Friday, February 4, 2022

JASMANI, ROHANI DAN AKLIAH KENA SEIMBANG

  



KESEIMBANGAN JASMANI, ROHANI DAN AKLIAH

Makhluk manusia perlukan keseimbangan dari segi Jasmani, Rohani dan Akliah. 

Sekiranya seseorang itu pincang jasmaninya maka kita akan mengatakan yang orang itu cacat, tempang, buta, pekak, bisu dan sebagainya. Sekiranya seseorang itu pincang akliahnya pula maka kita katakan yang orang itu sewel, otak tiga suku, otak tak centre mahupun gila. Malangnya sekiranya seseorang itu pincang rohaninya maka tiada siapa yang dapat menilainya. Ini kerana kita hanya dapat melihat seseorang itu dari luarannya dan bukan dalamannya.

Ketiga-tiga elemen ini sebenarnya boleh dimanipulasikan ke tahap yang tertinggi. Sebagai contoh; Kalau kita lihat ada orang yang mempunyai tahap jasmani yang tinggi yang menyebabkan mereka boleh mendaki ke puncak Gunung Everest, berlari 100 meter dalam masa tak sampai 10 saat dan sebagainya. Begitu juga dengan akal, sekiranya seseorang itu pandai dalam bidangnya maka dia akan diktiraf sebagai pakar. Mereka digelar profesor, ahli akademik, cendikiawan dan sebagainya. Akliah sebagai contoh adalah keperluan dari segi ilmu pengetahuan dan maklumat. Terdapat banyak maklumat di dalam dunia ini tetapi ilmu itu pula adalah sesuatu yang datang dari Allah Taala. Semua elemen ini sebenarnya boleh diasah hingga ke tahap yang tertinggi. Begitu juga halnya dengan aspek rohaniah. Saya percaya mereka yang mengasah aspek rohaniah akan mempunyai akhlak dan budi pekerti yang mulia.

Jadi, elemen manakah yang kita titikberatkan dewasa ini? Adakah kita sedang sibuk meningkatkan elemen jasmani dengan membodek boss agar dinaikkan pangkat, atau sedang melakukan 2,3 kerja dalam sehari bagi mendapatkan pendapatan lebihan? Atau adakah kita sedang sibuk menyambung pelajaran untuk meningkatkan elemen akliah atau adakah kita sedang mempelajari ilmu agama serta melakukan pelbagai ibadah bagi meningkat elemen rohani atau ketiga-tiganya sekali? Semua ini terpulanglah kepada diri kita sendiri.

Sebagai insan saya percaya kita memerlukan keseimbangan Rohani, Jasmani dan Akliah bagi mencapai kehidupan yang bahagia di dunia dan di akhirat. 

Bila terdapat kekurangan dalam salah satu daripada elemen ini maka kehidupan seorang insan itu bakal menjadi pincang. Kalau kita lihat orang-orang di Barat, mereka cemerlang dalam elemen akliah dan jasmaniah tetapi sangat lemah dari segi rohaniah.

Sebagai contoh, muzik adalah salah satu elemen jasmaniah yang mana ia merupakan halwa telinga yang bersifat hiburan semata-mata. Ramai yang suka akan muzik ini malangnya ia hanya melengkapkan keperluan jasmaniah tetapi tidak dari segi rohaniah. Katalah anda suka sesuatu lagu itu. Contohnya lagu Isabella yang terkenal sedikit masa dahulu. Cuba anda nyanyikan lagu tersebut 10 kali sehari selama sebulan. Saya pasti anda akan rasa bosan sejurus selepas itu. Kemudian kita nyanyikan pula lagu yang baru dan begitulah seterusnya sepanjang kehidupan kita. Untuk menunjukkan makanan rohani cuba anda bayangkan pula surah Al Fatihah. Cuba tanya pada seorang tua yang berumur 60 tahun berapa kalikah dia telah membaca surah tersebut dan pernahkah dia mengatakan yang dia merasa bosan dengan surah ini? 

Saya pasti tidak.

Tidak seperti Kitab Injil yang telah berubah isi kandungan mengikut kesesuaian zamannya, Al Quran pula telah telah wujud semenjak 1400 tahun dahulu namun cara penyampaian tetap sama dan tidak langsung berubah. Ia jelas terbukti yang ia datang dari Tuhan dan bukannya ciptaan manusia.

