Friday, February 4, 2022

HIDUP INI MEMBAWA MANFAAT ATAU MUDARAT?

 PAYUNG MANFAAT PAYUNG MUDARAT


Ramai alim ulama yang berkata akan tiba masanya dalam kehidupan mereka yang beriman kepada Allah, seseorang itu melalui fasa peralihan dari mementingkan diri sendiri kepada mementingkan orang lain. Di awal kehidupannya dia akan mencukupkan dirinya serba serbi dan bila sudah mencukupi dan mempunyai lebihan maka dia akan mula menyumbang kepada orang lain.

Bagi saya salah satu cara mudah untuk melihatkan keadaan hati seseorang itu ialah dengan melihatkan kedudukan luarannya. Maksudnya adakah dia seorang yang memegang payung manfaat atau adakah dia seorang yang memegang payung mudarat. Penjelasannya begini. Mereka yang memegang payung manfaat seakan membawa bakteria yang baik atau seakan cahaya yang menerangkan suasana di sekelilingnya. Orang sebegini akan membawa kebaikan kepada orang sekeliling. Mereka alah seorang yang berminda akhirat. Sebaliknya mereka yang memegang payung mudarat pula akan membawa kemudaratan kepada orang-orang yang berada di sekitarnya. Mereka ini berminda dunia. 

Sebagai contoh, orang yang membawa manfaat dengan mudah memberikan bantuan kewangan, tenaga, nasihat dan selalu menggembirakan orang yang berada di sekelilingnya dengan amalan kebaikannya baik kepada dirinya sendiri, keluarga, saudara mara, rakan dan taulan. Sebenarnya tanpa kita sedari mereka ini melakukan kebaikan ini dengan niat kerana Allah Taala tanpa meminta apa-apa balasan.
 
Mereka ini selalunya menjadi idola kebaikan dan bila disebut namanya tak ada lain yang keluar melainkan pujian kebaikan kecuali pada mata mereka yang rosak hatinya kerana sifat dengki dan irihati maka keburukan jugalah yang kelihatan. Mereka akan menyangka bantuan yang dihulurkan tidak ikhlas, untuk mendapat nama, populariti, untuk menunjuk-nunjuk dan sebagainya.  

Bagi yang memegang payung mudarat pula mereka bakal membawa virus kegelapan. Kehadiran mereka dalah kehidupan bakal membawa mudarat kegelapan dalam kehidupan orang lain. Sebagai contoh mereka yang telah berkahwin tetapi merupakan seorang kaki mabuk. Maka keadaannya ini bakal menjejaskan isterinya, anak-anaknya, keluarganya, mertuanya, kerjanya dan sebagainya. Kaki dadah, kaki perempuan, kaki judi dan segala macam jenis kaki bakal memegang payung mudarat yang saya namakan tadi. Bukankah keadaan ini merupakan satu keadaan yang jelas dan nyata?

Saya pernah bertemu dengan penagih dadah yang mana keadaan beliau itu menjejaskan semua orang di sekelilingnya hinggakan mereka semua berputus asa terhadapnya. Saya juga pernah bertemu seorang isteri yang curang pada suaminya yang seterusnya menyebabkan rumahtangganya hancur, anak-anaknya bertempiaran dan seterusnya menghadapi masalah dengan majikan, keluarga, adik-beradik, mertua, ipar-duai dan sebagainya.

Mereka yang membawa payung manfaat ini pula ada yang pasif dan ada yang aktif. Yang pasif akan membuat sesuatu kebajikan hanya untuk dirinya sendiri dan mungkin kepada keluarganya namun bagi mereka yang aktif mereka akan mencari jalan memanfaatkan seramai yang mungkin, selama yang mungkin dengan usaha-usaha dakwah. Begitu juga mereka yang membawa payung mudarat ini mereka juga ada yang pasif dan melakukan kerosakan yang terhad hanya pada sendiri namun ada juga yang mengajak orang lain untuk melakukan kerosakan tersebut.

Persoalannya payung apakah yang kita bawa selama hari ini?

Untuk menerangkan dengan lebih lanjut lagi saya terangkan kisah payung manfaat dan payung mudarat ini dengan menggunakan analogi hati yang bersih dan hati yang kotor dalam topik yang seterusnya.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

 

No comments:

Post a Comment