FORMULA RAHSIA MENJEMPUT
REZEKI FY - PENCIPTAAN
“Saya tak
akan ikut laluan orang lain, saya akan lalu di tempat yang tidak pernah dilalui
dan saya akan meninggalkan jejak".
Muriel Strade
Semasa FY belajar di Amerika
Syarikat FY dapat lihat yang sekiranya mereka berkarya atau mencipta, mereka
akan melakukannya ke tahap yang terbaik dan penuh dengan kualiti. Contohnya
Philip H. Knight mencipta kasut Nike. Mereka menghabiskan banyak modal untuk
Penyelidikan dan Pembangunan juga promosi. Mereka membuat kajian tentang
bagaimana bentuk kaki seseorang itu, bagaimana berat badan seseorang itu
mempengaruhi pergerakan, kajian kegunaan secara khusus dan sebagainya, kemudian
mereka mencipta kasut yang begitu ringan, mempunyai banyak pilihan bukan sahaja
dari segi saiz dan jantina pemakai tetapi juga dari segi kegunaan sama ada untuk
berjalan, berlari, bermain bolasepak, tenis dan apa juga jenis sukan. Semasa
buku ini ditulis empayar Nike bernilai kira-kira USD 100 Billion.

Dewasa ini penciptaan Facebook syarikat Sosial Media terbesar dunia tetapi
tidak mempunyai sebarang content sekarang bernilai labih USD300B, Syarikat UBER
taxi pula bernilai lebih USD60 Billion walaupun tidak memiliki satu teksi
sekalipun, Syarikat AirBNB menyediakan homestay di seluruh dunia bernilai lebih
USD25 Billion tetapi langsung tidak mempunyai satu property sekalipun. Dewasa
ini pencipta di Barat hanya mencipta Aplikasi yang membawa manfaat kepada
populasi dunia dan mereka mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda darinya.
Begitu juga dengan Jepun, satu masa dahulu barangan keluaran Jepun dianggap
seperti barangan yang tidak bermutu dan
murah, tetapi pada tahun 1946 sejurus selepas negara itu dibom oleh pihak
bersekutu seorang pemuda berumur 25 tahun bernama Akio Murita telah memulakan
perniagaan alatan elektronik bermodalkan pinjaman bank sebanyak USD500.00.
Beliau bukan bersaing untuk pasaran di Jepun semata-mata tetapi beliau bersaing
untuk mendapatkan pasaran global terutamanya pasaran Amerika Syarikat.
Syarikatnya, Sony telah mengubah pandangan dunia. Apa yang dilakukannya ialah
mengambil radio ciptaan barat yang besar pada masa itu dan mengecilkannya
hinggalah menjadi “Walkman”.
Walkman berkualiti yang dicipta Sony menerjah ke setiap penjuru alam
pada masa itu. Hinggakan kamus Oxford menerima istilah “walkman” ini sebagai
satu istilah bahasa Inggeris. Anjakan paradigma berlaku pada seluruh rakyat
jepun dan mereka mula mencipta barang-barang yang berkualiti dan murah hingga
menjadikan negara mereka negara ekonomi terbesar dunia mengalahkan Amerika
Syarikat. Sekarang kita boleh membeli palbagai jenis barangan rumah, barangan
komersial, kenderaan dan sebagainya yang diakui berkualiti dari Jepun.
FY pernah menonton dokumentari tentang Akio Murita di televisyen. Untuk
mencipta beliau menjaga pemakanan
hinggakan beliau ada seorang doktor yang digaji khas untuk tujuan ini. Setiap
apa yang beliau makan akan ditimbang dan ditentukan. Disamping itu beliau
menjaga kesihatan fizikal dengan melakukan senaman, berenang dan sebagainya.
Katanya dengan berbuat demikian beliau akan mendapat ilham untuk penciptaan yang seterusnya.
Sampai begitu sekali.
Dalam Islam sendiri kalau kita makan walau sesuap yang haram maka selama 40
hari doa kita tidak akan dimakbulkan Tuhan. Teringat FY akan kisah Imam Shafie
yang mempunyai yang mempunyai memori
fotografik. Maknanya beliau boleh mengingati setiap apa yang beliau baca /
nampak. Pada suatu hari, sedang beliau berjalan dengan tidak sengaja beliau
terpandang betis seorang wanita. Maka entah macamana beliau langsung tidak
dapat menghafal sepanjang hari itu. Beliau sentiasa memastikan yang lembaran
kain putih dalam diri beliau tidak terconteng bagi membolehkan beliau menghafal
dan melakukan tugas harian dengan keberkatan Tuhan. Kadang-kadang FY
tertanya-tanya juga kalau-kalau di zaman ini masih ada insan yang mempunyai
kain putih yang benar-benar bersih di dalam diri mereka.
