Saturday, February 5, 2022

MANUSIA MERANCANG ALLAH TAALA MENENTUKAN

 

 

MANUSIA MERANCANG, ALLAH MENENTUKAN

Dalam paparan di atas ini pula saya huraikan dari sudut tugas manusia dibandingkan dengan (tugas) ketentuan Allah Taala. (Ia bukan membawa maksud yang Allah punya tugas tertentu. Ia hanya untuk bertujuan sebagai contoh penerangan semata-mata.)

Di sini kita boleh nampak yang makhluk perasaan negatif ini hanya akan datang bila terjadinya konflik bila manusia ingin mengambil alih (tugas) ketentuan Allah.

Kita jadi tertekan bila merancang untuk bertemu dengan buah hati tetapi buah hati yang ditunggu tak muncul-muncul tiba sedangkan hakikatnya penentuan itu adalah hak milik Allah Taala. Dia yang menurunkan hujan lantas menyebabkan kesesakan lalulintas hinggakan buah hati anda itu lambat tiba. Yakinilah andai telah ditentukan kita akan berjumpa dengan buah hati kita pada masa yang ditetapkan itu pasti kita akan bertemu dengannya.

Kita jadi kecewa kerana setelah berusaha dengan gigih untuk menyiapkan sesuatu projek dan berharap akan mendapat bayaran sebanyak RM10,000.00 tetapi hanya mendapat RM2,000.00 sedangkan jauh di sudut hati kita, kita tahu yang Allah yang memberi rezeki. Bila kita berada dalam kawasan kelabu ini yang mana bila kita menyangka yang penentuan rezeki bergantung kepada usaha yang datang dari tulang empat kerat kita sendiri maka ia adalah satu prinsip yang nyata silap. Inilah yang menjadi penyebab kekecewaan dan putus asa kepada manusia.

Kita jadi geram, marah dan kecewa bila kita selalu berdoa tetapi kononnya tidak dimakbulkan sedangkan kita tidak mengambil iktibar yang Nabi Ibrahim AS dimakbulkan Allah doanya hanya setelah berterusan berdoa selama 70 tahun untuk mendapatkan anak. Kita juga jarang memikirkan akan nikmat-nikmat yang ada di sekeliling kita yang telah dimakbulkan Allah Taala kepada kita selama hari ini.

Kita jadi tak sabar dan berkata :

    “Aku dah puas menasihati si Abu tu tapi dia tetap tak berubah, masih tetap dengan perangai lamanya.”

Dalam carta di atas kita dapat lihat yang hidayah adalah hak milik Allah maka sedarilah yang kita tak punya kuasa untuk memberi hidayah. Oleh itu serahkanlah tugas memberi hidayah itu kembali kepada Allah Taala untuk membuka hati seseorang itu dan meneranginya. Dalam hal ini tugas kita ialah untuk berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. SABAR itu kata kuncinya.

Bagi yang lain itu anda buatlah contoh sendiri.

Di sini terdapat konflik yang ketara kerana manusia tak dapat membezakan antara tugasnya dengan ketentuan Allah Taala. Tekanan yang datang sebenarnya adalah kerana kita meletakkan harapan yang tinggi kepada apa yang kita rancangkan itu menjadi kenyataan sebagaimana yang kita rancangkan. Semakin tinggi harapan yang kita letakkan dalam diri maka makin mudahlah ia jatuh berkecai. Harapan yang berkecai inilah yang ditafsirkan dengan perasaan tak puas hati, kecewa, derita, geram dan sebagainya.

Apa yang saya maksudkan ialah konflik itu berlaku kerana kita sebagai manusia mahu sesuatu perkara itu terjadi mengikut kehendak kita tanpa memahami hakikat sebenarnya yang ketentuan sesuatu perkara itu terletak secara mutlak di tangan Allah Taala. Kita hanya boleh berusaha dan selebihnya kita serahkan pada Allah Taala. Sebagai contoh kita berkata seseorang itu “sepatutnya” bersikap begitu begini, keadaan itu “sepatutnya” begitu begini dan sebagainya. Aku sepatutnya mendapat kontrak itu, suami aku sepatutnya faham dan lain-lain namun sebaliknya apa yang tidak sepatutnyalah yang sering berlaku dan yang tak sepatutnya inilah sebenarnya merupakan ketentuan Allah.

Maka adalah lebih baik sekiranya kefahaman kita sebagai manusia ialah seperti carta di bawah in dengan hanya menjalankan tugas manusia dan tidak mengambil tugas Allah Taala. Dalam apa juga yang kita lakukan, lakukan sahaja dengan penuh ikhlas, selebihnya kita serahkan kepada yang Maha Berkuasa.


Kefahaman dan penghayatan dalam bab ini dengan izin Allah akan menjadikan kehidupan kita lebih tenang dan bahagia. Sedarlah bila sesuatu itu telah berlaku maka itu termasuk dalam susunan ketentuan takdir Allah Taala dan mengambil jalan reda dengan takdir Allah ini merupakan jalan yang terbaik.

Bersyukurlah sekiranya kehendak kita itu selari dengan ketentuan Allah Taala namun bersyukur jugalah sekiranya ia tidak selari dengan ketentuan Allah kerana Allah lebih tahu mana yang terbaik buat kita makhluk ciptaanNya. Kita teruskan usaha tanpa rasa putus asa.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;


No comments:

Post a Comment