Saturday, February 12, 2022

PENGENALAN PENGISIAN MINDA AKHIRAT

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera. Selamat datang ke blog Minda Akhirat.

Terima kasih kerana sudi singgah ke blog ini. Tahniah kerana dengan ketentuan Allah anda berada di sini. 

Percayalah blog ini akan memberi banyak manfaat dan kefahaman dalam kehidupan seterusnya akan membawa kepada ketenangan dan kesejahteraan dalam hidup sekiranya anda mengikuti SEMUA pengisian dan pencerahan yang ada di dalamnya. Tak banyak. Cuma ada 70 bab sahaja. InshaAllah. 

Sebagai pembuka bicara, izinkan saya memperkenalkan diri saya. Nama saya Haji Faizal Yusup. Insan biasa, anak Pak Gad, penulis 12 buah buku. 4 darinya ialah buku motivasi dan 2 darinya memenangi Dana Anugerah Penulis daripada Kementerian Multimedia dan Komunikasi pada tahun 2012 dahulu. Saya lebih dikenali sebagai seorang sifu saham di Bursa Malaysia.

Tak mengapalah itu tak penting. Anggaplah saya hanya sebagai seorang posmen yang menyampaikan surat yang amat penting. Posmen tak penting, apa yang penting ialah input yang disampaikan. Niat saya tak lain hanya kerana Allah Taala.

Sejak pandemik Covid19 melanda negara ia telah membawa impak yang teruk kepada majoriti penduduk negara ini. Ramai yang terjejas. Ada yang dipotong gaji, ada yang hilang pekerjaan, perniagaan terjejas kerana PKP dan sebagainya. Gangguan terhadap mata pencarian pula membawa kepada masalah yang lain pula antara tekanan atau stress serta kemurungan yang lantas membawa kepada pengambilan dadah, alkohol dan sebagainya. Seterusnya menyebabkan masalah perhubungan, keretakan rumahtangga, penceraian, masalah mental malah lebih teruk lagi hingga ada yang membunuh diri.

Kemudian saya juga nampak begitu banyak perselisihan dan perbalahan di kalangan bangsa Melayu yang beragama Islam dari semua peringkat. Dari pemimpin politik ke ahli akademik, ahli ugama dan menuju ke bawah di kalangan orang awam. Ummah nampaknya semakin tenat hingga ada yang tergelincir aqidahnya daripada pandangan kacamata saya. Bukankah kita manusia kena bersatu, menjaga silaturrahim dan berkasih sayang. Bukankah kalau nak masuk syurga Allah kita kena miliki hati yang sejahtera?     

Terkesan melihat situasi ini, saya mengambil keputusan untuk memulakan satu program atau satu gerakan yang saya namakan sebagai program Minda Akhirat.

Kenapa?

Kerana saya yakin pegangan minda akhirat iaitu menjalani kehidupan dengan menggunakan mata hati yakni melakukan apa sahaja dengan melihat kepada apakah implikasinya kepada hari akhirat kelak atau menjalankan sesuatu pekerjaan dengan menganalisis samaada pekerjaan itu berada dalam landasan syariat yang diredai Allah Taala atau tidak. Pegangan ini telah membawa kebaikan yang banyak buat saya dan saya harap dengan menghurai dan berkongsi semua ilmu yang Allah kurniakan sepanjang hidup ini juga bakal membawa kesan yang serupa dalam hidup anda tak kira anda berada di mana walau dalam apa juga yang anda lakukan. InshaAllah.

Lagipun sebagai orang Islam kita tahu yang "kalau kita kejar dunia, dunia akan jadi sempit buat kita tetapi kalau kita kejar akhirat, dunia dan akhirat akan menjadi lapang buat kita..."

Inilah asas program Minda Akhirat ini.


Program Minda Akhirat ini sebenarnya lebih kepada pengisian peringkat asas yang perlu diketahui oleh semua orang dan ia dibentuk khas untuk orang melayu beragama Islam di Malaysia. Saya bukan Ustaz yang boleh menyampaikan ilmu ugama peringkat tinggi. Saya hanya berkongsi ilmu-ilmu asas peringkat rendah. Yelah kalau kita tak belajar di sekolah rendah manakan kita boleh belajar di peringkat Diploma, Ijazah dan sebagainya. Anda boleh belajar dengan ramai lagi ustaz-ustaz di Malaysia malah di dunia untuk belajar yang peringkat tinggi itu. Di sini pengisiannya ialah pengisian peringkat asas tapi ia AMAT penting kerana kalau kita tak punya ilmu peringkat dasar ini maka kita takkan berjaya dalam peringkat yang lebih tinggi.

Analoginya mudah, semasa bayi, kita belajar merangkak dahulu baru bertatih. Kita belajar bertatih dahulu sebelum kita boleh berjalan dan seterusnya berlari. Jadi di sinilah asas permulaannya.

Sebagai permulaan saya minta anda semua lapangkan dada. Kosongkan minda dan mula masukkan pengisian Minda Akhirat ini satu persatu ke dalam hati anda. InshaAllah ia akan bawa banyak kebaikan buat diri anda. Percayalah. "Untuk berjaya di dunia kita perlukan ILMU dan untuk berjaya di akhirat juga kita perlukan ILMU!"

Manalah tahu selepas selesai pengisian ini anda menjadi seorang yang berminda akhirat, punya akhlak yang mulia, berkasih sayang, sentiasa berpegang pada tali Allah seterusnya dikurniakan dengan petunjuk dan hidayah lantas menjadi seorang yang beriman dan beramal dan akhirnya menjadi mukmin yang berada dalam lindungan dan peliharaan Allah Taala di dunia dan di akhirat. InshaAllah.  

Sekiranya anda mendapati yang huraian dan pencerahan Minda Akhirat ini bermanfaat, sudilah kiranya anda kongsikan ilmu ini kepada sesiapa sahaja. Ia ilmu Allah, ia sama sekali percuma! 

Salam perkenalan. Semoga Allah meredai segala usaha ini. Amiinn. InshaAllah.

Sekian dulu buat kali ini.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430

Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
www.mindaakhirat.com

PS - Blog ini hanya ada 70 bab sahaja dan saya akan mengemaskini pengisiannya dari masa ke semasa demi mengukuhkan pengisiannya. Apapun sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;


atau di Youtube, Like dan subscibe yer. Layari ;

 
2 Ogos 2021

No comments:

Post a Comment