ekonomi yang teruk dan sebagainya, adakah manusia mencari ketenangan dengan berhibur dan bersuka ria? Pastinya tidak. Tahu kemana mereka pergi? Kebanyakannya tak kira apa ugamanya akan pergi ke tempat-tempat ibadah kembali mencari Tuhan.

Sukarkah ini untuk difahami?

Kalaupun anda tak percayakan hari akhirat dan percaya yang bila kita mati kita hanya akan hilang dari muka bumi dan digantikan dengan manusia baru dalam generasi yang seterusnya lantas membolehkan anda berbuat sesuka hati di muka bumi mengikut nafsu namun demikian ini sebenarnya adalah satu perjudian. Ini kerana sekiranya Akhirat itu benar dan bila kita mati maka kita akan dimasukkan ke dalam Neraka buat selama-lamanya, bukankah itu bakal menjadi satu penyesalan. Janganlah memperjudikan nasib begitu. Pada saya adalah lebih baik kita bersedia dengan melakukan ibadah kepada Allah pada setiap masa dan ketika selagi kita mampu dan terdaya.

Oleh itu perhatikanlah setiap pengisian yang diterima dan keluar dari diri kita. Ia sebenarnya hanya terdiri dari dua kategori iaitu sama ada ia bernilai Sekular atau ia bernilai Islamik. Pilihlah yang terbaik!

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

No comments:

Post a Comment