Kalau kita lihat dibidang sukan pula, Tiger Woods pemain golf nombor satu
dunia dan Nicole David pemain remaja terbaik dunia dalam sukan skuash boleh
dijadikan teladan. FY pernah terserempak dengan Nicol dan dia bukanlah seorang
besar susuk tubuhnya tetapi bagaimanakah dia dapat mengalahkan pemain-pemain
luar negara yang jauh lebih besar? Walaupun beliau sibuk dengan latihan namun
beliau masih lulus peperiksaan SPM dengan cemerlang. Mereka berjaya kerana
mereka gigih berlatih tanpa jemu hari-hari semenjak masih muda untuk menjadi
yang terbaik. Kalau kita lihat apapun kejayaan dalam apa juga bidang tidak akan
datang tanpa kegigihan.
Kebanyakan filem-filem Barat yang mengambil masa lebih kurang dua jam itu
pun dilakukan dengan penuh kualiti. Mereka mengambil unit-unit yang terbaik
sebagai contoh unit lampu, unit kamera, unit grafik, unit “stunt”, unit
muzik, pemilihan pelakon-pelakon, pengarahan, juru edit, juru suara dan
penataan bunyi, unit “prop” , unit promosi dan sebagainya. Setelah semua
yang terbaik ini dicantumkan maka barulah kita dapat menonton filem 2 jam
tersebut. Demikianlah penciptaan mereka. Lihatlah kualitinya.
Dari kacamata mereka mereka bersaing dengan dunia. Mereka mengeluarkan yang
terbaik untuk semua tidak kiralah dari bahan makanan, wayang, permainan video,
barangan teknologi dan sebagainya. Ada juga ciptaan mereka yang tidak
berkualiti tetapi promosi besar-besaran mereka dapat meyakinkan pengguna.
Walau siapapun anda, jadilah yang terbaik.
Abraham Lincoln
Tetapi kalau dibandingkan dengan ciptaan orang kita. Kita lebih suka
membuat sesuatu itu dengan sambil lewa tanpa membuat kajian yang mendalam.
Inilah sikap yang ada pada ramai. Sikap ini boleh dilihat dari hasil kerja
orang kita. Dari cara bekerja, berpakaian, menulis, berjalan dan sebagainya.
Semuanya main tangkap muat sahaja.
Sebagai contoh penjual makanan. Pada mulanya masakan mereka sedap dan
dikunjungi ramai. Kemudian mereka mula memasak dengan sembil lewa kerana
menyangka yang pelanggan akan tetap berkunjung ataupun apabila tukang masak
bertukar, kualiti masakan mula menurun. Akhirnya tutup kedai. Itu belum cerita
pasal aspek layanan.
Sepatutnya dari segi ini kita kena tiru cara Barat, iaitu mencipta yang
baru dan kemudian menyesuaikan dengan perubahan selera pelanggan. Menambah menu
masakan, mencantikkan kedai, meningkatkan promosi dan banyak lagi.
Kenapa FY huraikan pengisian penciptaan sebagai satu
elemen penting dalam buku Tip Rahsia Menjemput Rezeki ini?
Sebagai seorang Islam Allah Taala adalah Maha Pencipta,
Allah mencipta segala apa yang ada di muka bumi ini malah segala apa yang ada
di cakerawala hingga tak tercapai akal manusia untuk memikirkannya.
PenciptaanNya serba sempurna, membawa manfaat kebaikan serta kesimbangan dalam
kehidupan. Kita sebagai makhluk manusia juga dicipta Allah Taala dengan
kekuasaan dan menurut kehendakNya.
Dalam hal ini manusia pula mencipta menggunakan semua
sumber yang telah dicipta Allah di mukabumi ini. Pokok getah dijadikan tayar
kereta, pokok dijadikan kertas, Tanah dan besi menjadi bangunan yang tinggi.
Bulu binatang dijadikan pakaian dan sebagainya. Semuanya dicipta dengan setitik
ilmu pengetahuan yang dikurniakan kepada manusia.
Penciptaan manusia sejak dahulu hingga sekarang telah
membawa kepada pembangunan, kemajuan dalam ketamadunan kemanusiaan. Semakin
lama sains dan teknologi berkembang hingga tercipta pelbagai benda yang tak
pernah terlintas dalam akal fikiran kita. Penciptaan kereta sejak zaman Henry
Ford telah mengalami evolusi hingga ada yang mencipta supercars yang hebat sehingga kepada kereta yang boleh terbang.