Seperti yang telah saya tekankan dalam buku pertama Keluar dari Tempurung, kebanyakan ibubapa lebih menekankan kepada perkembangan minda anak-anak dan kurang menekankan kepada perkembangan rohani. Ini mungkin akan membawa akibat yang buruk satu masa kelak. Rohani yang kita ketahui melibatkan ibadah dan perhubungan yang maha Esa tetapi dewasa ini semakin ramai yang tidak mengendahkan perkara ini.

Untuk memastikan kecemerlangan diri, 3 aspek ini perlulah diberikan penekanan iaitu aspek jasmaniah, rohaniah dan akliah. 3 aspek ini merupakan keperluan hidup setiap insan di muka bumi ini.

Daripada Aspek Jasmaniah atau Fizikal. 

Makanan, senaman, perhubungan sesama insan dan lainnya perlu bagi memastikan kita berada dalam tahap fizikal yang baik disamping menjalani kehidupan yang sihat. Disamping itu juga keperluan jasmaniah ini melibatkan belaian kasih sayang. Ini dilakukan ibu mahupun bapa semenjak seseorang anak itu kecil lagi. Dengan berbuat demikian anak itu akan membesar dengan rasa selamat sepanjang waktu. Apabila terdapat kekurangan dari aspek ini, maka pembentukan anak tersebut akan terjejas dan ini mungkin akan menjejaskan kehidupannya di masa yang akan datang. Sebagai contoh anak yang selalu dimarahi tanpa belaian yang bersesuaian dia mungkin menjadi seorang yang keras hati. 

Belaian kasih sayang itu akan terus dicari dan dalam zaman bujang si anak akan bercinta dengan kaum yang bukan sejenisnya dengan tujuan mengisi keperluan ini. 

Keperluan belaian kasih sayang ini kemudiannya diteruskan dalam perjalanan kehidupan bila si anak berkahwin. Tugas ini dipikul pula oleh si isteri ataupun si suami. Tanpa belaian kasih sayang ini ada kemungkinan rumahtangga itu menjadi goyah dan kita dapat lihat banyak kes yang melibatkan kecurangan suami atau isteri kerana aspek jasmaniah yang telah saya huraikan tadi. Mereka mencari jalan keluar dengan mengadakan hubungan luar bagi mengisi keperluan ini. 

“ Yang luaran itu mencerminkan apa yang terkandung dalam sanubari ”.

Imam Al Ghazali


Daripada Aspek Rohaniah

Aspek ini amat penting bagi memastikan seseorang insan itu mempunyai jatidiri serta akhlak yang tinggi. Dalam pengajaran sekular, aspek ini jarang ditekankan oleh yang demikian diri menjadi tidak lengkap dan terdapat kelompongan yang ketara. Sistem sekular mengajar kita tentang penyelidikan kemanusiaan menjawab setiap perkara melalui logik, akal dan rasional. Namun di dalam ajaran Islam ianya jauh berbeza.

Rohlah yang menggerakkan kita dari segala segi. Apabila kita mengenali seseorang itu maka secara langsung kita mengenali jasmani mereka, rupabentuk mereka yang dikatakan kurus, gemuk, pendek, tinggi, hensem, cantik, hitam, putih dan sebagainya malangnya kita langsung tidak mengenali rohani seseorang itu kerana ia tidak mempunyai rupabentuk dan kita sendiri tidak tahu dimana kedudukannya.

Allah Taala memasukkan roh ke dalam jasad kita dan dengannya kita mendapat nikmat nyawa.

Roh yang dipinjam Allah Taala ini bersifat abadi sedangkan jasad bersifat sementara. Jasad yang kita pakai itu mengalami apa yang dikatakan fasa penuaan yang mana sepanjang tahun kehidupan kita akan melalui fasa kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua. Jasmani yang pada satu ketika utuh akan menjadi lemah dan tidak bermaya dan akhir sekali menjadi kaku dan disemadikan di dalam tanah.

Rohlah yang menjadikan seseorang itu cantik dan lebih tinggi kedudukannya di sisi Allah Taala. 

" Sesungguhnya kemuliaan seseorang itu terletak pada ketakwaannya. "

Makanan dan minuman jasad pasti kita ketahui tetapi makanan dan minuman rohani selalu kita ketepikan.

Mungkin inilah sebabnya adakalanya di alam fana ini kita dapat melihat kasih sayang wujud antara dua insan yang berlainan rupabentuknya, yang hodoh dengan yang cantik, yang gemuk dengan yang kurus dan sebagainya. Ini adalah disebabkan pengenalan rohani yang macamanapun didahului oleh pengenalan jasmani. 

