Saya pernah tulis artikel mengenai
input atau pengisian ini tak berapa lama dahulu. Hari ini saya akan
menyambungnya.
Pengisian atau input ini terbahagi kepada
empat bahagian iaitu ;
TAK SEDAR
- Tak tahu tak tahu
- Tak tahu tahu
SEDAR
- Tahu tak tahu
- Tahu tahu
Kita tahu yang kita tahu dan kita tahu
yang kita tak tahu berada dalam rangkuman minda kita yang sedar. Persoalan ini
menunjukkan yang kita berada dalam rangkuman yang kita sudah tahu sedangkan
aspek kita tak tahu yang kita tahu dan tak tahu yang kita tak tahu pula berada
dalam rangkuman minda tidak sedar.
Proses ini bermula dari langsung tak
tahu kemudiannya dengan pengisian, pengalaman, pendedahan, penyelidikan,
penelitian, pembelajaran, penerimaan dan sebagainya kita menjadi tahu.
Kalau dahulu manusia menyangkakan yang
bumi ini berbentuk empat segi dan mendatar hinggalah dibuktikan oleh para
saintis yang ia sebenarnya berbentuk sfera. Kalau dahulu manusia menyangkakan
tiada apa yang terdapat dalam air yang jernih hinggalah penciptaan mikroskop
yang menyebabkan manusia tahu yang terdapat banyak mikroorganisme di dalamnya.
Pengetahuan mengenai bumi ini
terus-terusan berkembang hingga manusia mendapati yang mereka sebenarnya hidup
dalam bumi yang begitu kecil di dalam cekerawala dibandingkan dengan
planet-planet lain di alam semesta ini. Begitu jugalah pengetahuan mengenai air
yang mana para saintis mendapati ia terbentuk dari kristal-kristal berbentuk
segienam atau heksagon. Sekiranya kita berkata perkara yang baik atau berdoa
kepada air tersebut maka bentuk kristal ini menjadi lebih cantik dan sebaliknya
kalau kita mencarut mengkeji heksegon itu akan pecah dan rosak. Kemudian mereka
juga mendapati air zam-zam punya kandungan mineral yang paling baik dan bentuk
kristal yang paling cantik.
Manusia akan terus-terusan mengkaji dan
apakah penemuan yang seterusnya tidaklah saya ketahui tetapi bagi kebanyakan
kita, kita tak perlu jadi saintis untuk menjalankan penyelidikan bertahun-tahun
bagi mendapatkan sesuatu fakta untuk disampaikan kepada umum mahupun menjadi
pencipta kepada sesuatu teknologi yang baru. Umumnya kita hanya perlu belajar
dan meluaskan ilmu pengetahuan dengan pengisian dan maklumat yang telah sedia
ada.
Sebagai satu contoh yang lain pula, ada
orang yang tak tahu dia tak punya sikap menghargai. Dia tahu apa maksud
perkataan menghargai tetapi hakikatnya dia tak tahu yang dia tak tahu
menghargai. Orang sebegini umpama peribahasa melayu yang berbunyi melepaskan
anjing tersepit. Sudah dilepaskan ia menggigit pula orang yang menolongnya.
Orang sebegini mahu dihargai sekiranya dia melakukan kebaikan tetapi tak tahu
menghargai orang melakukan kebaikan padanya. Hinggalah pada satu hari terjadi
sesuatu yang akhirnya menyedarkannya akan perihal ini.
Seterusnya, mari kita mulakan perbincangan
pengisian atau input ini menggunakan analogi seorang pelukis.
TAK TAHU TAK TAHU
Langsung tak tahu dan tak pernah tahu
apakah yang dinamakan dengan lukisan abstrak.
TAK TAHU TAHU
Melukis sebuah lukisan abstrak secara
suka-suka tapi tak tahu itu adalah lukisan abstrak.
TAHU TAK TAHU
Tahu mengenai lukisan abstrak tapi tak
tahu bagaimana untuk melukisnya.
TAHU TAHU
Tahu mengenai lukisan abstrak dan tahu
bagaimana untuk melukisnya.
Dalam hal ini ada benda yang langsung
kita tak tahu dan tak pernah dengar. Ada pula perkara yang kita tak tahu kita
tahu. Oleh itu kita kenalah menjadi insan yang sentiasa terbuka untuk menerima
ilmu serta pengetahuan. Kalau kita tak tahu kita akui kita tak tahu lantas kita
tanya dan belajar. Perkara yang kita tahu tak tahu contohnya kita tahu mengenai
sebuah violin dan kalau kita mempelajari cara bagaimana untuk bermainnya pasti
kita akan berada dalam peringkat tahu-tahu. Sekiranya tidak ia akan hanya
menjadi input atau pengisian mentah yang yang digunakan sebagai pengetahuan. Ia
hanya keluar sekali sekala dalam perbualan seharian.
Kesimpulannya carilah ilmu kerana ilmu
tak akan datang bergolek kalau kita tak pergi mencarinya. Kalau kita duduk di
dalam sebuah kampung yang jauh dan saban hari bertemu dengan orang yang sama,
dalam kelompok yang sama maka tak banyaklah ilmu yang akan dapat kita
pertingkatkan dalam diri nanti. Tontonlah televisyen, bacalah majalah dan buku,
layarilah internet, berbicaralah dengan orang baru, hadirilah ceramah di masjid
dan sebagainya kerana ini semua merupakan media kemasukan ilmu yang baru ke
dalam diri.
Berminat untuk memanggil FY untuk sesi
motivasi?
Hubungi FY terus di talian 0166667430
No comments:
Post a Comment