Penciptaan telefon oleh Alexander Graham Bell telah berkembang hingga menjadi
smart phone yang serba canggih dengan pelbagai fungsi yang complicated.
Pun begitu penciptaan manusia serta tak sempurna dan punya
kelemahan. Ada penciptaan yang membawa mudarat, ada yang tak berguna, ada yang
hilang ditelan zaman dan sebagainya. Syarikat pengeluar filem Kodak contohnya
yang satu ketika dahulu begitu gah akhirnya menjadi bankrap ditelan arus
perubahan teknologi dunia. Syarikat Nokia juga menerima nasib yang sama.
Bolehlah dikatakan di sini yang Allah Taala suka kepada
pencipta, suka kepada pencipta yang membawa manfaat kepada manusia yag ramai,
suka kepada manusia yang punya sifat khalifah yang hidupnya untuk memakmurkan
mukabumi ini. Jadi kita dah tahu yang ada ganjaran yang besar kepada orang yang
membawa manfaat kepada yang ramai, lagi ramai lagi baik. Jadi di sini melalui
huraian ini anda juga tahu yang penciptaan adalah satu elemen penting bagi
tujuan membawa manfaat ini.
Mungkin anda akan berkata, semua benda telah dicipta dan
tak ada apa lagi yang boleh dicipta. Itu jugalah yang FY katakan dahulu. Tetapi
satu hari FY telah mengambil keputusan untuk menulis dan terus menulis dari
sebuah blog kepada sebuah buku, sekarang sudah 11 buku diterbitkan dan ada 3
Ebook telah FY siapkan. Bukankah apa yang sedang anda baca ini juga satu
penciptaan? Huruf-huruf yang disusun menjadi perkataan dan diolah menjadi ayat
ini tidak wujud sebelum ini. Ia hanya wujud bila FY menulisnya kemudian
memaparkannya di blog, FB di alam maya dan InsyaAllah menjadi buku satu hari
nanti. Buku yang sebelum ini tidak terdapat dalam rak buku pada ketika ini akan
berada di sana kelak. Ia bukan satu magik tapi ia memerlukan satu usaha yang
gigih dan berterusan sehingga ia menjadi kenyataan.
Kemudian FY mulakan seminar, kursus serta personal
coaching bagi mendidik pelabur saham yang baru menjejakkan diri dalam pelaburan
ekuiti di Bursa Malaysia. Semua ini membawa kepada ganjaran kewangan yang
banyak memandangkan FY berpengalaman dalam bidang ini sejak 20 tahun yang lalu.
Dalam hal ini carilah ilmu, carilah apa kebolehan dan kemahiran anda. Dari situ
menciptalah produk atau perkhidmatan yang boleh membawa manfaat kepada
khalayak.
Persoalan FY ialah adakah apa yang anda baca ni membawa
manfaat kepada anda atau tidak?
Sekiranya ada maka FY yakin akan ada ganjaran rezeki buat
FY kelak andai diizinkan Allah Taala baik rezeki yang kelihatan mahupun tidak.
Royalti buku, jemputan ke seminar motivasi atau bicara buku, perubahan dan
kefahaman kepada pembaca yang dijodohkan dengan buku ini adalah rezeki yang
tersurat tetapi yang tersirat adalah kelapangan, anak yang sihat, ketenangan,
kesihatan, ilmu pengetahuan yang lebih banyak lagi serta kurniaan-kurniaan yang
tak nampak dek mata kasar. Itulah kelebihannya dalam perihal penciptaan yang
membawa manfaat kepada yang ramai ini.
Kesimpulan dari semua ini sekali lagi FY tegaskan jadilah
seorang pencipta, menciptalah, produk atau perkhidmatan yang boleh membantu
menyelesaikan masalah orang lain mahupun yang boleh membawa manfaat kebaikan
dalam kehidupan mereka.
Sekian dulu buat kali ini.
Artikel ini dipetik dari Buku Formula Rahsia Menjemput
Rezeki karya FY yang masih dalam proses penulisan.
FY
0166667430
FY @ Faizal Yusup telah menulis 11 buah buku motivasi dan
novel antaranya Keluar Dari Tempurung, Berubah Sebelum Rebah, Anda Yang Baru
juga Ebook-ebook pelaburan saham memandangkan beliau seorang Remisier yang
menjawat jawatan Naib Presiden dalam Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia.
Beliau juga merupakan speaker bagi program Smart Invest anjuran Suruhanjaya
Sekuriti (SC).