Roh yang beriman pastinya akan mengawal pergerakkan pancaindera dari melakukan yang dilarang ataupun perkara-perkara yang bersifat berdosa.

Cubalah kita fikirkan sejenak apa yang dilakukan oleh anggota badan kita sepanjang hari sepanjang kehidupan kita sedangkan kita tahu yang kita boleh mengawal pergerakan mereka. Disini saya berikan contoh-contoh yang negatif kerana ia lebih mudah untuk kita lakukan kerana ia lebih menyeronokkan.

Akal / hati Memikirkan yang negatif, mengingatkan yang lucah, menurut nafsu. 
Mulut  - Menghisap rokok, makan / minum yang tidak haram, menyanyi, bersiul, berkata perkara yang lucah, yang sia-sia, yang tidak ilmiah, yang menyakitkan orang lain, mengutuk, mengumpat, mencarut, memfitnah, melagakan antara insan dan lain-lain lagi.
Hidung Menghidu wangi-wangian yang tidak sepatutnya.
Mata Melihat /  menonton / membaca yang lucah dan dilarang, yang tidak berfaedah, yang bukan hak dan sebagainya. 
Telinga - Mendengar yang tidak berfaedah, yang lucah, yang sia-sia, yang tidak ilmiah / yang mengkhayalkan dan sebagainya.
Tangan - Mengambil yang bukan hak, menyakitkan orang lain, menyentuh yang bukan muhrim ( zina ), menyentuh yang dilarang dan sebagainya.
Kaki Membawa seluruh jasad ke tempat maksiat, tempat yang sia-sia, menyakitkan insan lain dan sebagainya.
Jasad Mendedahkan aurat, berzina, melakukan maksiat dan sebagainya.

Andaikata mereka dapat berkata-kata pastinya mereka akan menyuruh rohani supaya berhenti dari melakukan yang dilarang, Andaikata tangan beriman sedangkan kaki tidak, pastinya ia mahu diputuskan dari jasad dan ditinggalkan di rumah daripada turut serta ke tempat maksiat, Oleh kerana ia terpaksa ikut serta maka ia terpaksa menurut dengan kesedihan. 

Apabila kita menunaikan solat, semua anggota jasad kita tak kira akal yang memusatkan seluruh tenaga dan deria mengingati Allah Taala, mulut yang membisikkan kalimah Allah Taala, telinga yang memusatkan pendengaran mendengar kalimah tersebut daripada mendengar yang sekeliling, tangan, kaki, dan sebagainya hendaklah bersatu, fokus pada yang Satu. Dengan yang sedemikian itulah yang membawa kekhusyukan.

Jadi, bagi meningkatkan keperluan vertikal rohani kita hendaklah selalu berusaha mendekatkan diri dengan Yang Maha Esa. 

Daripada Aspek Akliah atau Mental

Kita ada mata dan tahu menggunakan mata untuk membaca, melihat, meneliti apa yang ada di hadapan mata. Kita ada tangan dan tahu menggunakan tangan untuk bekerja, kita ada kaki dan tahu menggunakan kaki untuk berjalan, berlari dan menendang, kita ada telinga dan tahu menggunakan telinga untuk mendengar, kita ada mulut dan tahu menggunakan mulut untuk bersuara.

Persoalannya kita ada akal tetapi adakah kita tahu menggunakan akal? Ini kerana faktor akallah yang membezakan kita manusia dengan binatang. Tanpa kurniaan akal mungkin sifat kita juga sama seperti binatang.

Kurniaan akal seakan kita mempunyai baju tetapi kita tidak memakai baju tersebut. Sedangkan pada masa yang sama ada orang yang memakai bajunya siap dengan hiasan mahupun memakai baju fesyen terkini. Bagaimanakah kita ingin dihormati sekiranya kita berlenggeng, sedangkan kita boleh memakai baju yang cantik. Inilah kelebihan orang yang berakal.

Mungkin keadaan kehidupan moden ini telah menyebabkan kita hidup seperti robot menurut kehendak peredaran zaman hingga kita terlupa untuk berfikir apakah yang sebenarnya yang kita cari. Kita bangun pagi, pergi kerja, kerja, balik kerja, makan, tidur, besok bekerja lagi dan begitulah seterusnya. Jarang sekali kita menggunakan akal untuk berfikir.

Akal yang dikurniakan pada kita ini sepatutnya digunakan untuk berfikir dengan bersungguh-sungguh. 

Apapun, aspek ini diberi penekanan yang jitu dewasa ini. Ramai yang tahu bahawa ilmu boleh membawa kejayaan dalam hidup seseorang insan. Jadi anak-anak di suruh belajar semenjak kecil lagi. Malangnya ramai juga mereka yang hanya mendapatkan pendidikan formal di sekolah-sekolah dan kemudiannya terhenti di situ. Selepas sekolah buku yang dibaca berbentuk hiburan, lawak jenaka dan bacaan ringan. Buku-buku yang mempunyai ilmu yang jitu dibiarkan begitu sahaja. Atas sebab itulah sehingga kini amat sukar untuk kita lihat sesuatu buku dalam pasaran Malaysia terjual hingga jutaan naskhah kerana kemalasan orang kita untuk membaca dan menimba ilmu selepas sekolah walaupun kita pandai membaca.

Kebanyakan kita menggunakan wang untuk meningkatkan diri dari segi jasmani / fizikal. Ini bermakna yang kita sanggup melabur sejumlah wang yang banyak untuk perhiasan diri, rumahtangga, kereta dan lainnya. Kita sanggup membeli kereta yang besar walaupun kita berhutang beratus ribu ringgit dengan bank. Kita membeli barangan perhiasan fizikal yang mahal dan sebagainya. Tujuannya tak lain dan tak bukan ialah untuk menunjuk-nunjuk atau kerana orang lain mempunyainya mahupun untuk bersaing dengan mereka demi menunjukkan yang kita mempunyai kelebihan. Kelebihan dari segi jasmani.

Malangnya kita tidak mahu berbelanja untuk meningkatkan diri dari segi pencarian ilmu. Kita tidak mahu keluarkan duit untuk membeli buku yang bermanfaat. Kita lokek berbelanja untuk mengambil kursus-kursus untuk peningkatan nilai diri. Kalau adapun ia ada udang di sebalik batu. Kita belajar untuk mendapatkan sijil kerana terpaksa demi untuk menjamin perhiasan fizikal yang saya katakan tadi. Kita belajar ke peringkat yang tertinggi dengan tujuan mendapatkan pangkat yang baik serta pengiktirafan sebagai Doktor Falsafah, Professor, Cendikiawan dan sebagainya.

Seterusnya kita juga tidak mahu berbelanja untuk meningkatkan diri kita dari segi rohaniah. Kita mengelak dari menghadiri majlis-majlis agama. Kita tidak mahu berbelanja sekiranya majlis tersebut perlu dibayar. Kita mengelak dari majlis mengeratkan silaturrahim dan sebagainya. Kita menggunakan rezeki yang ada untuk melancong ke luar negeri dan tidak digunakan ke Mekah dan sebagainya. Kita mengelak dari mengeluarkan zakat dan sedekah. Semua ini menyebabkan diri kita sebagai insan tidak seimbang. Kita menjadi manusia yang selalu resah dan gelisah.


Isu keperluan jasmani, rohani dan akliah ini sebenarnya dapat menjawab pelbagai soalan tentang gejala sosial yang semakin berleluasa di negara ini. Kelemahan elemen rohaniah dalam diri seseorang itu boleh menyebabkan pelbagai gejala sosial seperti sumbang mahram, berjudi, penagihan dadah dan sebagainya. Kelemahan elemen jasmaniah pula boleh menyebabkan penzinaan, maksiat, rogol, ragut, rompak dan sebagainya. 

Apakah sebabnya seorang lelaki  tua berjalan berpelukan dengan seorang gadis bawah umur? Adakah kerana keperluan rohaniah, jasmaniah ataupun akliah. Saya pasti ianya adalah kerana keperluan jasmaniah yang melibatkan nafsu syahwat. Kelemahan dari segi akliah pula boleh menyebabkan kita membuat sesuatu yang salah kerana tidak tahukan hukum hakamnya dan menyangkakan apa yang kita lakukan itu sebagai benar.

Secara kesimpulannya inilah sebabnya kita perlu memastikan yang keperluan jasmani, rohani dan akliah kita sentiasa berada di tahap yang baik. Kita juga perlu meningkatkan serta menyeimbangkannya dari hari ke sehari agar kita dapat menjadi insan yang mempunyai jatidiri serta akhlak yang mulia di muka bumi ini. 

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;


No comments:

Post a Comment